(Nota: Artikel ini pada asalnya ditulis pada tahun 1999)
Penyakit sosial perlu ditangani tidak kira samada ia kecil atau besar kerana yang kecil jika tidak diatasi dan dikawal ia akan membesar dan yang besar pula akan terus berkembang sehingga sukar untuk mengubahnya kembali. Inilah lumrah alam.
Dari perspektif Islam, kewujudan penyakit sosial hari ini tidak dapat dipisahkan dari kehidupan beragama manusia khususnya masyarakat Islam sendiri. Rasionalnya ialah;
1. Islam adalah agama yang diwahyukan untuk menjadi panduan hidup manusia. Hanya dengannya kehidupan di dunia menjadi sejahtera kerana alam in iadalah ciptaan Allah taala, maka Ia lebih tahu apa yang sesuai untuk alam ini. Apabila manusia meninggalkan kehidupan beragama maka akan pastilah timbul kerosakan dalam kehidupan termasuklah penyakit sosial.
2. Hidup secara Islam adalah sebahagian dari fitrah manusia. Ini dibuktikan dari firman Allah taala yang bermaksud:
“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui” (Ar-Rum: 30)
Ayat ini secara jelas menyatakan bahawa manusia sejak di alam ruh lagi telah menerima Allah sebagai Tuhan yang perlu dipatuhi dan ditaati perintah dan larangannya.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
Setiap bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanyalah yang meyahudikannya atau menasranikannya atau memajusikannya.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Mengapakah Rasulullah s.a.w tidak mengatakan mengIslamkannya? Ini kerana Islam itulah fitrah manusia.
Jika manusia meninggalkan kehidupan beragama maka ia telah meniggalkan fitrahnya yang akan mengakibatkan kegenjotan dalam kehidupannya.
Sesuai dengan suasana kebangkitan Islam, program-program dakwah berkembang dan semakin meluas disokong pula dengan teknologi yang lebih baik dari dahulu. Namun mengapakah penyakit sosial seolah seperti tidak terselesai dari masyarakat kita? Mungkin fakta di bawah boleh memberi sedikit gambaran mengenainya.
Dianggarkan sekitar 50,000 pelajar Melayu/Islam di sekolah rendah pemerintah. Hanya sekitar 18,000 sahaja yang didapat berdaftar di madrasah-madrasah masjid di merata Singapura. Jumlah 18,000 ini pula hanya berpeluang mengikuti program madrasah masjid sehingga darjah 6 sahaja kerana hanya madrasah masjid di peringkat menengah boleh dikira dengan jari sebelah tangan sahaja.
Ini menunjukkan kita bahawa diperingkat sekolah rendah terdapat jumlah yang besar dari kalangan anak-anak Melayu / Islam yang tidak diketahui asas pendidikan agama mereka dan diperingkat sekolah menengah pada ketika menjangkau usia remaja yang genting jumlahnya lebih besar lagi.
Kita percaya selama mana persoalan pendidikan asas agama anak-anak Melayu / Islam tidak ditangani maka selama itulah penyakit sosial masyarakat kita akan terus tidak teratasi
Kehidupan beragama bukan hanya relevan bagi masyarakat Melayu / Islam sahaja tetapi juga masyarakat lain. Kita yakin bahawa nilai-nilai yang bersifat absolut yang terdapat dalam ajaran Kristian, Buddha dan Hindu mempunyai peranan dalam menjaga kesejahteraan masyarakat dari penyakit-penyakit sosial. Maka kehidupan beragama di kalangan penganut agama berkenaan turut perlu digalakkan.