Pesanan Dari Al-Quran #83 – Mukjizat Al-Quran: Anggota Tubuh Manusia Berkata-kata Di Akhirat (13 Oktober 2023)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 13 Oktober 2023, di sini.

“Sehingga apabila mereka sampai ke Neraka, (maka) pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan mereka menjadi saksi terhadap mereka, mengenai apa yang mereka telah kerjakan.” (Fussilat: 20)

“Dan (setelah berlaku yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit-kulit badan mereka: Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami? Kulit-kulit badan mereka menjawab: Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata – telah menjadikan kami dapat berkata-kata dan Dialah yang menciptakan kamu pada mulanya dan kepadaNyalah kamu dikembalikan (untuk menerima balasan).” (Fussilat: 21)

“Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus) dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.” (Yasin: 65)

Pelajaran

  1. Ketiga-tiga ayat di atas adalah dalil yang memberitahu bahawa anggota tubuh manusia akan berbicara sebagai saksi atau bukti ke atas dosa yang dilakukan semasa di dunia ini.

    Dengan ini manusia tidak dapat berbohong dengan lidahnya, lari dari tuduhan ke atasnya dan menuduh Tuhan menzalimi mereka.

  2. Ketika ayat-ayat ini diturun di zaman Nabi Muhammad s.a.w, pernyataan bahawa anggota tubuh manusia boleh berbicara menjadi satu bahan senda kaum Arab yang tidak mahu beriman.

    Di zaman itu, sememangnya tidak terbayang kebarangkalian perkara sedemikian boleh berlaku.

    Para sahabat dan ulama yang zaman silam yang beriman dengannya pun hanya dapat memahami pernyataan ini sebagai satu “majaz” (metafora / bahasa kiasan) sahaja. Ramai yang lain hanya mampu berkata, “Allah taala Maha Berkuasa. Dia boleh lakukan segala yang Dia kehendaki, walaupun perkara yang tidak dapat dijangkau oleh akal manusia.”

  3. Namun perkembangan sains masa ini, pernyataan ini bukan sesuatu yang mustahil dan tidak terjangkau lagi oleh akal dan kefahaman manusia.

  4. Perkembangan dan kemajuan teknologi digital hari ini membolehkan apa yang dinyatakan oleh Al-Quran 1500 tahun dahulu;

    a) penemuan sains hari ini memberitahu bahawa rantai DNA manusia boleh digunakan bagi penyimpanan data. Ia kemudiannya boleh dimuat turun dengan mengguna peranti retriever.

    b) peranti retriever hari ini mempunyai keupayaan untuk menukar data secara otomatik dalam bentuk suara (speech).

  5. Maka secara saintifik, bukan satu mustahil jika DNA yang berada di dalam tubuh manusia mampu merakam atau merekod segala maklumat tentang tingkah laku seseorang secara alami. Maklumat ini pula boleh dimuat turun, lalu dipersembahkan dalam bentuk suara atau kata-kata sehingga seolah-olah tubuh badan manusia dapat berbicara.

  6. Hal ini hanya ditinjau berdasarkan kemajuan sains hari ini berbanding 1500 tahun dahulu. Pastinya teknologi ini boleh berkembang lebih maju di masa akan datang yang tidak dapat dijangkau oleh akal manusia sebagaimana kaum Arab dan umat Islam di zaman silam. Tambahan pula, tekonologi yang sedia ada di sisi Allah taala pasti lebih maju lagi kerana Dia Maha Berkuasa dan ilmuNya tidak terbatas tentang sains di masa akan datang.

  7. Apa yang dinyatakan di atas, sekali lagi menunjukkan mukjizat atau keistimewaan Al-Quran dan membuktikannya sebagai kitab yang datang dari Tuhan Yang Maha Agong dan Mengetahui, bukan karangan manusia biasa.