Pesanan Dari Al-Quran #6 – Dahulukan Sifat Pengasih

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 21 Ogos 2020, di sini. Muat turun versi pdf di sini.

“Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu (wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh).” (Al-Hijr: 49)

“Dan bahawa azabKu, ialah azab yang tidak terperi sakitnya, (bagi mereka yang tetap dalam kederhakaannya).” (Al-Hijr: 50)

Pelajaran

  1. Sebab turun ayat-ayat ini ialah Nabi Muhammad s.a.w mendapati beberapa sahabat sedang duduk sambil ketawa dan beliau menunjukkan sikap tidak suka terhadap mereka. Allah taala turunkan ayat-ayat ini menasihati Nabi s.a.w.

  2. Ayat-ayat ini berbicara langsung dengan Nabi s.a.w bagi menunjukkan kepentingan kandungan dan nasihat yang diberi.

  3. Ayat-ayat ini mengajar Muslim agar mencontohi Allah taala dalam berhubungan dengan hamba-hambaNya (sesama manusia).

  4. Dalam Al-Hijr: 49, Allah taala mendahulukan sifat pengasih dahulu dan ini sejajar dengan Al-Fatihah: 1, ayat pertama Al-Quran, yang mana Allah taala mendahulukan Al-Rahman (Maha Pengasih) dan Al-Rahim (Maha Penyayang) dari nama-namaNya yang lain.

  5. Perhatikan Al-Hijr: 50, bahawa Allah taala tidak mensifatkan dirinya sebagai pengazab.  Dia hanya menyatakan “azabKu”. Hal ini berbeza dengan Al-Hijr: 49 yang mana Allah taala mensifatkan dirinya sebagai, “Aku Tuhan Yang Maha Pengasih”. Walau pun Allah taala menjanjikan azab ke atas sesiapa yang kufur dan bermaksiat, tapi Dia tidak suka mensifatkan dirinya sebagai Tuhan Yang Mengazab.

  6. Hal ini memberi pelajaran tentang memperkenalkan Tuhan kepada manusia dan melakukan dakwah kepada manusia.

  7. Memperkenalkan Tuhan sebagai Tuhan Yang Penyayang dan memaparkan Islam sebagai agama kasih sayang adalah ajaran Al-Quran, bukan meniru agama lain.

  8. Sememangnya, seimbang dan saksama dalam mengenalkan Tuhan itu perlu. Namun, mendahulu dan utamakan sifat pengasih tuntutan agama dan mempunyai dasar yang kuat dalam Al-Quran.

  9. “Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu …” (Al-Hijr: 49) terkandung panggilan mulia dan penghormatan bagi mereka yang mentaati Allah taala, iaitu mereka dikaitkan langsung kepadaNya. Ini menunjukan Allah taala mengamalkan hukum timbal balas (reciprocity) untuk dicontohi Muslim, iaitu Muslim wajib memuliakan mereka yang memuliakan dirinya.

  10. Menasihati mereka yang lalai pun perlu dahulukan sifat pengasih. Maka kepada orang biasa atau yang tidak dikenali, lebih diperlukan.