Pesanan Dari Al-Quran #72 – Satu Ayat Al-Quran Bagi Menjadi Muslim Yang Baik (5 Mei 2023)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 5 Mei 2023, di sini.

“Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan hari Akhirat dan segala malaikat dan segala Kitab dan sekalian Nabi dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang dia menyayanginya, kepada kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan dan kepada orang-orang yang meminta dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi dan mengerjanya seseorang akan solat serta mengeluarkan zakat dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa kesakitan dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan) dan mereka itulah juga orang-orang yang bertakwa.” (Al-Baqarah: 177)

Pelajaran

1.    Satu ayat di atas memberitahu akan sifat-sifat orang-orang yang bertakwa, atau memberitahu bagaimana untuk menjadi insan yang bertakwa yang menjadi tujuan utama ajaran Islam dan objektif penting usaha dakwah.

2.    Sifat-sifat itu ialah;
a) beriman kepada Allah taala, hari Akhirat, para malaikat, kitab-kitab yang diwahyukan Allah taala untuk panduan manusia dan para anbiya’, atau, dengan kata mudahnya, beriman dengan rukun iman dalam Islam

b) menunaikan solat dan mengeluarkan zakat, atau dengan kata mudahnya mengamalkan rukun Islam yang lima

c) bersifat penyayang dan perihatin akan keadaan sekeliling

d) tunjukan sikap penyayang melalui amalan sedekah atau membantu mereka yang kurang bernasib baik dari kalangan ahli keluarga dan anggota masyarakat, membela golongan yang tertindas i.e. hamba dan berjuang di jalan Allah taala

e) menunaikan janji yang juga meliputi memenuhi tanggungjawab kontrak kerja dan perniagaan atau dengan bahasa terkini bersikap profesional dalam apa jua urusan

f) sabar dalam hadapi segala urusan kehidupan

g) berharta kerana tanpa harta tidak mungkin seorang Muslim dapat bersedekah dan mengeluarkan zakat sebagaimana yang dianjurkan dalam ayat di atas.

Ini pula menunjukkan sifat rajin berusaha dan bekerja kerana harta tidak diperolehi dan terkumpul tanpa usaha keras.

3.    Dengan erti kata lain, Muslim yang baik;

a) rajin beribadah (aspek kerohanian)
b) rajin membuat kerja kebajikan dalam masyakarat (aspek kemasyarakatan dan politik)
c) rajin bekerja (aspek ekonomi)
d) tidak pentingkan diri sendiri dalam segala bidang
e) perihatin akan nasib orang lain
f) penyumbang aktif dalam masyarakat
g) dermawan
h) tidak menjadi beban bagi orang lain
i) sabar (termasuk juga cekal, tabah dan yang seerti) dalam hadapi cabaran
j) pengasih dan penyayang
k) amanah, benar, jujur, tunai janji dan profesional
l) jauhi sifat menipu, curang, curi tulang, kaki lewat, makan rasuah dsb.
l) bertanggungjawap terhadap diri, keluarga dan masyarakat
m) bukan menumpu hanya pada kecemerlangan dalam bidang akademik (intelek), tapi juga kecemerlangan dalam nilai-nilai murni dalam diri.

4.    Satu ayat di atas sahaja, jika dihayati dengan baik, memadai untuk menjadikan Muslim insan yang baik dan cemerlang.

5.    Jika satu ayat Al-Quran sahaja mempunyai potensi besar alam membentuk seorang insan, bayangkan bagaimana Al-Quran dapat memberi kesan positif pada diri manusia jika keseluruhan isinya digali dan diterjemahkan dalam kehidupan sebenar.