Petunjuk 44 – Bersiap Menghadapi Krisis

Allah taala berfirman yang bermaksud

 

“(Setelah pelayan itu berjumpa dengan Yusuf dia berseru) ‘Yusuf hai orang yang amat dipercayai, terangkanlah kepada kami tentang tujuh ekor sapi betina yang gemuk-gemuk yang dimakan oleh tujuh ekor sapi betina yang kurus-kurus dan tujuh butir (gandum) yang hijau dan (tujuh) lainnya yang kering agar aku kembali kepada orang-orang itu, agar mereka mengetahuinya.

 

Yusuf berkata ‘Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa; maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan di tangkainya kecuali sedikit untuk kamu makan.

 

Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit), Kecuali sedikit dari (bibit gandum) yang kamu simpan.

 

Kemudian setelah itu akan datang tahun yang padanya manusia diberi hujan (dengan cukup) dan manusia memeras anggur.” (Yusuf : 46 – 49)

 

Petunjuk-petunjuk

 

1. Aturan alam bagi kehidupan ini ialah ia sentiasa melalui hukum kitaran – kitaran berada dalam keadaan baik dan kitaran berada dalam keadaan kesulitan.

 

2. Krisis dan kesulitan adalah satu yang lumrah dan pasti berlaku apabila tiba kitarannya. Ini dapat dipelajari dari kejadian tujuh tahun masa senang dan tujuh tahun masa susah yang diramalkan oleh nabi Yusuf dan berlaku kemudiannya.

 

3. Atas dasar itu, hendaklah kita sentiasa berusaha ketika berada dalam keadaan baik untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi keadaan yang gawat. Ini dapat dicapai dengan memahami kehidupan dan melakukan persiapan awal.

 

4. Salah satu cara menangani krisis ialah dengan membuat unjuran awal (projection) dan memastikan kesediaan sepanjang masa. Ini dapat dipelajari dari tindakan nabi Yusuf yang membuat unjuran mengenai apa yang akan berlaku di masa akan datang lalu menganjurkan agar tanaman yang dituai sepanjang tujuh tahun tidak dihabiskan semuanya sebaliknya sebahagian kecil disimpan bagi menghadapi musim yang susah.

 

5. Salah satu faktor yang membantu menangani krisis juga ialah dengan memastikan pengurusan sumber yang baik semasa senang dan sewaktu krisis.

 

6. Pada waktu susah pula, sumber yang ada jangan digunakan sehingga habis tetapi disimpan sedikit agar dapat menjadi modal untuk digunakan pada waktu berkenaan atau apabila menjelang masa senang. Ini dapat dilihat dari kisah nabi Yusuf yang mana lebihan dari simpanan bahan makanan semasa susah membolehkan negeri Mesir terus makmur kerana didatangi oleh orang ramai dari pelbagai tempat untuk mendapatkan bekalan makanan.

 

7. Ertinya sepanjang masa, kita hendaklah ada sumber-sumber yang munasabah bagi menghadapi perkembangan persekitaran.

 

8. Memahami akan aturan alam ini penting bagi memastikan kesediaan mental dalam situasi krisis. Oleh itu, pendakwah tidak mudah merungut atau tertekan dalam keadaan krisis kecuali jika ia gagal untuk memahami aturan alam ini atau gagal untuk mempersiapkan dirinya.

 

9. Aturan alam ini pasti berlaku dan berlaku ke atas sesiapa sahaja. Hatta Rasulullah s.a.w sendiri perlu melalui aturan ini. Beliau menghadapi masa sulit di Mekah sebelum masa senang di Madinah. Semasa di Madinah pula beliau menghadapi kekalahan di Uhud, ancaman Ahzab dan  pengkhianatan Yahudi kemudian kegawatan di Hunain.

 

10. Tamadun Islam juga sedemikian, ia naik dan jatuh dan pasti akan naik kembali.

 

11. Samada kita berada di zaman kesulitan Islam atau zaman kegemilangannya adalah tidak penting kerana darjat kita di sisi Allah tidak ditentukan oleh zaman kita hidup di dalamnya. Sebaliknya darjat kita ditentukan oleh amal yang kita lakukan. Berbahagialah mereka yang hidup di zaman Islam dihina tetapi menjadi pejuang untuk memuliakannya. Kecelaan bagi mereka yang hidup di zaman kegemilangan Islam tetapi hanya bersenang lenang dengan kehidupannya sahaja.