Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 16 Mac 2023, di sini.
“Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi dan supaya menjadilah dia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin.” (Al-An`am: 75)
“Maka ketika dia berada pada waktu malam yang gelap, dia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu dia berkata: Inikah Tuhanku? Kemudian apabila bintang itu terbenam, dia berkata pula: Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang.” (Al-An`am: 76)
“Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: Inikah Tuhanku? Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat.” (Al-An`am: 77)
“Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: Inikah Tuhanku? Ini lebih besar. Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: Wahai kaumku! Sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya).” (Al-An`am: 78)
“Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain).” (Al-An`am: 79)
Pelajaran
1. Ayat-ayat di atas menceritakan proses yang dilalui oleh Nabi Ibrahim a.s. untuk mencari Tuhan yang sebenar
Nabi Ibrahim a.s. berusaha menggunakan akalnya mencari Tuhan. Pada mulanya, dia menyangka bintang, bulan dan matahari adalah Tuhan untuk disembah, tapi kemudiannya merumuskan bahawa ia adalah satu kesilapan kerana setiap satu mempunyai kelemahan yang tidak layak untuk disembah sebagai Tuhan.
Akhirnya, Nabi Ibrahim a.s. merumuskan bahawa Tuhan sebenar adalah Allah taala dan beriman denganNya.
Sebahagian ulama tafsir berpendapat bahawa ayat-ayat d atas bukan menceritakan pengalaman Nabi Ibrahim a.s. mencari Tuhan, tetapi menceritakan cara Nabi Ibrahim a.s. berdakwah kepada kaumnya untuk beriman pada Allah taala dengan menunjukkan bahawa segala bintang, bulan dan matahari yang mereka sembah tidak layak untuk disembah sebagai Tuhan.
Namun perbezaan ini tidak memberi kesan pada pelajaran yang akan dikongsi di bawah.
2. Kisah di atas memberitahu bahawa Al-Quran mengiktiraf akal sebagai satu wasilah untuk mengenal Tuhan yang sebenar dan kemudian beriman denganNya.
Iman kepada Tuhan tidak mesti dicapai melalui wahyu dan diikuti dengan penggunaan akal untuk berfikir tentang wahyu. Ia boleh juga dicapai dengan penggunaan akal dahulu, iaitu merenung alam (jalan ahli sains) dan menggunakan logik akal (jalan ahli falsafah) yang kemudiannya disabitkan pula oleh wahyu Tuhan.
Hal ini adalah kerana manusia berbeza-beza. Ada yang mudah mengenali Tuhan melalui proses wahyu dan ada pula melalui akal dahulu.
3. Proses mencari Tuhan melalui akal dahulu akan terdedah pada proses “cuba dan salah (trial and error)” sebelum sampai kepada iman yang benar sebagaimana yang terkandung dalam ayat-ayat di atas.
Hal ini bermakna, Al-Quran bersikap terbuka terhadap usaha manusia untuk bereksperimen dan kemudian tersilap dalam perjalanan mencari kebenaran.
4. Hidayah Tuhan tidak datang secara langsung. Ia mungkin datang melalui proses yang berliku dan rumit.
Hal ini memberitahu agar Muslim tidak mudah mencela mereka yang masih terkapai-kapai dalam perjalanan mencari Tuhan kerana mungkin jalan hidayah yang Allah tentukan baginya ialah sedemikian.
5. Dalam ayat-ayat di atas, Allah tidak mencela kesilapan Nabi Ibrahim a.s. memilih bintang, bulan dan matahari sebagai Tuhan. Allah taala memilih untuk melihat natijah dari usahanya, iaitu dia akhirnya sampai kepada iman yang betul.
Seorang yang belum tiba ke destinasi kebenaran tidak mesti dicela jika dia tunjuk keikhlasan dan kesungguhan dalam usahanya kerana Allah taala tetap hargai usaha itu dan ketibaannya ke destinasi bukan seratus peratus ketentuan dia. Ia bergantung pada ketentuan Allah taala atau hidayah dariNya juga.
6. Jika Allah taala bersikap terbuka terhadap kesilapan manusia dalam mencari dan beriman denganNya – tunggak penting ajaran Islam, Muslim seharusnya bersikap lebih terbuka terhadap kesilapan manusia dalam hal-hal lain sebagai sebahagian dari proses pembelajaran dan pembinaan diri.
6. Ayat di atas juga adalah dalil wujudnya pembelajaran melalui pengalaman (experiential learning) dan pengunaannya dalam mengajak manusia beriman kepada Allah taala dan tujuan-tujuan lain.
7. Beberapa pelajaran bagi dakwah pula;
a) tidak mesti dalam bentuk ceramah semata-mata, boleh menggunakan kaedah “experiential learning” juga. Demikian juga proses pendidikan agama anak-anak di dalam keluarga oleh ibubapa dan di sekolah oleh asatizah.
b) meraikan jalan-jalan hidayah yang berbeza bagi kelompok manusia sesuai dengan perbezaan keperluan pembelajaran manusia.
c) menggalakkan manusia untuk bereksperimen dan tidak menyuap sahaja (spoon feeding).
d) memberi nilai tinggi pada pengunaan akal dan tidak bersifat dogmatik.