Petunjuk 35 – Pendakwah Hendaklah Bermanfaat Bukan Menjadi Beban

Allah taala berfirman yang bermaksud

 

“Dan Allah (pula) membuat perumpamaan: dua lelaki yang seorang bisu, tidak dapat berbuat sesuatu pun dan dia menjadi beban atas penanggungnya, ke mana saja dia disuruh oleh penanggungnya itu, dia tidak dapat mendatangkan satu kebajikan pun, samakah orang itu dengan orang yang menyuruh berbuat keadilan, dia berada pula di atas jalan yang lurus?” (An-Nahl : 76)

 

Petunjuk-petunjuk

 

1. Islam mahukan agar seorang Muslim tidak menjadi beban bagi orang lain dan masyarakatnya, sebaliknya menjadi seorang yang bermanfaat.

 

2. Demikianlah falsafah hidup seorang Muslim bahawa dia harus sentiasa menjadi seorang yang bermanfaat, kontributif dan relevan kepada keluarga, masyarakat, negara dan organisasi yang dia berada. Dia tidak mahu kewujudannya hanya menambah pada angka semata-mata. Dia faham bahawa jika dia tidak bermanfaat, kontributif dan relevan dia menanggung risiko menjadi beban kepada keluarga, masyarakat, negara dan organisasinya. Tidak wajar bagi seorang Muslim menjadi seperti melukut di tepi gantang atau sesuatu yang wujudnya tidak dirasai dan ketiadaannya tidak merugikan. Lebih buruk lagi, jika ketiadaannya itu melegakan hati.

 

3. Allah taala menggambarkan manusia pembeban ini dengan ‘ke mana sahaja dia pergi, dia tidak mendatangkan satu kebajikan pun’. Ini memberi makna bahawa kebaikan kita hendaklah meluas dalam konteks apa jua bukan hanya dalam sudut-sudut tertentu sahaja. Kita tidak patut hanya bermanfaat bagi keluarganya tetapi menjadi beban bagi masyarakat dan negara pula atau bermanfaat bagi masyarakat tetapi beban bagi keluarga pula atau bermanfaat bagi keluarga dan masyarakat tetapi beban bagi negaranya.

 

4. Seorang itu dikatakan bermanfaat apa bila dia mendatangkan kebaikan, menyuruh kepada keadilan dan berada di jalan yang lurus. Bagi kita, jalan yang lurus ialah Islam. Islam itu pula sebenarnya telah meliputi segala kebaikan dan keadilan. Namun Allah taala tetap menggunakan kekata kebaikan dan keadilan secara berasingan, kekata yang bersifat umum dan universal yang berbeza dari kekata ‘solehat’, ‘bir’, ‘makruf’ dsb yang mempunyai nuansa yang lebih khusus dan Islami.

 

Ini membayangkan bahawa bermanfaatnya seorang Muslim mestilah juga dirasai dalam konteks nilai-nilai sejagat. Kita bukan bersuara atas dasar agama sahaja tetapi juga nilai-nilai luhur yang dikongsi bersama oleh manusia. Kita bukan hanya membela agama sahaja tetapi juga membela nilai-nilai sejagat itu tadi.

 

5. Salah satu sifat bermanfaat ialah kekal relevan dan memberi kesan (impact) dengan situasi yang di mana kita berada. Kalau kebaikan yang dibawa dan diseru oleh kita tidak relevan atau tidak dirasakan relevan atau tidak mencetus kesan (impact) oleh orang maka hampir samalah dengan tidak bermanfaat.