Artikel terkini – Batas daya kita tangkis pengganasan (Berita Harian (Singapura), 11 Okt. 2010)

11 Okt 2010

Batas daya kita tangkis pengganasan

Oleh
Muhammad Haniff Hassan dan Afif Pasuni

(Nota: Terdapat ralat pada versi Berita Harian iaitu nama Ramle Putih berada ditempat saya. Berita Harian telah memohon maaf dan akan membuat pengumuman ralat secar arasmi)

Setiap kali terdedah kes Muslim meradikalkan dirinya, akan timbul suara-suara dari dalam dan luar masyarakat Muslim yang mempersoal usaha umat Islam setempat. Iaitu adakah masyarakat Islam telah berbuat secukupnya?

Pada Julai tahun ini, Kementerian Ehwal Dalam Negeri mendedahkan kes-kes meradikalkan diri (self radicalisation) yang melibatkan tiga Muslim Singapura.

Seorang daripada mereka ialah anggota Perkhidmatan Negara (tentera) berusia 20 tahun yang dipengaruhi fahaman pelampau lewat Internet sehingga berhasrat menyertai perjuangan bersenjata di luar negara dan cenderung membuat bom. Pemuda itu kini dikenakan tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri selama dua tahun.

Dua kes lain melibatkan seorang guru agama yang tidak bertauliah dan seorang muridnya yang didapati dipengaruhi untuk terlibat dalam konflik bersenjata menerusi ajaran penyebar faham radikal, Anwar Al- Awlaki. Mereka kini dikenakan Perintah Sekatan selama dua tahun.

Terdapat kebimbangan bahawa program membentengi masyarakat daripada pengaruh radikal yang sedia ada masih tidak berkesan. Ini terpapar dalam isi surat Ibrahim Hassan (The Straits Times, 9 Julai 2010) dan artikel Nur Dianah Suhaimi di akhbar yang sama (31 Julai 2010).

Skim Pengiktirafan Asatizah pula menjadi fokus kerana kes terbaru melibatkan guru agama yang tidak bertauliah. Timbul cadangan agar skim ini diperkukuh menerusi perundangan ke atas mereka yang mengajar agama tanpa tauliah, sebagaimana yang dilaporkan oleh Zul Othman di akhbar Today (24 Julai 2010) dan juga dibangkitkan oleh PM Lee dalam amanat Hari Kebangsaan berbahasa Melayu yang lalu.

Suara-suara sedemikian berniat baik dan hal ini wajar diakui. Namun, ia juga mungkin timbul daripada andaian atau tanggapan umum bahawa beban menghuraikan radikalisasi perlu ditanggung masyarakat Islam sahaja. Padahal, ada faktor-faktor lain yang perlu diambil kira.

Pertama-tama, pembaca digalakkan agar merujuk kepada dua kertas kajian yang meneliti dengan baik sumbangan positif dan besar masyarakat Muslim di serata dunia dalam rangka menentang pelampauan iaitu Anti Terror Lesson of Muslim Americans (Januari, 2010) dan Islamic Peacemaking Since 9/11 (Januari, 2009). Kededua kajian ini mudah diperolehi di Internet.

Kedua, walaupun masalah meradikalkan diri dan pengaruh Internet merupakan satu masalah yang hakiki di banyak negara, masyarakat Singapura harus berasa bertuah kerana amat rendah kes berlaku di sini berbanding negara lain.

Misalnya, Britain, Amerika Syarikat dan Indonesia berdepan dengan kes-kes baru beberapa kali setiap tahun.

Dalam hal ini, pujian wajar diberi kepada masyarakat Muslim Singapura kerana terus berusaha sejak Jemaah Islamiyah didedahkan pertama kalinya pada awal 2002. Usaha ini menerima banyak pujian daripada pelbagai negara lain. Usaha umat Islam di sini dijadikan kajian kes untuk dicontohi. Namun, pencapaian ini seharusnya tidak menjadikan umat Islam di sini mudah selesa dan leka sehingga mengabai langkah selanjutnya.

Banyak pengkaji berpendapat bahawa masalah radikalisasi adalah satu fenomena yang kompleks. Ia tidak mempunyai sebab, laluan atau penjelasan tunggal untuk dijadikan dasar bagi usaha melawannya. Yang menjadi pegangan kini ialah membentuk satu pendekatan yang baik untuk melawan radikalisasi dengan cakupan pelbagai dimensi.

Dalam hal ini, ideologi yang membakar radikalisasi dalam belia Muslim hanyalah satu daripada pelbagai faktor penyebab.

Banyak kajian berkaitan proses radikalisasi menunjukkan kesan penting pengaruh perang di Iraq dan Afghanistan dalam meradikalisasi belia Muslim sehingga sanggup terlibat dalam rancangan pengganasan.

Farhad Khosrokhavar dalam bukunya, Inside Jihadism, membuat kesimpulan sedemikian setelah menganalisis pelbagai kes radikalisasi di negara-negara Barat.

Menurut projek tinjauan sikap iaitu The Pew Global Attitudes pada 2006 mengenai pendirian Muslim terhadap Amerika dan dasarnya, terdapat peningkatan sikap anti-Amerika di serata dunia. Ini didorong oleh penentangan terhadap dasar Amerika seperti perang di Iraq, perang melawan pengganasan dan sokongannya kepada Israel.

Tinjauan Gallup Poll pada Januari 2009 juga melaporkan bahawa pengunduran tentera Amerika dari Iraq akan merubah tanggapan negatif terhadap adikuasa itu di Timur Tengah dan Afrika Utara. Kesannya mengurangi kebencian umat Islam terhadapnya.

Apa pun, kededua perang di Iraq dan Afghanistan telah membesarkan lagi sungutan rakyat yang sedia ada. Keadaan ini memberi peluang mobilisasi bersenjata secara umum sehingga terbuka tindakan pengganasan di luar kedua-dua zon konflik.

Ketika Soviet Union melanggar masuk dan menakluki Afghanistan (1979-1989), peluang melakukan mobilisasi terwujud apabila kemarahan rakyat menepati seruan kumpulan pejuang Mujahidin ketika itu untuk membebaskan watan mereka saja.

Memang penting peranan masyarakat Muslim bagi mengatasi masalah radikalisasi. Namun, kewujudan pelbagai faktor pencetus radikalisasi bermakna ikhtiar umat Islam memang terbatas. Ini disebabkan sebahagian faktor penyebab masalah ini terletak di luar jangkauan masyarakat Muslim atau bukan dalam kawalan mereka, seperti pengunduran tentera asing dari Iraq dan Afghanistan

Ramai pemimpin masyarakat Islam menyedari akan hakikat ini. Malangnya, ramai antara mereka ini yang turut aktif dalam usaha melawan radikalisasi apabila bersuara mengenai faktor-faktor luaran dan sungutan berkaitan konflik yang sedia ada. Mereka dengan mudah terkait pula dituduh sebagai golongan bersimpati kepada kelompok pelampau. Hal ini terpapar dalam banyak kajian.

Marc Sageman dalam bukunya Learderless Jihad berpendapat, setelah mengkaji trend radikalisasi secara sendiri daripada pelbagai kes, bahawa pengunduran tentera Amerika dan sekutu-sekutunya di Iraq itu amat perlu demi menangkis diayah Al-Qaeda secara berkesan dan memadamkan api kemarahan di kalangan Muslim.

Bahkan, cadangan yang sama dikemukakan dalam laporan Trends in Global Terrorism: Implication for the United States oleh The National Intelligence Estimate.

Kesimpulannya, semua pihak wajiblah berhati-hati merumuskan bahawa pendedahan mengenai kes meradikalkan diri dalam masyarakat Islam itu mencerminkan kegagalan ummah berusaha ‘lebih gigih lagi’.

Apatah lagi dalam konteks masyakarat Muslim Singapura yang sememangnya amat jauh dan sukar untuk mempengaruhi dasar Amerika.

Nota: Kededua penulis ialah ustaz dan sarjana di sebuah institusi setempat. Makalah ini pandangan peribadi mereka.