Kaedah Dalam Memperbetulkan Pemerintah & Penguasa 2/3

(Nota: Artikel ini dikutip dan diubahsuai dari buku Kesederhanaan Dalam Islam Dalam Konteks Masyarakat Islam Singapura, terbitan Pergas, 2004)

 

Menghadapi Kefasiqan Pemimpin Muslim & Pemerintahannya

 

Islam adalah agama dakwah. Islam menuntut umatnya agar melakukan amar makruf dan nahi mungkar tanpa mengenal bulu.

 

Bahkan Islam menjadikan tugas mengislah pemimpin dan pemerintahan sebagai satu jihad yang utama. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

 

“Jihad yang paling utama ialah (menyampaikan) kata-kata yang benar di hadapan pemimpin yang menyeleweng.”(Riwayat At-Turmuzi & Ibn Majah)

 

Namun terdapat banyak dalil-dalil yang menunjukkan bahawa Islam tidak menggalakkan umatnya untuk keluar dari ketaatan pemimpin yang fasiq. Islam hanya menuntut umatnya agar menjauhi maksiat yang dilakukan oleh si pemimpin, berusaha untuk mengubahnya jika mampu secara hikmah, mau`izah hasanah dan perdebatan yang baik, jika mampu atau mengingkari dengan hati, jika tidak mampu. Dalam menanti perubahan berlaku, Islam memerintahkan umatnya agar bersabar.

 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

 

“Sesiapa yang melihat sesuatu yang dibenci dari pemimpinnya, hendaklah dia bersabar. Sesungguhnya sesiapa yang keluar dari jemaah sejengkal maka matinya seumpama mati jahiliyah.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Jumhur ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah amat mengharamkan tindakan keluar dari ketaatan pemimpin Muslim yang fasiq apatah pula memerangi mereka secara bersenjata.

 

Imam An-Nawawi berkata:

 

“Adapun keluar menentang ke atas mereka, maka haram hukumnya berdasarkan ijma’, walaupun mereka itu fasiq dan zalim.”

 

“Tidak harus keluar menentang khalifah-khalifah semata-mata kerana kezaliman dan kefasiqan selama mana mereka tidak merubah dasar-dasar Islam.”

 

Al-Kirmani berkata:

 

“Para fuqaha telah berijma’ bahawa pemimpin mutaghallib (yang merampas kuasa dan dilantik bukan dari perlantikan rakyat), wajib mentaatinya selama mana dia mendirikan solat berjamaah dan jihad, kecuali jika berlaku kekufuran yang sohih. Pada ketika itu, tidak wajib mentaatinya, bahkan wajib bermujahadah terhadapnya bagi yang mampu.”

 

Al`Aini berkata:

 

“Tidak harus menggulingkannya (penguasa) dari kekuasaan di sebabkan itu (fasiq dan zalim).”

 

Ibn Taimiyah berkata:

 

“Dalam hadits, ia memerintah mereka untuk taat, melarang mereka dari merampas kuasa dari penguasa dan memerintah mereka agar menegakkan kebenaran.”

 

“Ini menerangkan bahawa ‘aimmah itu adalah para pemimpin dan penguasa. Bahawa dia dibenci dan diingkari terhadap maksiat yang mereka datangkan. Dan tidak boleh ditarik tangan dari ketaatan. Bahkan mereka ditaati pada (perkara yang makruf yang diredhai) Allah. Di antara mereka ada yang baik dan ada yang buruk”

 

Ibn Abi Al-`Iz berkata:

 

“Adapun wajib mentaati mereka walaupun mereka menyeleweng kerana keluar dari ketaatan mereka terdapat kerosakan-kerosakan yang berganda dari apa yang diperolehi dari penyelewengan mereka. Bahkan dalam bersabar atas penyelewengan mereka, terdapat penghapusan dosa dan gandaan pahala.”

 

Walaupun sebahagian ulama mengatakan bahawa penentangan boleh dibuat jika si pemimpin melakukan kekufuran yang tsabit dengan dalil yang nyata, namun jelas dari pandangan mereka bahawa tentangan bersenjata adalah suatu yang tidak digalakkan sama sekali kerana ia sering mengakibatkan pertumpahan darah, kerosakan dan mudharat yang lebih besar.

 

Al-Kirmani berkata:

 

“Sesungguhnya raja tidak dilucutkan jawatan disebabkan kefasiqannya kerana pada usaha untuk melucutkan dia terdapat sebab bagi fitnah, pertumpahan darah dan perpecahan. Kerosakan dalam melucutkan dia lebih banyak dari mengekalkannya.”

 

Ibn Battal berkata;

 

“Telah ijma’ para fuqaha’ atas wajib mentaati raja mutaghallib (yang merampas kuasa dan dilantik bukan dari perlantikan rakyat) dan berjihad dengannya dan mentaatinya lebih baik dari keluar menentangnya kerana pada yang demikian itu memelihara (pertumpahan) darah.”

 

Berkata Ibn Taimiyah;

 

“Telah tetap persoalan di sisi Ahlli Sunnah terhadap meninggalkan perang dalam situasi fitnah berdasarkan hadits-hadits yang sahih dan tsabit dari nabi s.a.w. Mereka menjadikan ini dalam urusan aqidah mereka dan memerintahkan sabar atas penyelewengan para pemimpin dan meninggalkan perang atas mereka, walaupun telah memerangi mereka sebelum ini segolongan yang ramai dari ahli ilmu dan agama.”

 

Berkata Ibn Hajar mengenai pandangan para salaf yang membenarkan perang ke atas pemimpin yang zalim;

 

“Ini adalah mazhab para salaf yang lama. Telah tetap persoalan ini di sisi mereka untuk meninggalkan yang demikian itu setelah mereka menyaksikan ia telah menjurus kepada yang lebih buruk dari itu. Sesungguhnya pada pertempuran Al-Harrah dan pertempuran Ibn Al-Asy`ats dan selainnya pengajaran bagi siapa yang merenung.”

 

Asy-Syaukani berkata;

 

“Tidak harus melawan para pemimpin dengan pedang, selama mana mereka mendirikan solat.”

 

Pendapat para ulama di atas berdasarkan juga pada larangan ke atas umat Islam untuk saling berperang antara satu sama lain.

 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

 

“Memaki seorang Muslim adalah fasiq dan memeranginya adalah kufur.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

 

“Jika bertemu dua orang Muslim dengan pedang mereka, maka yang membunuh dan yang dibunuh kedua-duanya di dalam neraka.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

 

“Janganlah kamu kembali kufur setelahku saling memukul tengkuk antara satu sama lain.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

 

Sikap yang sedemikian dinyatakan oleh para ulama setelah melihat pelbagai peristiwa pemberontakan dan perlawanan ke atas penguasa seperti apa yang berlaku dalam Perang Siffin antara Ali r.a dan Mu`awiyah, perlawanan Husein ke atas kuasa Bani Umayyah, pertempuran Al-Harrah, perlawanan Abdullah b. Az-Zubair .

 

Demikian pandangan para ulama dahulu mengenai sikap menentang penguasa Muslim. Sikap sedemikian tidak sama sekali menjadikan mereka orang-orang yang pasif terhadap kemungkaran kerana mereka tetap menganjurkan amar makruf dan nahi mungkar dan nasihat terhadap penyelewengan yang berlaku. Hakikat ini jelas dalam banyak sejarah mereka seperti yang berlaku ke atas Imam Ahmad b Hanbal.

 

Tidak dinafikan terdapat pandangan beberapa ulama yang mengharuskan penentangan bersenjata bahkan menjadi wajib dalam keadaan tertentu. Namun pandangan jumhur yang dinyatakan di atas lebih kuat dan dekat pada kebenaran.

 

Segala yang dinyatakan di atas adalah sikap terhadap penguasa yang Muslim. Bagaimana pula jika penguasa itu orang bukan Muslim seperti di Singapura?

 

…….bersambung