Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 7 Julai 2023, di sini.
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” (Al-Hujurat: 11)
Pelajaran
- Ayat di atas diturunkan sebagai teguran Allah taala ke atas beberapa insiden yang membabitkan beberapa Muslim lelaki/perempuan yang mengucapkan kata-kata menghina dan memberi gelaran tidak elok kepada Muslim lelaki/perempuan yang lain.
- Ayat di atas adalah dalil bahawa Islam melarang perbuatan mengejek, menghina, mempersenda (dan yang seumpamanya) orang lain, baik dalam bentuk tutur kata atau tingkah laku.
Perbuatan ini dilarang kerana pihak yang menghina dan mengejek belum tentu lebih baik dari yang dihina dan diejek. Kalau pun yang menghina itu memang secara objektif lebih baik seperti lebih kaya, lebih berkelulusan tinggi, berjawatan lebih tinggi, perbuatan memandang rendah dan menghina tetap dilarang kerana kemungkinan yang dihina itu mempunyai kelebihan lain yang tidak ada pada pihak yang menghina atau dia lebih mulia di mata Tuhan kerana lebih banyak beribadah dan lebih suci hatinya.
Dalam konteks masa kini, perbuatan yang boleh turut boleh dimasukkan dalam larangan ini kerana ia bersifat ejekan dan penghinaan serta menyakitkan hati juga ialah;
a) membuat atau menyebarkan memes, sticker, gif yang terkandung gambar-gambar individu dengan niat untuk mempersenda dan mengejek individu berkenaan atau sebagai bahan ejekan orang lain
b) membuat “prank” yang menjatuhkan maruah seseorang di hadapan orang lain
c) melakukan “troll” yang mempersenda peribadi seseorang di alam maya - Ayat di atas juga dalil bagi larangan perbuatan mendedahkan aib orang lain, baik di alam realiti atau di alam maya.
Contoh ialah;
a) mengambil gambar rakan sedang tidur dalam keadaan ternganga dan meleleh air liurnya lalu disebarkan kepada orang lain dengan tujuan untuk bersenda tetapi menyebabkan rakan itu malu dan terguris hati
b) mendedahkan aib dan kelemahan individu dalam mesyuarat di hadapan orang lain kerana marah atas kesilapan hingga memalukannya. - Ayat di atas juga dalil bagi larangan memberi gelaran-gelaran tidak baik kepada sesiapa atau memanggil seseorang dengan panggilan yang menghina dan merendahkan maruahnya seperti “Man Katek”, “Timah Potek”, “Mat Kengkang” dan “Peah Pekak”.
Namun yang paling dibenci ialah memanggil seorang dengan panggilan yang mengandungi tohmahan ke atas kesolehannya tanpa bukti yang kukuh seperti menuduh dia seorang yang fasik, sesat, ahli bid`ah dan yang seumpamanya. Jika tuduhan ini tidak dibenar, ia akan terpantul balik kepada pihak yang menuduh. - Selain bersifat menghina, kesemua perbuatan di atas tercela kerana ia menyakitkan hati orang lain dan berpotensi pula untuk menyulut kebencian dan permusuhan sesama manusia. Semua ini adalah perkara tidak sopan dan keji yang mana akal yang waras pasti dapat merumuskan bahawa ia pasti dilarang Islam.
- Ayat di atas adalah antara segelintir ayat Al-Quran yang menunjukkan sikap perihatin Islam terhadap budi pekerti yang baik oleh Muslim. Oleh itu, Muslim hendaklah sentiasa berusaha memelihara kesopanan dalam tingkah laku semampu mungkin.