Pesanan Dari Al-Quran #49 – Memahami Al-Quran Sebagai Kitab Hikmah (27 Mei 2022)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 27 Mei 2022, di sini.

“Ini ialah ayat-ayat Kitab (Al-Quran) yang mengandungi hikmah dan kebenaran yang tetap kukuh.” (Luqman: 2)

Pelajaran

  1. Allah taala mensifatkan Al-Quran sebagai kitab yang penuh hikmah – ilmu dan kebijaksanaan untuk dijadikan panduan dan huraian bagi urusan serta masalah kehidupan.

  2. Hakikat ini mengajar Muslim untuk membaca Al-Quran dengan minda yang celik, iaitu sentiasa aktif untuk mencari dan menggali makna-makna yang dapat dijadikan hikmah.

  3. Ia juga mengajar Muslim, dalam mencari hikmah dari Al-Quran, hendaklah tidak berpada hanya pada makna zahir atau pengertian dari sudut bahasa kerana hikmah bukan hanya makna zahir, tapi ia mempunyai maksud pengertian yang dalam, tersembunyi dan tersirat. Memperolehinya memerlukan taakulan dan taakulan bukan sesuatu yang sedia ada pada diri insan. Ia memerlukan ilmu tentang proses berfikir yang betul dan latihan untuk menguasainya pula.

  4. Hikmah dalam konteks Al-Quran bukan hanya data, maklumat atau ilmu. Ia memberi erti kesesuaian dalam aplikasi. Maka ia adalah ilmu yang ambil kira konteks diperingkat penurunan wahyu dan peringkat aplikasi pada masalah, bukan hanya erti bahasa, walaupun erti bahasa adalah penting dan salah satu sumber hikmah juga.

  5. Contoh untuk memahami konsep hikmah ialah hukum berpuasa bagi orang yang sakit dan bermusafir. Al-Quran membolehkan seorang yang sakit dan bermusafir untuk tidak berpuasa di bulan Ramadan. Namun, tapi ia juga mengatakan dengan jelas, “Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” (Al-Baqarah: 184).

    Berdasarkan makna tekstual, ayat ini seolah-olah memberitahu bahawa meneruskan puasa itu lebih baik dalam setiap keadaan.

  6. Namun ulama yang celik minda dan faham baik akan cara berinteraksi dengan Al-Quran tidak memahami sedemikian. Sebab itu boleh ditemui perbahasan panjang lebar di kalangan mereka samada berpuasa atau berbuka lebih baik bagi seorang yang sakit dan bermusafir atau bila berpuasa dan bila pula berbuka yang lebih baik.

    Hal ini kerana para ulama apabila berfikir tentang sesuatu hukum dalam Al-Quran mereka bukan hanya bertanya apa yang oleh dan tidak boleh boleh atau apa kata teks, tapi mereka juga bertanya apakah yang hikmah (bijaksana) bagi konteks masalah yang sedang ditangani?

  7. Oleh itu, Muslim juga dianjurkan untuk menyampaikan hikmah, bukan hanya makna dan tafsiran bahasa dari Al-Quran kerana hikmah dalam Al-Quran tidak masuk ke minda Muslim secara otomatik apabila dibaca, ia memerlu agen yang mengkomunikasikannya baik secara lisan atau tulisan.

    Sampaikan dan ajarkan Al-Quran sebagai kitab yang berhikmah (bijaksana), bukan sebagai kitab hukum sahaja.