Pelajaran 40 – Berhadapan Dengan Pelaku Maksiat

Allah taala berfirman

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمۡ أَوۡلِيَآءَ تُلۡقُونَ إِلَيۡهِم بِٱلۡمَوَدَّةِ وَقَدۡ كَفَرُواْ بِمَا جَآءَكُم مِّنَ ٱلۡحَقِّ يُخۡرِجُونَ ٱلرَّسُولَ وَإِيَّاكُمۡ أَن تُؤۡمِنُواْ بِٱللَّهِ رَبِّكُمۡ إِن كُنتُمۡ خَرَجۡتُمۡ جِهَٰدٗا فِي سَبِيلِي وَٱبۡتِغَآءَ مَرۡضَاتِيۚ تُسِرُّونَ إِلَيۡهِم بِٱلۡمَوَدَّةِ وَأَنَا۠ أَعۡلَمُ بِمَآ أَخۡفَيۡتُمۡ وَمَآ أَعۡلَنتُمۡۚ وَمَن يَفۡعَلۡهُ مِنكُمۡ فَقَدۡ ضَلَّ سَوَآءَ ٱلسَّبِيلِ ١

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil musuhKu dan musuhmu menjadi teman-teman yang setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita Muhammad) atas alasan rasa kasih sayang; padahal sesungguhnya mereka telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepadamu. Mereka mengusir Rasul dan (mengusir) kamu kerana kamu beriman kepada Allah, Tuhan kamu. Jika kamu benar-benar keluar untuk berjihad di jalanKu dan mencari keredhaanKu (janganlah kamu melakukan sedemikian). Kamu memberitahukan secara rahsia (berita-berita Muhammad) kepada mereka, kerana kasih sayang. Aku lebih mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan yang kamu nyatakan. Dan barangsiapa di antara kamu yang melakukannya, maka sesungguhnya dia telah tersesat dari jalan yang lurus.” (Al-Mumtahanah: 1)

Pelajaran

1. Ayat ini diturunkan ke atas Hatib b. Abi Balta`ah. Beliau adalah seorang sahabat yang telah melakukan kesalahan kerana ingin memaklumkan rancangan Rasulullah s.a.w untuk menyerang Mekah dengan menghantar surat melalui seorang wanita tua. Surat berkenaan kemudiannya dipintas oleh sahabat-sahabat yang diutus oleh Rasulullah s.a.w. Pada ketika para sahabat yang lain amat marah, bahkan Umar r.a mahu memenggal kepalanya, Rasulullah s.a.w bertanya kepada beliau dengan lembut akan sebab dia melakukan sedemikian. Setelah mendengar akan kata-katanya, Rasulullah s.a.w lalu memaafkannya kerana sumbangannya sebagai Ahli Badr. Rujuk sirah nabi s.a.w mengenai penaklukan Mekah bagi perincian.

2. Ayat di atas menangani aspek hukum terhadap perbuatan Hatib. Allah taala menyatakan secara tegas dan jelas, tanpa nada apologetik, bahawa ia adalah satu perbuatan yang salah. Perbuatan Rasulullah s.a.w pula mengajar kita akan aspek layanan terhadap seorang yang telah melakukan kesalahan. Hakikat ini mengajar para pendakwah bahawa hukum satu perbuatan adalah perkara yang berbeza dengan layanan terhadap pelaku kesalahan.

3. Sesorang yang telah melakukan kesalahan yang keji tidak semestinya dilayan secara hina dan keji kerana perbuatannya. Apatah lagi jika ia adalah seorang yang dikenali telah mempunyai jasa dan sumbangan. Tambahan lagi jika ia menunjukkan sikap bersalah atau melakukan sesuatu kerana tekanan tertentu.

4. Perbuatan Rasulullah s.a.w menunjukkan kehalusan akhlaq yang perlu dicontohi oleh kita terhadap pelaku maksiat atau rakan seperjuangan yang melakukan kesalahan. Rasulullah s.a.w berlembut, bahkan memaafkan, terhadap mereka yang melakukan pengkhianatan terhadap dirinya. Bahkan kesalahan berkenaan, boleh sahaja menyebabkan seseorang jatuh dalam kekufuran. Ini mengajar kita agar sentiasa mengutamakan kelembutan dan melihat setiap perkara dengan kaca mata kasih sayang, hatta kepada pelaku maksiat sekali pun dan sebesar mana maksiat berkenaan pun.

5. Hatta dalam kesalahan sebesar ini, Rasulullah s.a.w tidak terus menjatuhkan hukuman, apatah lagi mengkufurkan pesalah berkenaan. Kerana telah mengenali Hatib, beliau berlapang dada dan memberi peluang untuk Hatib membela dirinya. Akhlaq Islam menuntut kita untuk tidak cepat menghukum, tanpa mendengar penjelasan.

6. Walau pun Rasulullah s.a.w mendapat wahyu yang benar mengenai perbuatan Hatib, tetapi dia tidak hanya menghukum Hatib berdasarkan wahyu sahaja. Sebaliknya dia tetap melaksanakan proses perbicaraan yang adil dengan memberi peluang untuk Hatib bercakap. Demikianlah seorang pendakwah, sentiasa terbuka dan memberi peluang orang lain untuk berhujah walau dia meyakini akan kebenaran dirinya.

7. Dalam berhadapan dengan pelaku maksiat, Islam mahukan dia itu diislah (rehabilitate) bukan dihukum semata-mata. Pendakwah hendaklah mengislah meraka yang buat kesalahan bukan memalukan mereka – tarbiyah bukan ta`riyah (menelanjangkan).

8. Dalam menghadapi pelaku kesalahan atau rakan seperjuangan yang membuat kesalahan, walau sebesar mana sekali pun, jangan lupa akan jasa baik serta sumbangan yang telah dia buat sebelum itu. Jangan sekali-kali kesalahannya, menutup mata kita dari kebaikan yang ada padanya. Seorang itu dipatut di’condemn’ hanya kerana kesalahan yang telah dilakukan. Hakikat ini dapat dilihat melalui sikap Rasulullah s.a.w yang memaafkan Hatib kerana dia adalah Ahli Badr. Berapa ramai aktivis dakwah yang berpotensi dipinggir bukan kerana kesalahan, tetapi kerana sedikit perbezaan antara dirinya dengan yang lain.

9. Mu`awiyah b. Abi Sufyan adalah seorang sahabat yang banyak berjasa. Beliau penulis wahyu. Beliau memimpin tentera menakluk Syam dan memerintahnya sejak zaman Umar. Beliau menubuhkan tentera laut pertama Islam yang kemudiannya menakluk kepulauan di Mediteranean. Namun kesemua itu tenggelam hanya kerana ‘kesilapan’ nya menentang Ali r.a. Hari ini beliau lebih dikenali sebagai penentang Ali dan pengasas sebuah dinasti. Manusia lebih suka mengaitkan beliau dengan yang negatif dari menghargai sumbangannya. Pendakwah yang bijaksana tidak akan me’Mu`awiyah’kan sahabatnya.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.