Pelajaran 42 – Punca Perpecahan & Asas Kesatuan

Allah taala berfirman

وَمَا تَفَرَّقُوٓاْ إِلَّا مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلۡعِلۡمُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۚ

“Dan mereka (Ahli Kitab) tidak berpecah belah melainkan sesudah datangnya pengetahuan kepada mereka kerana kedengkian antara mereka.” (Al-Syura: 14)

Pelajaran

1. Ayat ini menceritakan sebab perpecahan yang berlaku di kalangan Ahli Kitab. Oleh itu, ia adalah ayat yang elok untuk dikaji dalam persoalan pembinaan pasukan, organisasi dan memahami tingkah laku dalam organisasi.

2. Allah taala menerangkan dalam ayat ini sebab perpecahan di kalangan Ahli Kitab ialah kerana kedengkian antara mereka. Ini berlaku walau pun mereka telah diberi hidayat dan ilmu dari kitab yang diturunkan.

3. Oleh itu, sifat dengki, cemburu, hasad, iri hati dan yang seumpamanya, kalau pun bukan sebab yang terutama, namun ia adalah antara faktor utama yang merosakkan kesatuan dan mencetus perpecahan dalam kumpulan, organisasidan pasukan.

4. Kesemua sifat-sifat ini adalah sifat-sifat keji yang wujud di hati manusia. Ia hanya dapat dihilangkan melalui proses penyucian jiwa. Proses penyucian jiwa pula dilakukan melalui ibadah yang berterusan dan pentarbiyahan oleh diri sendiri atau orang lain.

5. Oleh itu, teras pembinaan pasukan (team building) dalam Islam ialah terfokus pada hati manusia. Ia menjangkau aspek kemahiran (skills) dan pengetahuan semata-mata. Hati itu perlu dibersihkan dengan sifat-sifat keji yang dinyatakan di atas dan diganti dengan sifat-sifat yang berlawanan seperti mengutamakan sahabat, pengorbanan dan berlapang dada.

6. Berapa banyak hari ini kita lihat sebuah organisasi porak peranda kerana si A tidak suka dengan si B, kumpulan A dengki dengan kumpulan B dan generasi A marah dengan generasi B. Dari sifat-sifat ini, terlahirlah tindakan-tindakan zahir seperti memandang remeh terhadap yang lain, mengkritik buta, memboikot, merancang untuk menjatuhkan yang lain, menghukum dan melabel.

7. Namun berapa banyak pula hari ini wang dibelanjakan untuk membina pasukan yang hanya tertumpu pada kemahiran dan ilmu semata-mata, tapi jauh dari aspek kesucian jiwa serta membaiki hubungan hati sesama manusia.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.