Sekadar berkongsi – Memerangi Ideologi Ganas, Radikal Di Internet (Berita Harian (Singapura), 24 Okt. 2007)

Sebuah bengkel dua hari di Vienna, Austria, anjuran Pertubuhan bagi Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE) telah melakar hala tuju bagi usaha memerangi ideologi pengganasan di Internet. Ustaz Mohamed Ali, peserta Singapura yang menghadiri bengkel Memerangi Ideologi Ganas di Internet dalam bengkel itu, mengupas isu tersebut.

 

Internet kini wadah bagi menyebar luas ideologi pengganasan dan fahaman radikal.

 

Oleh itu, usaha memerangi ideologi dan fahaman itu, yang dianggap songsang dalam Islam, demi keselamatan dan keamanan, telah dipertingkat dan semakin mendapat perhatian dunia.

 

Cara memerangi hasutan pengganasan di Internet dibincang secara mendalam dan terperinci dalam satu bengkel dua hari anjuran Unit Antipengganasan (ATU) Pertubuhan bagi Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE), di Pusat Kongres Hofburg, Vienna, Austria.

 

Bengkel itu, yang ketiga anjuran OSCE mengenai pengganasan sejak 2005, merangkumi sesi penyampaian kertas kerja dan perbincangan. Ia disertai lebih 100 orang dari lebih 50 negara Eropah, Amerika, Asia dan Timur Tengah.

 

Semasa sesi pertama, iaitu pembentangan kertas kerja, maklumat dikongsi dengan para peserta tentang penggunaan Internet, termasuk caranya, oleh kumpulan-kumpulan pelampau bagi tujuan hasutan dan radikalisme.

 

Encik Sajjan Gohel, daripada Yayasan Asia Pasifik yang berpangkalan di London, memulakan bengkel dengan menonjolkan bagaimana ayatayat Al-Quran yang disalah tafsir Osama Bin Laden daripada kumpulan Al-Qaeda telah disebar di laman-laman Internet bagi menarik masyarakat Islam dan juga bagi menimbulkan hasutan.

 

Antara kertas kerja menarik ialah oleh Profesor Gabriel Weimann dari Universiti Haifa di Israel, yang menerangkan bagaimana laman-laman khusus telah dicipta bagi menarik minat golongangolongan sasaran tertentu, seperti wanita, belia dan kanakkanak.

 

Antara ciri menarik lamanlaman itu adalah penggunaan kartun dan permainan video.

 

Sesi kedua bengkel itu pula memberi tumpuan terhadap strategi dan cara menangani hasutan pengganasan di Internet. Pembentang kertas kerja turut berkongsi pengalaman pemerintah dan masyarakat masing-masing dalam usaha mengatasi fenomena ini.

 

Ini termasuk langkah mewujudkan undang-undang nasional, cara terbaik memastikan kandungan sah di Internet dan langkah-langkah yang telah diambil masyarakat dunia untuk menyelaras pemantauan penggunaan Internet.

 

Namun, usaha oleh pihak pemerintah dan pihak berkuasa, sekalipun di bawah rangka kerjasama berbilang negara, sahaja tidak akan dapat menangkis secara berkesan hasutan yang menjurus pada pengganasan di Internet.

 

Demi memastikan setiap strategi yang diambil bagi menghadapi fenomena ini lebih berkesan, ia perlu dijayakan sama oleh masyarakat akar umbi dan segenap anggota sivil lain. Cara untuk merealisasikan pelibatan masyarakat inilah yang menjadi tumpuan sesi ketiga bengkel itu.

 

Antara tujuan bengkel itu ialah memaparkan bagaimana ideologi positif dapat memainkan peranan utama dalam usaha memberi tindak balas terhadap ideologi ganas yang tersebar luas di Internet.

 

Adalah amat penting untuk menangkis hasutan kebencian dan ideologi negatif ini demi mengurangkan ancaman pengganasan jangka panjang.

 

Sebagai contoh, Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), yang memberi kaunseling kepada tahanan Jemaah Islamiyah di Singapura, mengambil langkah menonjolkan ideologi positif dan menyebarkan mesej damai melalui laman webnya yang dilancar Ogos lalu.

 

Laman www.rrg.sg itu memberi tumpuan terhadap usaha memberi maklumat kepada mereka yang ingin mengetahui tentang bahaya ideologi pelampau agar pengetahuan itu menjadi benteng bagi masyarakat Islam daripada terjebak ke dalam ideologi yang akan menggugat keamanan negara.

 

Kandungan positif seperti di laman web RRG ini perlu lebih diwujudkan oleh masyarakat Islam sebagai salah satu pendekatan strategik memerangi pengganasan. Artikel-artikel dalam laman RRG merangkumi pelbagai topik pengganasan, termasuk konsep jihad, peranan masyarakat Islam dalam memerangi pengganasan, serta mendedahkan strategi pengganas dalam menyebarkan pengaruhnya.

 

Masyarakat Islam Britain telah mencipta laman serupa. Encik Johnny Ryan dari Institut bagi Hal Ehwal Eropah berkongsi maklumat tentang laman The Radical Middle Way itu, www.radicalmiddleway.co.uk, yang merupakan inisiatif masyarakat Islam Britain untuk menyampaikan pemahaman Islam sederhana, dinamik, proaktif dan relevan, terutama sekali bagi masyarakat Islam Britain.

 

Laman ini juga memberi belia Muslim peluang untuk mendapatkan jawapan tentang isu-isu keagamaan dan kontemporari. Apa yang menarik ialah laman ini inisiatif peribadi segolongan belia di Britain dengan kerjasama Kesatuan Golongan Pelajar Islam (FOSIS) di United Kingdom dan Ireland, iaitu Mahabba United, Q-News dan Persatuan Pemuda Muslim United Kingdom (YMOUK).

 

Belia adalah golongan sasaran bagi kumpulan pelampau, oleh itu bengkel tersebut turut memaparkan mengenai golongan muda yang menggunakan Internet untuk mencari jawapan mengenai Islam tetapi akhirnya menjadi mangsa idea-idea radikal. Ideologi-ideologi pelampau itu mudah diperolehi di laman Internet dan boleh mempengaruhi orang ramai, terutama golongan muda.

 

Apa yang ditakuti pada hari ini ialah kandungan dalam laman-laman kumpulan pelampau itu dapat menarik perhatian umat Islam untuk menimbulkan perasaan benci terhadap golongan bukan Muslim dan bersifat prejudis.

 

Menurut laporan, terdapat lebih 6,000 laman yang mempunyai ciri-ciri sedemikian.

 

Di Singapura kes Abul Basher Abdul Kader, yang ditahan pemerintah awal tahun ini, menunjukkan kesan kandungan negatif dalam laman Internet terhadap orang Islam, terutama sekali golongan belia.

 

Bengkel itu telah meningkat kesedaran peserta akan pentingnya pendekatan dan tindak balas tepat serta segera dalam menangkis ideologi ganas di Internet. Beberapa hala tuju juga telah dilakar pada akhir bengkel tersebut sebagai sebahagian usaha yang dapat dijalankan setiap negara dalam masa terdekat.

 

Antara pelajaran penting yang dapat diperolehi daripada bengkel itu ialah hakikat bahawa peperangan terhadap pengganasan dan ideologi radikal di Internet memerlukan pendekatan pelbagai dimensi, melibatkan kerjasama daripada setiap segmen masyarakat. Ia memerlukan strategi menyeluruh serta usaha dan pengaruh yang kuat bagi mendapatkan sokongan mereka.

 

Amat penting juga mereka yang terlibat dalam aktiviti memerangi pengganasan memikirkan bagaimana media dapat memainkan peranan dalam menghalang penyebaran ideologi radikal di Internet.

 

Respons melalui media akan lebih berpengaruh dalam menyampai mesej damai dan ideologi positif. Media telah menjadi alat utama bagi kumpulan pengganas dan pelampau dalam operasi dan propaganda mereka.

 

Kejayaan mereka adalah disebabkan kejayaan mereka mengeksploitasikan media bagi mendapat perhatian dan simpati daripada orang awam. Oleh itu adalah sangat genting untuk melumpuh dan menggagalkan usaha mereka ke arah itu.

 

Akhir sekali, dalam usaha memerangi arus pengganasan dan ideologi radikal hari ini, kerjasama dan kesatuan hati antara negara, masyarakat serta perkongsian maklumat merupakan senjata paling berkesan untuk melawan ombak pengganasan.

 

Tiada negara yang dapat aman daripada ancaman pengganasan tanpa kerjasama dan perpaduan. Ini adalah kenyataan memandangkan kumpulan pengganas dan pelampau bergerak merintasi sempadan negara, termasuk melalui Internet yang merupakan wadah atau saluran maklumat yang dapat merentasi sempadan.

 

Bengkel dua hari itu telah berjaya menghimpunkan pelbagai strategi dan pengalaman berbeza daripada setiap negara yang menghadapi fenomena yang sama.

 

Sebagaimana Internet telah disalahgunakan kumpulan pelampau, ia harus digunakan oleh masyarakat dunia sebagai wadah utama dalam memerangi pengganasan dan ideologi radikal hari ini.

 

Bagi masyarakat Islam, usaha ini akan sekali gus mengembalikan imej dan kemurnian Islam sebagai agama yang membawa kepada kedamaian dan keharmonian.

 

Nota: Penulis zamil penyelidik di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang, dan anggota Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).