Petunjuk 50 – Apabila Pendakwah Beroleh Kuasa

Allah taala berfirman yang bermaksud

 

“Dan Sulaiman telah mewarisi Daud dan dia berkata ‘Hai manusia kami telah diberi pengertian tentang ucapan burung dan kami diberi segala sesuatu. Sesungguhnya (semua) ini benar-benar satu kurnia yang nyata’. Dan dihimpunkan untuk Sulaiman tentaranya dari Jin, manusia dan burung. Lalu mereka itu diatur dengan tertib (dalam barisan). Hingga apabila mereka sampai di lembah semut, berkatalah seekor semut ‘Hai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari’. Maka tersenyum dia sambil tertawa kerana (mendengar) perkataan semut itu. Dan dia berdoa ‘Ya Tuhanku, berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmatMu yang telah engkau anugerah kepadaku dan kepada dua orang ibu bapaku dan untuk mengerjakan amal soleh yang engkau redhai, dan masukkanlah aku dengan rahmatMu ke dalam golongan hamba-hambaMu yang soleh.” (An-Naml : 15 – 19)

 

Petunjuk-petunjuk

 

1. Sulaiman a.s adalah seorang nabi yang dikurniakan oleh Allah taala dengan kerajaan dan kekuasaan yang amat hebat. Tiada seorang raja sesudahnya yang mempunyai kerajaan yang seperti itu. Kerajaan yang bukan sahaja mempunyai kekuasaan ke atas manusia bahkan juga ke atas binatang dan alam e.g angin.

 

2. Kisah kebesaran kerajaan Sulaiman a.s ini mempunyai pengajaran yang besar mengenai sikap-sikap terpuji bagi aktivis dakwah dan gerakan dakwah iaitu;

 

a. Walau pun mempunyai segala kekuasaan yang besar tetapi Sulaiman a.s tetap memastikan disiplin yang tinggi di kalangan pengikutnya. Ini dapat dilihat dari firman Allah taala yang bermaksud ‘Lalu mereka itu diatur dengan tertib (dalam barisan)’. Penekanan terhadap disiplin dapat juga dilihat dalam kisah Sulaiman a.s dan hud-hud yang mana hud-hud diancam hukuman yang berat kerana ghaib tanpa izin.

 

b. Apabila diberi kekuasaan, Sulaiman a.s mengaitkannya kepada kurniaan Allah taala. Dia tidak menjadikannya sebagai sesuatu dari usahanya sendiri. Demikianlah aktivis dakwah dan gerakan dakwah. Jangan sekali-kali pada waktu susah kita bermunajat kepada Allah taala agar diberi kemenangan dan  kekuasaan tetapi apabila telah mendapat kurniaanNya, ia merasakan segala-galanya adalah hasil susah payahnya sahaja. Sulaiman a.s juga pada ketika berkuasa mengekalkan hubungan yang rapat dan baik dengan Allah taala melalui munajat dan doa yang berterusan.

 

c. Apabila kuat dan besar, jangan angkuh dengan yang kecil. Sulaiman a.s tidak menyepak semut-semut yang merintangi jalannya semata-mata kerana ia binatang yang kecil. Padahal apakah mudaratnya dunia ini jika beberapa ekor semut mati dipijak oleh tentera Sulaiman a.s? Gerakan dakwah apabila besar jangan lupa pada yang kecil, jangan membuli yang kecil dan jangan pula tidak mengendahkan yang kecil kerana saiznya. Sebaliknya hendaklah berlaku ihsan, membantu mereka agar dapat membesar atau paling kurang membiarkan mereka sahaja tanpa menyebabkan kemudaratan ke atas mereka. Semut walau pun kecil adalah sebahagian dari alam ini. Kewujudannya mempunyai peranan dalam eko-sistem alam. Kemusnahannya mungkin akan merosakkan persekitaran yang akan memudaratkan yang besar juga. Janganlah pendakwah dan gerakan dakwah semasa kecil sibuk menumpang budi yang besar tetapi apabila sudah besar, lupa akan yang kecil pula.

 

d. Setelah berkuasa dan hebat, Sulaiman tidak lupa akan jasa ibu bapanya. Maka aktivis dakwah dan gerakan dakwah, apabila berkuasa jangan lupa akan jasa mereka yang telah menyumbang kepada kejayaannya, samada individu atau kumpulan yang lain yang telah membantunya.

 

e. Setelah berkuasa, Sulaiman juga tidak lupa akan misi asalnya iaitu mencari keredhaan Allah taala dan melakukan amal soleh. Aktivis dakwah dan gerakan dakwah tidak wajar untuk kabur matanya dari misi asal perjuangan ini. Misi perjuangan ini ialah untuk mendapat keredhaan dan melakukan amal soleh bukan untuk berkuasa semata-mata. Kuasa hanyalah jalan bagi mendapat keredhaan dan melakukan amal soleh.