Pelajaran 20 – Unsur Kekuatan Bagi Pendakwah

Allah taala berfirman

يَٰٓأَيُّهَا ٱلۡمُزَّمِّلُ ١

قُمِ ٱلَّيۡلَ إِلَّا قَلِيلٗا ٢

نِّصۡفَهُۥٓ أَوِ ٱنقُصۡ مِنۡهُ قَلِيلًا ٣

أَوۡ زِدۡ عَلَيۡهِ وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلًا ٤

إِنَّا سَنُلۡقِي عَلَيۡكَ قَوۡلٗا ثَقِيلًا ٥

إِنَّ نَاشِئَةَ ٱلَّيۡلِ هِيَ أَشَدُّ وَطۡـٔٗا وَأَقۡوَمُ قِيلًا ٦

إِنَّ لَكَ فِي ٱلنَّهَارِ سَبۡحٗا طَوِيلٗا ٧

وَٱذۡكُرِ ٱسۡمَ رَبِّكَ وَتَبَتَّلۡ إِلَيۡهِ تَبۡتِيلٗا ٨

رَّبُّ ٱلۡمَشۡرِقِ وَٱلۡمَغۡرِبِ لَآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ فَٱتَّخِذۡهُ وَكِيلٗا ٩

وَٱصۡبِرۡ عَلَىٰ مَا يَقُولُونَ وَٱهۡجُرۡهُمۡ هَجۡرٗا جَمِيلٗا ١٠

“Wahai orang yang berselimut (Muhammad)! Bangunlah (untuk sembahyang) di malam hari kecuali sedikit (daripadanya). (Iaitu) seperdua atau kurangilah dari seperdua itu sedikit. Atau lebih dari seperdua itu dan bacalah Al-Quran itu dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyu’) dan bacaan di waktu itu lebih berkesan. Sesungguhnya kamu pada siang hari mempunyai urusan yang panjang (banyak). Sebutlah nama Tuhanmu dan beribadatlah kepadaNya dengan penuh ketekunan. (Dialah) Tuhan masyriq (timur) dan maghrib (barat), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan ia, maka ambillah Dia sebagai pelindung. Dan bersabarlah terhadap apa yang mereka ucapkan dan jauhilah mereka dengan cara yang baik.” (Al-Muzammil : 1 – 10)

Pelajaran

1. Ayat-ayat Allah taala adalah berat dari segi amanah dan beban bagi rohani manusia. Manusia memerlukan kekuatan untuk memikulnya. Oleh kerana dakwah adalah melaksanakan ayat Allah taala dan menyampaikannya, maka dakwah juga adalah tugas yang berat yang memerlukan kekuatan.

2. Bagi memiliki kekuatan untuk menunaikan tugas dakwah, perlulah ada persiapan. Ayat-ayat ini mengajar persiapan mental, rohani dan karakter bagi kita.

3. Persiapan mental ialah memahami bahawa dakwah adalah tugas yang berat dan sukar. Faktor dalaman yang memberatkan ialah besarnya amanah dan pertanggungjawaban. Faktor luaran yang memberatkan ialah gangguan dan ejekan manusia.

4. Persiapan rohani ialah dengan bersolat malam, membaca Al-Quran, berzikir dan ibadah umum yang lain. Kita mestilah mempunyai program bagi melaksanakan amal-amal ini bagi memastikan kewujudan kekuatan yang berterusan bagi istiqamah di jalan dakwah. Sebagaimana kita tekun dalam melaksanakan projek dakwah, kita juga mesti tekun dalam amal ibadah kita. Rasulullah s.a.w orang yang paling sibuk dengan tugas dakwah tetapi tidak lengah dengan ibadah peribadinya. Jangan jadikan kesibukan melaksanakan projek dakwah sebagai alasan untuk meninggalkan amal peribadi. Dalam beribadah, kita dianjurkan agar mempelbagaikannya bagi mengelakkan dari jemu dan bosan. Jika sudah penat bersolat, gantikan dengan bertilawah atau berzikir, jika telah penat bertilawah gantikan pula dengan zikir dan ibadah lain dan seterusnya.

5. Persiapan karakter ialah dengan membina rasa kebergantungan terhadap Allah taala sebagai sebaik pelindung, memiliki sifat sabar dan keindahan akhlaq. Allah taala bukan hanya memerintahkan pendakwah agar menjauhi tingkah laku manusia yang ingkar tetapi juga memerintah agar menjauhinya dengan cara yang baik. Mengkemudiankan perintah sabar dan menjauhi manusia ingkar sesudah perintah melaksanakan pelbagai ibadah memberi pengajaran bahawa pembinaan karakter dan sifat sedemikian mempunyai kaitan dengan ibadah-ibadah tadi. Seorang yang malas beribadah akan kurang kebergantungan kepada Allah taala, kurang sabar dan tidak halus budinya. Ertinya juga, ibadah seorang pendakwah mestilah mestilah memberi kesan kepada jiwa dan karakternya.

6. Tarbiyah haruslah mengiringi dakwah. Keduanya adalah dua wajah duit yang tidak terpisah.

7. Ayat ini juga secara khusus mengajar pentingnya solat di waktu malam bagi pendakwah. Ini dapat disimpulkan dari

a. ayat-ayat di atas adalah antara wahyu awal yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. Sebelum solat lima waktu, solat malam telah diperintahkan.

b. solat malam pernah diwajibkan tetapi kemudiannya disunatkan bagi umat Islam sebagai rahmat dari Allah taala. Ini menunjukkan kepentingannya.

c. Allah taala menyebut tiga masa untuk solat malam – lebih dari seperdua malam, seperdua malam atau kurang sedikit dari seperdua. Ertinya kalau tidak boleh lakukan banyak, lakukan walau sedikit.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.