Allah taala berfirman
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣
“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu ialah di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Al-Hujurat: 13)
Pelajaran
1. Ayat di atas memberi pengisytiharan bahawa Allah taala dengan sengaja mencipta manusia penuh dengan kepelbagaian. Bahkan sifat kepelbagaian ini adalah sunnah alam keseluruhannya. Dalam Al-Quran, Allah taala menceritakan bahawa binatang itu berbagai-bagai, orang-orang beriman itu berbagai-bagai dan orang-orang kafir juga berbagai-bagai.
2. Ini mengajar kita bahawa hakikatnya pluralisme adalah sebahagian dari aturan hidup yang pendakwah mesti bersedia untuk hidup dengannya dan tidak melarikan diri darinya.
3. Allah taala menjelaskan bahawa kepelbagaian yang dicipta olehNya adalah untuk tujuan yang positif – saling kenal mengenali, bukan bertujuan negatif misalnya untuk saling bergaduh atau berperang antara satu sama lain.
4. Oleh itu, asal hubungan kita sesama manusia ialah atas dasar yang positif – ingin kenal, bermesra dll. Perang itu hanya ke atas mereka yang melakukan tindakan perang (act of war). Jika tiada tindakan perang, maka hukum perhubungan kembali kepada asas yang positif. Adapun sikap dengki dan jahat manusia ke atas kita yang bukan berupa tindakan perang, ia dibalas samada dengan sesuatu yang lebih baik (billati hiya ahsan) atau kejahatan yang sama (saiyiah mitsluha). Hazar (sikap berhati-hati) adalah wajar, namun mengandaikan semua orang lain adalah musuh yang berdengki sikap yang lebih dekat kepada berlebih-lebihan.
5. Jika Allah taala telah menjadikan alam ini secara lumrahnya bersifat pelbagai, maka wajarlah jika asas hubungan itu dibina atas sifat yang positif kerana ia lebih sesuai dengan fitrah manusia. Islam adalah agama fitrah, praktikal dan mudah bagi kehidupan. Bayangkan bagaimana perasaan manusia jika dia merasakan setiap manusia lain yang berbeza dengannya mesti dibenci dahulu sebelum dikenalpasti samada dia boleh berasa aman atau percaya dengan manusia itu atau tidak?
6. Membina perhubungan sesama manusia yang pelbagai ini atas asas yang positif juga lebih sesuai dengan keperluan dakwah. Dakwah adalah untuk memenangi hati orang lain. Logiknya, bagaimana boleh kita melakukan sesuatu yang boleh memenangi hati orang lain jika hati itu diselaputi dengan rasa benci dan dendam.
7. Kita tidak sekali-kali menerima yang lain sebagai agama kecuali Islam tetapi kita tidak membenci seseorang itu semata-mata kerana mereka berbeza agama dengan kita.
Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.