Pelajaran 21 – Amal Kolektif & Bekerjasama Untuk Dakwah

Allah taala berfirman

وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتُ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٖۚ يَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَيُطِيعُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥٓۚ أُوْلَٰٓئِكَ سَيَرۡحَمُهُمُ ٱللَّهُۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٞ ٧١

“Dan orang-orang beriman lelaki dan orang-orang beriman perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong dari sebahagian yang lain, mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma`ruf, mencegah yang munkar, endirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Al-Taubah : 71)

Pelajaran

1. Orang lelaki dan perempuan adalah sedarjat dari segi taklif dan pertanggungjawaban dalam perkara amar ma`ruf dan nahi munkar (dakwah) serta amal jama`ii (kolektif).

2. Apabila Allah taala mensifatkan orang mukmin lelaki dan perempuan menolong bagi satu dan yang lain ia merupakan anjuran terhadap beramal secara kolektif (jama`ii).

3. Berdakwah secara kolektif adalah sifat seorang mukmin dan tanda kesempurnaan iman.

4. Ayat ini sepatutnya menjadi motivasi yang kuat bagi istiqamah dalam amal jama`ii, membangun jaringan kerjasama, sinergi dan pakatan sesama individu muslim dan badan-badan Islam dan menjadikan usaha ini dan agenda ke arah penyatuan sebagai satu perkara yang penting. Ini adalah kerana pada kerjasama dan usaha ini dijanjikan rahmat dari Allah taala. Apakah yang lebih besar bagi seorang mukmin dari memperolehi rahmat Allah taala? Sememangnya dalam beramal jama`ii, bekerjasama dan sinergi mempunyai kelecehan, kerenah dan kepayahan yang bukan kecil, maka sebab itulah ganjarannya juga besar. Sesungguhnya rahmat Allah dan syurgaNya itu mahal dan perlu dibayar dengan harga yang setimpal.

5. Meninggalkan sebuah organisasi yang tidak lagi relevan atau korup adalah wajar. Namun tidak wajar meninggalkan amal jama`ii kerana organisasi Islam bukan hanya satu sahaja.

6. Oleh kerana ayat di atas jelas sekali menetapkan bahawa kaum perempuan mempunyai peranan yang sama penting dan pertanggungjawaban yang sama juga dengan kaum lelaki dalam dakwah dan perjuangan, maka ia seharusnya mendorong kaum perempuan untuk berfikir bagaimana mereka dapat memainkan peranan ini menjangkau dari setakat menjadi ibu kepada anak-anak dan isteri kepada si suami.

7. Atas dasar sifat tolong menolong, kaum lelaki wajib membantu dan memudahkan bagi anak-anak perempuan dan isteri-isterinya untuk terlibat dalam usaha dakwah di luar rumah pada batas-batas syara’ dan tidak menyulitkan mereka atau memonopoli kesolehan mereka hanya untuk diri dan keluarganya sahaja.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.