Pesanan Dari Al-Quran #100 – Dwi Fungsi Wanita Muslimah (7 Jun 2024)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 7 Jun 2024, di sini.

Dan hendaklah kamu (isteri-isteri Nabi s.a.w) tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliyah zaman dahulu dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu wahai ‘Ahlul Bait’ dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).” (Al-Ahzab: 33)

Dan ingatlah (serta sampaikanlah) apa yang dibaca di rumah kamu dari ayat-ayat Allah (Al-Quran) dan hikmah pengetahuan (hadis-hadis Rasulullah). Sesungguhnya Allah Maha Halus tadbirNya, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.” (Al-Ahzab: 34)

Pelajaran

  1. Kedua-dua ayat di atas adalah sebahagian dari ayat-ayat Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah Allah taala khusus kepada para isteri Nabi s.a.w yang terkandung dalam surah Al-Ahzab.

  2. Al-Ahzab: 33 memerintahkan para isteri Nabi s.a.w agar melazimi rumah masing-masing dan tidak keluar darinya tanpa keperluan. Tujuan perintah ini ialah untuk menjaga maruah mereka dari menjadi sasaran fitnah atau gosip kerana berada di luar rumah mendedahkan mereka kepada perhatian dan perbualan khalayak ramai. Ia juga untuk menjaga keselamatan mereka dari musuh-musuh Nabi s.a.w yang pasti akan menjadikan mereka sasaran untuk mengganggu misi beliau s.a.w.

  3. Sebahagian ulama memahami ayat ini sebagai ketetapan Al-Quran akan tugas utama wanita Muslimah, iaitu berada di rumah dan mengurus hal ehwal rumahtangga.

  4. Namun jika difahami bersama dengan Al-Ahzab: 34, peranan wanita Muslimah dapat dilihat sebagai lebih luas dari setakat “duduk rumah dan urus rumahtangga”.

  5. Al-Ahzab: 34 mengandungi makna dari perkataan “wazkurna” untuk menyampaikan:

    a) apa jua yang para isteri Nabi s.a.w dengar dari ayat-ayat Al-Quran yang dibaca oleh Nabi s.a.w setelah menerimanya dari Jibril
    b) kata-kata Nabi s.a.w yang mengandungi nasihat dan hukum-hukum agama di rumah
    c) tingkah laku Nabi s.a.w di rumah.

  6. Perintah ini adalah penting di sisi agama kerana kata-kata dan tingkah laku Nabi s.a.w adalah sunnah yang patut menjadi panduan bagi semua Muslim dan bukan hanya untuk ahli rumah Nabi s.a.w sahaja.

    Ketika di rumah, Nabi s.a.w pasti ada menasihati dan berkomunikasi ahli keluarganya dan melakukan pelbagai ibadat yang tidak dapat dilihat oleh orang luar. Jika para isteri Nabi s.a.w tidak berkongsi kata-kata dan tingkahnya, sebahagian hukum agama akan tidak sampai ke umat Islam di luar rumah Nabi s.a.w.

    Allah taala turunkan Al-Ahzab: 34 untuk memberi perintah yang jelas bagi memastikan perkara ini tidak terabai.

  7. Kededua ayat di atas memberitahu bahawa para isteri Nabi s.a.w mempunyai dua fungsi:

    a) fungsi domestik yang berkaitan pelaksanaan tugas kekeluargaan
    b) fungsi sosial yang berkaitan penyampaian ilmu agama atau dakwah kepada masyarakat.

  8. Banyak fakta sejarah menyokong kededua fungsi di atas:

    a) dalam ilmu hadis, terdapat banyak hadis yang melaporkan para sahabat (lelaki dan perempuan) belajar dan bertanya tentang  hukum-hukum agama yang diketahui oleh para isteri Nabi s.a.w hasil dari kehidupan mereka bersama Nabi s.a.w.
    b) dalam sejarah, ramai isteri Nabi s.a.w pula menjadi guru kepada kepada Muslim dari generasi sahabat dan tabi`iin dan aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan setelah kewafatan Nabi s.a.w.

  9. Saidatina Aishah r.a. adalah isteri Nabi s.a.w yang paling menonjol dalam hal ini. Beliau aktif berdakwah bukan hanya sebagai penyampai ilmu tapi juga sebagai aktivis masyarakat dan politik.

    Bukti jelas bagi perkara ini ialah penglibatan saidatina Aishah r.a. dalam pergolakan politik setelah pembunuhan saidina Usman r.a. ketika menjadi khalifah ketiga hingga membawa pada Perang Jamal, iaitu konflik senjata antara saidatina Aishah r.a. dan para pengikutnya yang ingin membela kematian saidina Usman r.a. dengan  saidina Ali r.a. selaku khalifah yang dilantik untuk menggantikan saidina Usman r.a. dan tenteranya.

    Walaupun penglibatan saidina Aishah r.a. dalam Perang Jamal dilihat sebagai satu kesilapan ijtihad di sisi sebahagian ulama, ia bukan hujah untuk menyalahkan aktivisme saidatina Aishah r.a. dalam masyarakat.

  10. Walaupun kededua ayat di atas ditujukan kepada Nabi s.a.w, namun semangat yang terkandung di dalamnya tentang fungsi wanita boleh diluaskan kepada semua wanita Muslimah kerana, sebagaimana Nabi s.a.w, para isteri Nabi s.a.w juga adalah contoh bagi semua Muslim, khususnya bagi para wanita.

  11. Al-Quran akui wanita Muslimah mempunyai peranan penting di rumah yang tidak boleh diabaikan kerana sebahagian peranan ini kurang sesuai untuk dimainkan oleh kalangan lelaki Muslim seperti pendidikan anak-anak pada usia kecil, tapi Al-Quran juga menetapkan bahawa wanita Muslim ada peranan penting berdakwah dalam masyarakat, dan bukan hanya tertumpu pada urusan domestik atau kekeluargaan sahaja.

    Hal ini menjadi lebih kritikal apabila dilihat sebahagian dari masalah-masalah sosial yang ada dalam masyarakat lebih baik ditangan oleh kaum wanita sendiri seperti masalah membela nasib kaum wanita yang terabai dan anak-anak remaja wanita yang nakal.

    Kesimpulan ini juga sesuai dengan makna dari ayat-ayat Al-Quran yang memerintahkan semua Muslim menunaikan perintah berdakwah (lihat Al Imran: 104 dan 110, Al-Nahl: 125, Al-Haj: 41).

  12. Lelaki Muslim dan wanita Muslimah mempunyai peranan dan tanggungjawab umum yang sama dalam Al-Quran, iaitu saling membantu dalam hal ehwal keluarga dan sumbangan kepada masyarakat (lihat Al-Taubah: 71).