Pelajaran 39 – Menghadapi Larangan Allah Taala Dan Bersama Dengan Kemunkaran

Allah taala berfirman

قَالَ ٱجۡعَلۡنِي عَلَىٰ خَزَآئِنِ ٱلۡأَرۡضِۖ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٞ ٥٥

وَكَذَٰلِكَ مَكَّنَّا لِيُوسُفَ فِي ٱلۡأَرۡضِ يَتَبَوَّأُ مِنۡهَا حَيۡثُ يَشَآءُۚ نُصِيبُ بِرَحۡمَتِنَا مَن نَّشَآءُۖ وَلَا نُضِيعُ أَجۡرَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ ٥٦

“Berkata Yusuf ‘Jadikanlah aku bendaharawan negara (Mesir). Sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan’. Dan demikianlah Kami memberi kedudukan kepada Yusuf di negeri Mesir; (dia berkuasa) pergi menuju ke mana saja dia kehendaki di bumi Mesir itu, Kami melimpahkan rahmat Kami kepada siapa yang Kami kehendaki dan Kami tidak mensia-siakan pahala orang yang berbuat baik.” (Yusuf: 55-56)

Pelajaran

1. Harus bagi untuk aktivis dakwah menawarkan diri sendiri untuk sesuatu jawatan dan amanah, jika

a. dia yakin berkemampuan dan berkelayakan dibanding dengan orang-orang lain.
b. untuk mengelakkan jawatan itu jatuh ketangan orang yang tidak layak atau tidak amanah atau zalim atau amanah itu menjadi terbengkalai.
c. jika melakukan sedemikian, akan memelihara maslahat yang lebih besar atau mengelak mudarat yang besar.

2. Demikianlah juga harus bagi aktivis dakwah itu memuji diri sendiri jika ada keperluan e.g menanamkan rasa hormat orang terhadap dirinya atau membina
keyakinan atau tsiqah orang yang akan memudahkan mesej dakwah disampaikan.

3. Peristiwa nabi Yusuf a.s menawarkan diri untuk satu amanah merupakan kontras bagi larangan agama dari meminta-minta jawatan kepimpinan atau amanah yang banyak disebut dalam hadits Rasulullah s.a.w. Ini bukan menunjukkan percanggahan sebaliknya merupakan pengecualian dari hukum yang melarang. Yang seperti ini wujud dalam banyak syariat Islam. Dengan itu ia mengajar aktivis dakwah, jika mereka menghadapi sesuatu larangan dalam Islam, janganlah terus berhenti dengan hukum larangan itu tetapi hendaklah juga menyelidik apakah pengecualian-pengecualian yang wujud dari hukum itu? Adakah di sana ada maslahat yang lebih besar dari mudarat yang dilarang? Adakah di sana mudarat yang lebih besar yang hendak dielakkan dari mudarat yang dilarang? Hal ini adalah kerana kaedah fiqh ada menyebutkan bahawa dibolehkan melakukan sesuatu yang dilarang, untuk menjaga maslahat yang lebih besar dan dibolehkan menanggung mudarat yang kecil, kerana mengelak mudarat yang besar.

4. Diharuskan bagi aktivis dakwah untuk memegang jawatan dalam pemerintahan yang tidak melaksanakan Islam, jika dengan melakukan sedemikian membolehkannya untuk membanyakkan maslahat agama atau mengurangkan mudarat, walau pun dengan melakukan sedemikian menyebabkan ia terdedah dengan beberapa kemudaratan.

5. Kewujudan seseorang di dalam sistem bukan Islam semata-mata tidak memberi alasan untuk mencela dia atau memfasiqkannya atau mengkufurkannya. Allah taala tidak mencela nabi Yusuf a.s dan isteri Firaun Musa yang kekal bersama Firaun. Kecelaan hanya dilemparkan jika keberadaan itu diasaskan atas niat keduniaan, tidak memberi maslahat yang besar dan tidak menghalang mudarat yang besar.

6. Aktivis dakwah yang ingin memegang jawatan sedemikian, hendaklah memastikan niat yang betul, jelas akan maslahat yang dapat dicapai atau mudarat yang dapat dihalang. Mereka yang ingin mencela, hendaklah membuktikan niat yang tidak betul, ketiadaan maslahat yang hendak dicapai atau kewujudan mudarat yang besar.

7. Dalam semua keadaan, hendaklah kita bertakwa kepada Allah taala.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.