Pesanan Dari Al-Quran #61 – Dahulukan Yang Positif dan Baik-baik Dalam Berdakwah (18 November 2022)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 18 November 2022, di sini.

“Dan kami berfirman: Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam Syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim.” (Al-Baqarah: 35)

“…Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu….” (Al-Maidah: 1)

Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih) dan darah (yang keluar mengalir) dan daging babi (termasuk semuanya) dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi dan yang mati ditanduk dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya) dan yang disembelih atas nama berhala dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik….” (Al-Maidah: 3)

Pelajaran

  1. Allah taala menyebut dahulu apa yang halal untuk Nabi Adam a.s di syurga. Setelah itu baru disebut apa yang haram.

    Yang halal disebut dengan cara umum dan ringkas kerana ia lebih banyak. Memperincikannya adalah sukar dan tidak munasabah. Yang haram pula disebut secara khusus, iaitu tidak boleh makan buah dari satu pokok. Hal ini menunjukkan yang haram adalah sedikit. Maka mudah untuk diperincikan (Al-Baqarah: 35).

  2. Gaya yang sama juga dapat dilihat pada ayat-ayat Al-Quran yang mewahyukan makanan-makanan yang halal dan haram di dunia ini (Al-Maidah: 1 dan 3).

    Hal ini memberitahu bahawa pelajaran yang terdapat pada perintah di syurga itu juga relevan di dunia ini.

  3. Kesemua ini mengandungi panduan bagi usaha dakwah di dunia ini.

  4. Islam, pada dasarnya, menganjurkan Muslim untuk memperkenalkannya atau berdakwah dengan mendahulukan pemberitahuan nikmat-nikmat baik yang dihalalkan Allah taala.

    Dengan kata lain, dakwah dilakukan dengan memenangi hati manusia dengan yang baik-baik (manfaat) yang disukai dan boleh dinikmati oleh manusia atau sasaran dakwah.

  5. Pendekatan ini lebih sesuai dengan psikologi manusia kerana motivasi manusia kepada nikmat, umumnya, lebih kuat dari ancaman perkara yang memudaratkannya. Manusia melakukan perkara yang mudarat pun adalah kerana tanggapan bahawa perkara itu adalah nikmat dan bermanfaat, walaupun tanggapan itu salah.

  6. Oleh kerana perkara yang baik dan halal sebenarnya banyak untuk ditawarkan kepada manusia, ia memberi kelebihan pada pendekatan ini juga, iaitu dakwah mempunyai modal yang lebih banyak untuk memujuk hati manusia.

    Oleh itu, tidak bijak dalam berdakwah jika perkara sedikit (haram) lebih dijadikan tumpuan dan modal utama hingga mengelabui apa lebih banyak (halal).

  7. Islam anjurkan dakwah yang positif dahulu (ini halal, ini boleh, ini ok, ini tidak mengapa, ini Allah suka dan ini dapat pahala),setelah itu baru yang negatif (ini haram, ini bid`ah, ini sesat, ini dosa dan ini masuk neraka).

  8. Pendekatan yang sama juga boleh digunapakai dalam konteks pendidikan anak-anak dalam keluarga – mengajak mereka cinta agama Islam dengan memperkenalkan nikmat-nikmat yang baik dan bermanfaat dan amalkannya dengan pendekatan positif.

    Banyakkan “do’s” dan “can’s”, dari “don’ts” dan “cannots”.

  9. Perkara ini dirumuskan oleh ulama dalam satu prinsip yang berbunyi, al-targhib qabl al-tarhib (beri motivasi positif sebelum memberi ancaman).