Melantangkan Suara-Suara Sederhana

Gejala pelampauan dalam agama Islam bukanlah suatu yang dimomokkan oleh media semata-mata. Di alam realiti, ia memang wujud.

 

Walau pun Usama b Laden menolak dakwaan Amerika sebagai pelaku serangan itu tetapi sikapnya yang tidak menolak perbuatan sedemikian bahkan memuji dan menggalakkan umat Islam yang lain meniru melakukan perkara yang sama dalam pernyataan-pernyataannya telah meletakkan dirinya dan organisasi yang digerakkannya sejajar dengan pelaku keganasan yang terkutuk itu. Ini adalah satu yang dikesali dan kesilapan berdasarkan kaedah bahawa meredhai kekufuran adalah kufur dan meredhai kemunkaran adalah munkar.

 

Pendiriannya di sini terkeluar dari garis kesederhanaan yang diseru oleh Islam. Oleh itu, tidak layaklah ia untuk dicontohi.

 

Apa yang dikesali ialah hakikat ini tidak dapat ditanggapi oleh kewarasan fikiran umat Islam di merata tempat. Umat Islam mengutuk serangan ganas itu tetapi tidak mampu pula untuk menyalahkan mereka yang membenarkan perbuatan sedemikian bahkan menyeru agar perbuatan itu dilakukan. Ibarat kata bagaimana mungkin kita mengutuk seorang yang merogol wanita tetapi tidak pula mengutuk orang yang menyeru orang lain untuk melakukan perbuatan rogol?

 

Sikap sebahagian umat Islam pula yang merusuh kerana membantah serangan Amerika ke atas Afghanistan mencemarkan lagi imej kesederhanaan Islam.

 

Kesemua ini seharusnya membuka mata dan minda pencinta kesederhanaan di kalangan umat Islam untuk merenung akan peranan mereka bagi memangkin dan menyemarakkan suara-suara sederhana di kalangan umat.

 

Sememangnya bersederhana itu susah kerana ia memerlukan keseimbangan antara dua ekstrem. Namun itulah Islam yang sebenar. Mengimbangi antara dua ekstrem memang payah tetapi di situlah terletaknya ujian bagi mereka yang sabar dan istiqamah. Syurga pula adalah ganjaran bagi kesukaran ini.

 

Mereka yang ekstrem memang nampak gah, berani, hebat dan glamour pula kerana selalu mendapat liputan akhbar, baik dilakukan atas niat sedemikian atau tidak. Namun meraka sebenarnya telah memilih pilihan yang mudah. Mereka lupa bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bemaksud bahawa bukanlah seseorang itu kuat kerana kuat bergusti tetapi seorang yang mampu menahan marah atau mengawal emosinya.

 

Syukur kita bahawa sikap masyarakat Islam Singapura tidak seburuk di tempat lain. Namun ini menyedarkan kita akan kepentingan untuk menyemarakkan suara-suara yang sederhana, waras dan seimbang dalam masyarakat agar tidak wujud vakum yang diisi pula oleh elemen ekstrem.

 

Dalam hal ini adalah penting bagi mewujudkan satu kesepakatan terhadap erti kesederhanaan dan polisi sederhana dalam amalan Islam dan dakwah. Polisi ini hendaklah dilakarkan bersama oleh keseluruhan elemen penting dalam masyarakat Islam. Dengan kesepakatan ini, ia kemudiannya menjadi satu garis pandu yang dapat mengatur pendirian masyarakat dalam isu-isu dalam umat Islam seperti isu tasawuf, tarikat, bermazhab dan isu-isu luaran.

 

Dengan garis pandu ini ia memberi garis yang lebih jelas akan sifat yang melampau dan golongan pelampau agar mereka dapat diperbetulkan dengan segera atau disanksi (sanctioned) atas kedegilan mereka. Oleh itu, umat ini tidak terfitnah oleh tindakan mereka.