Pesanan Dari Al-Quran #41 – Kisah Dua Hamba Yang Khilaf

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 4 Februari 2022, di sini.

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam, lalu mereka sujud melainkan Iblis, dia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud.” (Al-A`raf: 11)

“Allah berfirman: Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu? Iblis menjawab: Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.” (Al-A`raf: 12)

“Allah berfirman: Turunlah engkau dari Syurga ini, kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina.” (Al-A`raf: 13)

“Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus.” (Al-A`raf: 16)

“Dan wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam Syurga serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai dan janganlah kamu hampiri pokok ini, (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari orang-orang yang zalim.” (Al-A`raf: 19)

“Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) dia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil dia berkata: Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Dia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga).” (Al-A`raf: 20)

“Dan dia bersumpah kepada keduanya (dengan berkata): Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua.” (Al-A`raf: 21)

“Dengan sebab itu dapatlah dia menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (dari) Syurga. Serta Tuhan mereka menyeru mereka: Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu dan Aku katakan kepada kamu, bahawa Syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata?” (Al-A`raf: 22)

“Mereka berdua merayu: Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi.” (Al-A`raf: 23)

“Allah berfirman: Turunlah kamu semuanya, dengan keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain dan bagi kamu disediakan tempat kediaman di bumi dan juga diberi kesenangan hingga ke suatu ketika (mati).” (Al-A`raf: 24)

Pelajaran

  1. Ayat-ayat ini di atas mengisahkan dua makhluk Tuhan yang telah melakukan kesilapan; a) Iblis dan b) Nabi Adam a.s.

  2. Pada kededua makhluk ini pelajaran bagi Muslim yang pasti, sebagai manusia, akan melakukan kesilapan dalam hidup ini, samada ia berbentuk maksiat yang berdosa atau hanya kesilapan biasa.

  3. Iblis melakukan kesilapan – tidak mahu taat perintah Allah taala untuk sujud kepada Nabi Adam a.s kerana merasakan dirinya lebih baik (Al-A`raf: 11-2). Berikutan dari kesilapan ini, dia menunjukkan sikap-sikap yang patut dijauhi apabila seseorang Muslim terkhilaf dalam hidup;

    a) tidak mahu mengaku kesilapan, sebaliknya memberi rasionalisasi bagi sikapnya – dirinya lebih baik berbanding Nabi Adam a.s. (Al-A`raf: 12)
    b) tidak mahu muhasabah diri, menyalahkan orang lain (Tuhan) (Al-A`raf: 16)
    c) tidak mahu menerima hukuman dan akibat dari kesilapannya, pilih untuk membalas dendam kepada Adam dan segala keturunannya kerana dianggap penyebab hilang segala nikmat yang pernah dikecapi (Al-A`raf: 13, 16)

  4. Nabi Adam a.s. melakukan kesilapan – memakan buah yang dilarang (Al-A`raf: 19) kerana terpedaya oleh pujuk rayu Iblis walau pun setelah diberi amaran oleh Allah (Al-A`raf: 20-2). Namun, Nabi Adam a.s. menunjukkan sikap-sikap yang perlu dicontohi;

    a) sandarkan kesilapan dari diri sendiri (Al-A`raf: 23), tidak menyalahkan takdir Tuhan, Iblis dan isterinya Hawa
    b) bertaubat dan membetulkan diri sendiri, bukan berdendam (Al-A`raf: 23)
    c) menerima hukuman/akibat dari kesilapan yang dibuat (Al-A`raf: 24).

  5. Setiap anak Adam pasti akan melakukan kesilapan dan dosa. Keaiban sebenar bukan pada perlakuan yang silap dan berdosa, tapi sikap setelah itu; samada bersikap seperti Iblis atau Nabi Adam a.s.

  6. Pelajaran ini bukan hanya berguna dalam konteks kesilapan dalam perkara agama tetapi juga kesilapan dalam perkara-perkara dunia seperti kesilapan dalam membuat keputusan berkaitan perniagaan, pelaburan, pembelian barang dan pergaulan sosial. Jika berlaku,

    a) mulakan dengan penilaian diri
    b) jangan cepat atau hanya menyalahkan orang lain (takdir, setan dan musuh)
    c) sedia akui kesilapan (jika terbukti), jangan bersembunyi disebalik rasionalisasi kerana daya intelek dan keupayaan berhujah yang baik
    d) berjiwa besar dengan berani hadapi akibat dari kesilapan yang dibuat
    e) fokus pada perbaiki diri, bukan berdendam pada orang lain, walau pun orang lain mungkin ada sumbangan pada kesilapan yang berlaku
    g) mohon petunjuk dari Allah taala bagi membuat pilihan-pilihan yang betul untuk membaiki keadaan dan diri serta dijauhkan dari kesilapan yang sama sebagaimana yang dapat dilihar dari doa Nabi Adam a.s.