Pesanan Dari Al-Quran #50 – Agar Dijauhkan Dari Sifat Mengagungkan Diri Sendiri (10 Jun 2022)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 10 Jun 2022, di sini.

“Sesungguhnya kau (Muhammad) hanyalah satu dari kalangan para mursalin (utusan Allah).” (Yasin: 3)

Pelajaran

  1. Ayat ini memberitahu Nabi Muhammad s.a.w bahawa beliau adalah satu mata rantai dari rantaian para anbiya’ yang telah diutus sebelumnya sepanjang sejarah.

    Terdapat banyat ayat-ayat yang mempunyai maksud yang sama dalam Al-Quran (Al-Baqarah: 252, Al-Furqan: 20, Al-Shura: 3).

  2. Penyataan ini bukan hanya satu pernyataan fakta. Ia bertujuan untuk mendidik Nabi s.a.w akan kepentingan untuk mempunyai kesedaran dan pemikiran sebegini supaya menjauhi dari pola pemikiran yang merasa diri sendiri yang paling hebat, terbaik dan pendahulu (pioneer) dalam segala hal.

  3. Tidak diragukan perutusan Nabi s.a.w mempunyai unsur-unsur “original”, iaitu sesuatu yang tiada pendahulu (precedent), unik, tersendiri dan berbeza dari yang sebelumnya.

    Contohnya solat lima waktu sehari, keharusan untuk mengambil harta rampasan perang dan dijadikan seluruh muka bumi tempat yang diharuskan mendirikan solat di atasnya.

  4. Namun syariat Nabi Muhammad s.a.w juga penuh dengan unsur-unsur “continuity”, atau penerusan dari syariat yang lalu seperti tunggak akidah dan akhlak-akhlak mulia yang utama.

  5. Hal ini mengajar Muslim bahawa, sejauh mana bakti yang dia telah taburkan, waspadalah akan sifat yang mengagungkan diri sendiri yang boleh berputik akibat bisikan syaitan dan kelengahan diri.

  6. Muslim hendaklah mempunyai minda dan pemikiran bahawa dia hanyalah satu mata rantai dan rantaian manusia yang menyumbang jasa dan mencetus perubahan.

    Maka hendaklah akui juga jasa generasi lalu dan mereka yang mendahului (seniors) serta warisan dan khazanah yang mereka tinggalkan.

    Hal ini juga disebut dalam firman Allah taala,

    “Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah belas kasihan dan rahmatMu.” (Al-Hashr: 10)

    Jangan sampai keinginan untuk dihargai dan diingati menyebabkan seorang Muslim mengenepikan dan menafikan sumbangan orang lain.

  7. Muslim juga hendaklah akur bahawa kejayaan dan jasanya, sedikit sebanyak, bergantung pada jasa golongan awal.

    Tanpa mereka, mungkin dia tidak menjadi “insan”, tidak dapat mencapai kejayaan dan tidak dapat pun mencetus perubahan yang ada.

    Hal ini dicontohkan oleh Nabi Sulaiman s.a.w dalam doanya,

    “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah aku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai dan masukkanlah aku dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.” (Al-Naml: 19)

  8. Muslim juga harus sentiasa sedar bahawa kebaikan bukan hanya datang dari dirinya, tapi juga datang dari orang lain, khususnya dari generasi awal.