Artikel – Pendirian Islam Tentang Identiti, Perkauman dan Bersikap Patriotik

Oleh Muhammad Haniff Hassan

Artikel ini ialah versi bahasa Melayu bagi artikel bahasa Inggeris yang boleh dibaca di sini.

Kebelakangan ini tersebar di media sosial dan media konvensional beberapa insiden yang berbau perkauman di Singapura seperti penularan video-video seorang wanita yang memberi komen-komen negatif terhadap masyarakat minoriti, video seorang lelaki memberi komentar negatif kepada pasangan berbeza etnik dan video wanita memukul gong dan menari ketika jirannya sedang melakukan upacara ritual agamanya di hadapan rumah.

Artikel ini ditulis dengan tujuan untuk menyumbang secara konstruktif pada wacana sedia ada dengan berkongsi perspektif penulis akan sikap Islam terhadap dua perkara yang berkaitan dengan tajuk artikel ini;

  • Apakah pendirian Islam terhadap keterkaitan Muslim secara psikologi dengan etnik atau kaumnya?
  • Bilakah keterkaitan ini dibenarkan di sisi Islam dan bila pula ia menjadi perkauman yang tercela?

Artikel ini dimulakan dengan perbicaraan ringkas tentang erti identiti kaum atau etnik yang ada pada semua individu di sisi sains kemasyarakatan dan kaitannya dengan perkauman. Ia diikuti pula dengan pandangan penulis akan pendirian Islam terhadapnya.

Erti identiti dan perkauman

Istilah identiti dan perkauman adalah saling berkaitan dalam pengajian sains kemasyarakatan.

Identiti atau keperibadian dan jati diri seorang individu ialah sifat atau ciri-ciri yang mana seseorang mengakuinya sebagai bahagian penting bagi dirinya dan berasa bangga dengannya seperti sifatnya sebagai lelaki, bapa, suami, warga Singapura, Melayu, Muslim dan doktor perubatan.

Sains kemasyarakatan akui bahawa memiliki identiti adalah satu keperluan hidup bagi individu manusia. Adalah normal juga bagi individu mempunyai pelbagai identiti pada sesuatu masa, walaupun tidak semua identiti itu sama darjah kepentingan di sisinya, sebagai contoh Ali akui dirinya sebagai seorang Melayu, Muslim dan warga Singapura, tapi salah satu identiti ini dianggap lebih utama baginya dan ini mempengaruhi tingkah laku sosialnya dan pelbagai keputusan dalam hidupnya juga, terutama apabila berhadapan dengan situasi yang dianggap ketiga-tiga identiti ini bercanggah antara satu dengan yang lain.

Perkauman dari segi bahasa Melayu bermaksud sesuatu yang berkaitan dengan kaum, kerabat, puak, suku bangsa, etnik dan yang seumpamanya. Pengertian ini tidak mempunyai konotasi negatif.

Hal ini berbeza dengan maksud perkauman dalam sains kemasyarakatan. Ia bukan hanya soal kaitan sesuatu perkara dengan sekumpulan manusia yang diikat oleh ikatan darah atau budaya. Ia sering digunapakai sebagai terjemahan bagi perkataan racism dalam bahasa Inggeris yang diistilahkan pula sebagai rasialisme oleh Kamus DBP, yang memberi maksud, “layanan berat sebelah atau sikap bermusuhan terhadap seseorang berasaskan keturunan bangsanya” atau “fahaman yang menekankan suku kaum sendiri sahaja yang paling unggul” (Kamus Dewan edisi keempat).

Dalam konteks hari ini, fahaman sebegini mempunyai makna yang sangat negatif dan ini adalah maksud yang digunapakai bagi tujuan artikel ini.

Dalam sains kemasyarakatan, perkauman adalah subset dari persoalan identiti kerana, secara logik, perkauman adalah manisfestasi yang melampau dari rasa bangga seseorang terhadap identiti kaum yang dipilih untuk dirinya.

Sikap Islam

Terhadap dalil bahawa apa yang dinyatakan di atas tentang identiti dalam sains kemasyarakatan diakui juga oleh Islam. Hal ini dapat dilihat dalam firman Allah taala,

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Al-Hujurat:13)

Tiga kesimpulan dapat dibuat dari ayat ini berkaitan tajuk yang dibicarakan. Pertama, keterikatan manusia secara psikologi kepada identiti kelompok (collective identity) memang direncana Tuhan dan satu lumrah kehidupan. Kedua, Allah taala membenarkan kewujudan pelbagai identiti kelompok berbeza-beza atas tujuan yang positif iaitu agar setiap satu kelompok dapat saling mengenali. Namun berkenalan di sini bukanlah bermakna saling bertukar-tukar maklumat tentang kelompok masing-masing, tapi lebih tepat ialah untuk saling belajar dari satu sama lain dan dapat bekerjasama bagi manfaat bersama kerana inilah yang memajukan kemajuan sesuatu kaum, bukan setakat pertukaran maklumat. Ketiga, memiliki identiti kelompok seperti Melayu dan Jawa bukan sesuatu yang dilarang agama kerana ia diwujudkan untuk kebaikan manusia.

Kesimpulan ini dapat disokong pula oleh hakikat bahawa Rasulullah s.a.w tidak pernah melarang para sahabatnya dari menggunakan gelaran-gelaran yang menonjolkan identiti kelompok pada nama mereka seperti nama Abu Musa Al-Asy`ari (dari kabilah Bani Asy`ar), Salman Al-Farisi (berbangsa Parsi), Suhaib Al-Rumi (berbangsa Romawi) dan Abu Zar Al-Ghifari (dari kabilah Bani Ghifar). Ramai dari kalangan ulama besar Islam juga mengguna gelaran-gelaran ini bagi identiti diri. Bahkan ramai pula lebih dikenali dengan gelaran identiti kelompok dari nama sebenar mereka seperti Imam Al-Bukhari dan Imam Al-Qurtubi.

Terdapat juga dalil dalam Islam bahawa perkauman, sebagaimana juga dalam pengajian sains kemasyarakatan, dinilai negatif dan tercela. Hal ini dapat dilihat dalam;

  • perintah Al-Quran agar umat Islam mengakkan keadilan walaupun ia tidak berpihak kepada kaum kerabat sendiri (Al-Nisa’: 135), bahkan jika berpihak kepada musuh sekalipun (Al-Maidah: 8), sedangkan perkauman mengandungi sikap berat sebelah kepada mereka yang sekaum
  • Al-Quran melarang umat Islam dari memandang rendah dan mempersenda individu atau kaum lain (Al-Hujurat: 11), sedangkan perkauman sering kali mendorong individu untuk melakukan sedemikian
  • Al-Quran melarang umat Islam dari tanggapan bahawa diri sendiri sentiasa lebih mulia dari orang lain (Al-Najm: 32)
  • Al-Quran meletakkan kemuliaan individu pada takwa, dan Nabi s.a.w menafikan kelebihan seseorang atau kelompok atas dasar keturunan dan kaum dalam sabdanya, “Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang Arab ke atas yang bukan Arab, atau bukan Arab ke atas orang Arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan.” (Riwayat Ahmad dan Al-Baihaqi,)
  • perkauman mendorong individu untuk berasa sombong dan bongkak kerana merasa diri lebih baik dan mulia menyerupai sikap Iblis yang tercela apabila berkata tentang ciptaan Nabi Adam, “Aku lebih baik daripadanya; Engkau (wahai Tuhanku) ciptakan daku dari api, sedang dia Engkau ciptakan dari tanah.” (Sad: 76)

Sikap cinta dan bangga dengan identiti kelompok (baik bersifat kaum, etnik atau keturunan) yang disertai dengan apa yang dinyatakan di atas ialah apa yang dimaksudkan dengan asabiyah yang melampau oleh hadis Nabi s.a.w, “Barangsiapa berperang di bawah bendera buta tuli; marah atas dasar asabiyah, menyeru kepada asabiyah atau membela asabiyah lalu dia mati, maka matinya dalam keadaan mati jahiliyah.” (Riwayat Muslim)

Kesimpulan

Islam tidak mewajibkan Muslim untuk hanya memiliki satu identiti kelompok, iaitu sebagai Muslim dan membuang semua identiti lain.

Islam akui bahawa hubungan psikologi individu dengan keluarga, etnik dan kaum adalah sesuatu yang alami dan membenarkan pula Muslim untuk memiliki pelbagai identiti selain sebagai Muslim dan anggota sesuatu etnik atau kaum dan lain-lain.

Yang dilarang ialah perkauman, iaitu apabila kebanggan terhadap identiti etnik dan agama mendorong pada kezaliman terhadap kaum/agama lain, pengabaian prinsip keadilan bagi kaum/agama lain dan tingkah laku yang bersifat sombong dan bongkak hingga menatijahkan perbuatan menghina dan mempersenda kaum/agama lain.

Muslim hendaklah menjauhi perkauman kerana ia adalah prinsip agamanya, walaupun jika dirinya sendiri pernah didiskriminasi disebabkan anutan agama atau identiti etniknya.

Bahkan Muslim hendaklah kehadapan melawan perkauman tanpa kira samada ia berlaku ke atas dirinya atau kaum/agama lain kerana ini juga prinsip agamanya.

Dalam berusaha menangani masalah perkauman pula, Muslim hendaklah menjauhi tindakan kekerasan dan ganas, memilih cara sivil, emnnguna saluran undang-undang dan menjauhi pula dari respon yang bersifat perkauman yang sama kerana ia tidak termasuk dalam maksud firman Allah taala, “Dan balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya…” (Al-Syura: 40). Walau pun ayat ini membenarkan Muslim membalas satu tindakan jahat, tapi balasan hendaklah dalam bentuk yang diharuskan oleh agama, sedangkan perkauman adalah sesuatu yang dilarang sebagaimana yang dinyatakan di atas.

Segala hujah di atas juga boleh diterapkan pada sikap patriotik terhadap Singapura – dibenarkan selama mana ia tidak mendorong kepada kezaliman dan penganiayaan ke atas rakyat negara lain.