Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 24 November 2023, di sini.
“……katakanlah: Aku beriman kepada semua Kitab yang diturunkan Allah dan aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu. Allah-lah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami amal-amal kami dan bagi kamu amal-amal kamu. Tidak ada pertengkaran antara kami dan kamu, Allah mengumpulkan antara kita dan kepada-Nya lah kembali (kita).” (Al-Shura:15)
“….. Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadah orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama) -Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” (Al-Haj:40)
Pelajaran
- Ayat-ayat di atas mengandungi pelajaran tentang hubungan Muslim dengan penganut agama lain
- Ayat pertama (Al-Shura:15) mengandungi perintah Allah taala kepada Nabi s.a.w agar berlaku adil yang termasuk di dalamnya ialah jaminan kebebasan bukan Muslim/Ahli Kitab untuk beramal dengan agama mereka.
- Kebebasan ini bermaksud bahawa kaum bukan Muslim yang hidup di dalam masyarakat Muslim tidak boleh dihalang dari mengamalkan agama mereka, baik secara individu atau masyarakat.
Mereka hendaklah dibenarkan mengamalkan hukum agama mereka dan mengoperasi dan memelihara institusi agama mereka seperti rumah ibadah, sekolah dan mahkamah agama mereka.
Islam anggap ini adalah satu kewajipan ke atas umat Islam dan melanggar perintah ini adalah haram dan berdosa di sisi Allah taala. - Perincian dan pelaksanaan hukum ini dapat dilihat contohnya dalam surat saidina Umar r.a. kepada warga Kristian di Baitul Maqdis yang dicatat oleh Al-Tabari dalam kitab sejarahnya yang masyhur ketika membicarakan tentang penaklukan Baitul Maqdis;
“Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Ini adalah jaminan keamanan yang diberikan oleh Umar, Amir Al-Mukminin, kepada penduduk Iliya’ (Baitul Maqdis). Mereka diberi jaminan keamanan bagi jiwa dan harta mereka, gereja-gereja dan salib-salib (simbol-simbol agama) mereka, yang lemah dan sihat dari kalangan mereka dan kepada semua agama yang ada.
Gereja-gereja mereka tidak boleh dihuni, dirosak, dikurangi atau dipindah. Demikian juga salib-salib dan harta-harta mereka. Mereka tidak boleh dibenci dan ditindas kerana agama mereka….” - Dalam sunnah Nabi s.a.w pula tercatat bahawa Nabi s.a.w pernah mengizinkan sekumpulan paderi Kristian dari Najran untuk menunaikan sembahyang mereka di masjidnya apabila mereka datang melawat Madinah dan mengadakan dialog antara agama.
Bagi pencerahan lanjut, boleh baca catatan Dr. Zulkifli Albakri, Mufti Wilayah Persekutuan, dalam risalah Bayan Linnas no. 89 kisah ini,
“Kisah ini disebutkan oleh Ibn Ishaq dalam karya agung Sirah Ibn Ishaq, Imam Ibn Kathir dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 2/42; Ibn al-Qayyim dalam Ahkam Ahl al-Zimmah, 1/397 dan Zad al-Ma’ad, 3/549.
Berdasarkan kisah ini, dapat difahami bahawa Kristian Najran pernah bersembahyang di Masjid Nabawi atas keizinan Nabi s.a.w. Dalam masa yang sama, terdapat juga beberapa hal yang penting untuk diteliti pada kisah ini:
(1) Riwayat ini sebenarnya daif kerana sanadnya terputus. Ia diriwayatkan oleh Ibn Ishaq daripada perawi yang bernama Muhammad bin Jaafar bin al-Zubair daripada Nabi s.a.w. Muhammad bin Jaafar bukan merupakan seorang sahabat bahkan beliau hanya sempat berguru dengan tabien kecil sahaja.
(2) Ibn Qayyim meletakkan syarat supaya ia tidak menjadi adat atau rutin harian dan kebiasaan.
(3) Tidak ada riwayat lain yang menyatakan Nabi s.a.w membenarkan orang bukan Islam melakukan ibadat di Masjid Nabawi melainkan riwayat ini sahaja.
(4) Syeikh Muhammad bin Ibrahim Al Al-Syeikh menyatakan bahawa kisah ini menunjukkan bahawa sekiranya ada keperluan atau hajat yang memungkinkan hal seperti itu, ia dibolehkan.” - Ayat kedua (Al-Haj: 40) pula memberi kefahaman bahawa Allah taala bahkan memerintahkan Muslim untuk mempertahankan rumah ibadat agama lain dari dimusnahkan secara zalim.
- Kesimpulannya, agama Islam,
a) menjamin kebebasan kaum bukan Muslim untuk melaksanakan kewajipan agama mereka dalam masyarakat Islam
b) membenarkan perbuatan untuk memudahkan mereka untuk mengamalkan agama sebagaimana yang terdapat dalam kisah Nabi s.a.w dan paderi Kristian dari Najran
c) memelihara rumah-rumah ibadat bukan Muslim dari kerosakan dan kemusnahan, dan
d) mempertahankannya dari kezalimaan orang-orang yang zalim (menafikan kebebasan agama bagi mereka dan mengenakan penindasan ke atas mereka atas dasar agama). - Dalam konteks hari ini dan dinilai secara logik, apa yang dinyatakan di atas boleh diluaskan pada perkara-perkara berikut;
a) pemberian izin/permit untuk bina rumah ibadat oleh penguasa Muslim
b) bertindak menyelamatkan rumah ibadat bukan Muslim dari kebakaran bagi anggota bomba Muslim
c) membantu membersih dan membaiki rumah ibadat bukan Muslim ketika berlaku bencana awam seperti banjir besar dan gempa
d) menghantar individu ke rumah ibadatnya oleh pemandu teksi atau kereta sewa privet (Grab, Uber, Gojek).
Kesemua ini adalah harus dan tidak termasuk dalam perbuatan yang dianggap perakuan bagi akidah agama lain. - Ini juga memberitahu bahawa ada perkara dalam hubungan Muslim dan bukan Muslim yang, jika, dilakukan tanpa niat untuk mengakui akidah yang menyalahi Tauhid, tidak dianggap sebagai satu perbuatan yang syirik.
- Satu kefahaman agama yang bermasalah jika Muslim merasa marah apabila masjid-masjid yang terbakar dan rosak akibat bencana tidak dilayan seperti rumah ibadah lain oleh masyarakat bukan Muslim, jika dia sendiri berfahaman bahawa dirinya tidak boleh terlibat dalam apa jua usaha membantu rumah ibadah agama lain kerana menganggapnya perbuatan bersyubahat dengan syirik.