(Nota: Artikel ini dikutip dan diubahsuai dari buku Kesederhanaan Dalam Islam Dalam Konteks Masyarakat Islam Singapura, terbitan Pergas, 2004)
Menghadapi Pemerintahan Bukan Muslim
Asalnya, Islam tidak membenarkan orang-orang Muslim melantik orang bukan Muslim sebagai pemimpin mereka kerana firman Allah taala yang bermaksud:
“Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi pemimpin dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Barangsiapa berbuat demikian, nescaya lepaslah ia dari pertolongan Allah kecuali kerana (siasat) memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka. Dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri (siksa)Nya. Dan hanya kepada Allah tempat kembali.” (Ali Imran : 28)
Hakikat ini perlu difahami dalam konteks bahawa Islam adalah satu cara hidup yang meliputi segala pemerintahan dan politik. Islam menuntut umatnya untuk melaksanakan hukum-hukumnya dalam urusan kenegaraan dan politik juga, berbeza dengan fahaman sekularisme. Atas dasar ini, pastilah yang hanya mampu melakukannya ialah seorang Muslim yang soleh kerana logik akal menentukan bahawa tidak mungkin dapat orang bukan Muslim melaksanakan hukum Islam sebagaimana patut.
Walaupun setiap Muslim menerima ini sebagai sebahagian dari ketentuan Allah taala kerana ia berdasarkan pada firmanNya dalam Al-Quran tetapi dari sudut praktikal, ia hanya relevan dan diamalkan dalam suasana atau persekitaran negara yang penduduknya adalah orang-orang Muslim atau majoriti mereka terdiri dari masyarakat Muslim.
Dalam situasi yang mana masyarakat Muslim adalah minoriti di satu negara, pastinya perintah ayat ini tidak dapat diamalkan kerana keadaannya yang minoriti pasti tidak dapat memberi undi majoriti untuk melantik pemimpin Muslim yang melaksanakan Islam dan hampir mustahil bagi orang bukan Muslim melantik orang Muslim atas dasar sedemikian.
Oleh itu, bagi masyarakat Muslim yang minoriti, sikap mereka hendaklah sentiasa menghormati pemerintahan mana-mana pihak yang dilantik secara sah melalui proses demokrasi dan beriltizam dengannya.
Hakikat ini diperkuatkan lagi jika masyarakat Muslim memahami bahawa di sana terdapat perbezaan antara pemerintah yang tidak memerintah atas prinsip pemerintahan Islam dengan pemerintah yang zalim, kuku besi dan korup.
Dalam alam realiti, banyak pemerintahan yang diterajui oleh orang yang bukan Muslim dengan sistem sekular tetapi pemerintahannya adalah bersih, adil dari sudut nilai umum sejagat, berwibawa dan menghormati hak-hak dan kebebasan rakyat. Pastinya pemerintah seperti ini tidak wajar diletakkan dalam satu kategori yang sama dengan mereka yang zalim, kuku besi, korup dan memerangi Islam.
Pemerintah yang seperti inilah yang dipilih secara demokrasi oleh rakyat sebuah negara yang perlu dihormati dan diakui kekuasaannya kerana menghormati pilihan rakyat.
Segala hubungan antara masyarakat Muslim sebagai rakyat dengan pemerintah yang sah ini dilakukan atas prinsip demokrasi dan lunas undang-undang. Masyarakat Muslim mentaati pemerintah yang sah pada perkara-perkara yang baik dari segi Islam dan prinsip-prinsip luhur yang sejagat.
Pastinya dalam hubungan rakyat dan pemerintah akan wujud perbezaan. Dalam menghadapi perbezaan ini dan perkara-perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam yang memberi kesan kepada masyarakat Muslim, masyarakat Muslim tidak berdiam diri.
Walaubagaimanapun, ketidak-setujuan masyarakat Muslim dan aspirasi mereka disampaikan melalui saluran yang betul, mengikut lunas demokrasi dan undang-undang, penuh adab dan jauh dari kekerasan dan keganasan.
Pada asalnya penentangan bersenjata adalah satu tindakan yang tidak dibenarkan atas prinsip yang sama disebalik larangan mengangkat senjata melawan pemerintah Muslim yang fasiq; iaitu memelihara nyawa dan kerosakan sejajar dengan maqasid syar`iah.
Allah taala mengutus Nabi s.a.w untuk mencapai maslahat dan menyempurnakannya dan menghalang kerosakan dan mengurangkannya, menolak kerosakan dengan menanggung yang ringan darinya. Dalam melakukan amar makruf dan nahi mungkar dengan pemerintah yang seperti ini ia mestilah dilakukan atas dasar maslahat itu lebih berat dari kerosakan. Jika kerosakan itu lebih berat, maka ia bukanlah sesuatu yang diperintahkan oleh agama.
Pendirian ini sejajar dengan sikap Rasulullah s.a.w yang tidak mahu membunuh Abdullah b. Ubai b Salul, ketua orang-orang Munafiq kerana ia akan menimbulkan mudharat yang lebih besar iaitu tentangan kaumnya dan menakutkan orang lain bahawa Muhammad membunuh sahabatnya.
Apabila kita mengkaji sejarah, pasti akan dapati pelbagai keburukan yang berlaku akibat dari pemberontakan bersenjata. Ibn Taimiyah berkata:
“Hampir tidak ada satu kaum yang diketahui yang keluar menentang penguasa kecuali dalam penentangannya itu lahir kerosakan lebih besar dari kerosakan yang hendak dihilangkannya.”
“Sesungguhnya apa yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w mengenai sabar terhadap penyelewengan para pemimpin dan meninggalkan perang ke atas mereka adalah perkara yang paling baik bagi manusia di dunia dan Akhirat. Sesungguhnya sesiapa yang menyalahi yang demikian itu secara sengaja atau salah, tidak akan mendapat dari perbuatannya kebaikan, bahkan kerosakan.”
Apa pun usaha masyarakat Muslim untuk meluruskan pemerintah baik atas prinsip Islam atau prinsip keadilan sejagat ia mestilah dilakukan mengikut kemampuan. Allah taala berfirman yang bermaksud:
“Allah tidak membebankan satu jiwa kecuali pada kadar kemampuannya.” (Al-Baqarah : 286)
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Tidak boleh seorang mukmin menghina dirinya sendiri. Para sahabat berkata ‘Bagaimana dia menghina diri?’ Rasulullah s.a.w berkata ‘Ia mendedahkan diri pada malapetaka yang dia tidak berupaya (menghadapinya).” (Riwayat At-Turmuzi)
Prinsip yang memandu sikap kita ialah prinsip yang boleh diperolehi dari peristiwa Najasyi Muslim yang memerintah Habsyah, Nabi Yusuf a.s sebagai menteri di bawah pemerintahan raja Mesir, keberadaan sahabat di Habsyah dan penglibatan Nabi s.a.w dalam Hilf Al-Fudhul.
Sebagaimana yang dinyatakan dahulu, ini sama sekali tidak bermakna kita bersikap pasif. Jihad bagi kita adalah luas dari hanya mengangkat senjata sebagaimana yang telah dibincangkan dalam persoalan jihad yang lalu.
Kita hanya memerangi golongan yang memerangi kita. Allah taala berfirman yang bermaksud:
“Dan berperanglah dijalan Allah mereka yang memerangi kamu.” (Al-Baqarah : 190)
Namun kita tidak akan berdiam diri terhadap pemerintah seperti Milosevic. Pemerintah seperti ini bukan hanya wajar ditentang oleh umat Muslim tetapi manusia sejagat. Bahkan tiada satu umat pun akan berdiam diri membiarkan diri mereka dihina sedemikian rupa kecuali mereka akan bangkit menentangnya.
Kesimpulan
1. Wajib mentaati pemimpin Muslim pada perkara yang tidak bercanggah dengan syariat walaupun dia seorang yang fasiq.
2. Wajib menghormati pemerintahan bukan Muslim dan yang dilantik secara sah oleh rakyat melalui proses demokrasi dan undang-undang dan mentaati mereka pada perkara yang tidak bercanggah dengan agama dan prinsip keadilan sejagat.
3. Wajib membetulkan kemungkaran dan menegur penyelewengan pemerintah Muslim dan bukan Muslim dan boleh untuk tidak bersetuju dengan polisi-polisi mereka.
4. Usaha membetulkan kemungkaran dan penyelewengan dan menyatakan ketidak-setujuan mestilah dilakukan secara hikmah, penuh adab, mengikut undang-undang dan sejajar dengan prinsip demokrasi.
5. Penentangan bersenjata ke atas pemimpin Muslim dan bukan Muslim adalah dilarang kerana kemudharatan yang besar yang ada di dalamnya.
6. Tidak boleh melakukan islah terhadap pemerintah dengan cara yang menimbulkan mudharat dan kerosakan yang lebih besar.
7. Bersabar dalam menanti perubahan untuk berlaku adalah dituntut dan mendapat ganjaran pahala.
Demikianlah kesederhanaan dalam menghadapi kelemahan pemerintah.