Pesanan Dari Al-Quran #96 – Erti Beristighfar (12 April 2024)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 12 April 2024, di sini.

“Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.” (Ibrahim: 41)

“Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat).” (Muhammad: 19)

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan mata air-mata air terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: Masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).” (Al-Zariyat: 15-8)

“Wahai Tuhanku, ampunilah aku, kedua orang tuaku, orang yang masuk ke rumahku dalam keadaan beriman, dan orang-orang beriman laki-laki dan perempuan, serta janganlah Engkau tambahkan kepada orang-orang kafir itu kecuali kebinasaan dan kerugian dunia dan akhirat.” (Nuh: 28)


Pelajaran

  1. Ayat-ayat di atas adalah sebahagian dari dalil-dalil tetang anjuran beristighfar (memohom ampun akan dosa) ke atas Muslim.

  2. Beristighfar sangat digalakkan dan mempunyai kedudukan istimewa di sisi Allah taala. Hal ini dapat dilihat dari:

    a) Allah taala menjadikan istighfar perintah yang disampaikan langsung kepada Nabi s.a.w (Muhammad: 19)
    b) Allah taala menjadikan istighfar amalan yang wajib dilakukan oleh Nabi s.a.w (Muhammad: 1). Disebabkan perintah ini, Nabi s.a.w beristighfar dan bertaubat tidak kurang dari 70 kali setiap hari (hadis riwayat Al-Bukhari)
    c) Allah taala menjadikan istighfar sebagai sifat dan amalan orang-orang bertakwa dan ahli syurga (Al-Zariyat: 15-8).

  3. Beristighfar boleh dilakukan dengan membaca lafaz, paling kurang, “Astaghfirullah” atau membaca doa-doa yang terkandung permohonan keampunan dosa kepada Allah taala.

  4. Namun istighfar bukan hanya aktiviti lisan atau hati, iaitu wirid dan doa yang dibaca berulang-ulang kali di lidah atau hati. Ia juga bukan “angka-angka” (70x, 100x, 100x) yang perlu dicapai.

    Istighfar haruslah diikuti dengan penghayatan yang dicapai melalui muhasabah ketika melakukannya – introspeksi diri akan segala dosa yang pernah dilakukan, baik sengaja atau tidak.

    Inilah tujuan sebenar Allah taala menganjurkan manusia untuk beristighfar, iaitu untuk sedar akan dosa dan kelemahan diri, mengambil langkah membaiki diri secara berterusan, menanam sifat tawaduk dan membuang sifat sombong seperti Iblis.

  5. Muslim juga dianjurkan untuk memohon keampunan dosa bagi orang lain (Ibrahim: 41, Muhammad: 19 dan Nuh: 19), terutama sekali keampunan bagi ibu bapa (Ibrahim: 41, dan Nuh: 19).

    Hal ini memberitahu bahawa Muslim yang baik, bukan hanya perihatin akan kesolehan diri sendiri, tapi juga kesolehan manusia di sekelilingnya, terutama ahli keluarga terdekat. Muslim yang baik juga berusaha agar dia dan mereka disekelilingnya dapat sama-sama masuk syurga Allah taala di Akhirat kelak.

    Keperihatinan Muslim akan dosa-dosa orang lain dipanjangkan pula pada kepedulian terhadap hal ehwal kehidupan dan kebajikan mereka.

  6. Muslim beristighfar kerana keyakinan bahawa Allah taala adalah Tuhan Yang Maha Pengasih dan Pengampun.

    Apabila beristighfar, Muslim dianjurkan untuk menghadirkan pengharapan (raja’) dan sangkaan baik (husnuz zon) bahawa Allah taala akan mengampunkan dosanya.

    Hal ini pula memberi pelajaran kepada Muslim agar mencontohi sifat Allah taala yang Maha Penyayang dan Pengampun, iaitu bersedia untuk memaafkan kesalahan orang lain terhadapnya di samping memohonkan keampunan untuknya juga.

    Adalah ironis bagi seorang Muslim yang mengharapkan dosanya diampunkan tetapi lokek pula untuk memaafkan dosa orang lain. Hal ini memang sukar, tapi ia adalah penghayatan tinggi dalam beristighfar sebab itulah Nabi s.a.w mensifatkan seorang sahabat di zamannya sebagai ahli syurga hanya kerana ia selalu memaafkan kesalahan orang lain setiap malam sebelum tidur (hadis riwayat Ahmad).

    Bahkan salah satu jalan untuk mendapat keampuna Allah taala ialah dengan memaafkan kesalahan orang lain sebagaimana yang dapat difahami dari hadis,

    “Bersifat rahmatlah terhadap penghuni dunia, nescaya penghuni dilangit akan bersifat rahmat terhadap kamu” (Riwayat Al-Turmuzi)

    “Maafkanlah, nescaya kamu akan dimaafkan.” (Riwayat Al-Turmuzi).

  7. Sebagai kesimpulan, beristighfar hendaklah disertai dengan penghayatan berikut,

    a) sentiasa melakukan introspeksi dengan tujuan untuk membaiki diri
    b) bersifat tawaduk kerana sedar akan ketidaksempurnaan diri
    c) perihatin akan dosa orang lain dan mahukan keampunan untuk mereka juga
    d) berusaha untuk menjauhkan manusia lain dari dosa
    f) berusaha untuk memaafkan orang lain sebagaimana diri mengharapkan Allah taala memaafkan kesalahannya.