Pesanan Dari Al-Quran #91 – Allah Suka Sifat Rahmat Yang Inklusif (2 Februari 2024)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 2 Februari 2024, di sini.

“Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.” (Al-Fatihah: 1)

“Katakanlah (wahai Muhammad): Serulah nama “Allah” atau nama “Al-Rahman”, yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka); kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta mulia dan janganlah engkau nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara itu.” (Al-Isra’: 110)

“Iaitu (Allah) Al-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy.” (Taha: 5)

“Al-Rahman (Tuhan Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya). Dialah yang telah mengajarkan Al-Quran. Dialah yang telah menciptakan manusia. Dialah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan.” (Al-Rahman: 1-4)

Pelajaran

  1. Ayat-ayat di atas mengandungi pelajaran tentang sifat rahmat Allah taala.

  2. Allah taala amat suka dengan sifat rahmat dan mahu dikenali dengan sifat itu. Hal ini dapat dilihat dari;

    a) Allah taala menjadikan sifat itu sebagai pengenalan bagi dirinya dalam ayat pertama dari Al-Quran (Al-Fatihah: 1)

    b) Yang pertama disebut dalam Al-Quran ialah tentang sifat rahmat (pengasih dan penyayang) pada Allah taala (Al-Fatihah: 1)

    c) Rahmat dikaitkan dengan Allah taala dengan dua sifat, iaitu Al-Rahman (Maha Pengasih) dan Al-Rahim (Maha Penyayang) untuk menunjukan kepentingan, keutamaan dan keluasannya (Al-Fatihah: 1)

    d) Allah taala menjadikan Al-Rahman sebagai nama kedua pengganti bagi nama Allah. Tiada sifat atau nama Allah taala yang lain yang diberi keistimewaan seperti ini (Al-Isra’: 110, Taha: 5 dan Al-Rahman: 1)

  3. Semua poin-poin di atas disokong oleh ayat-ayat Al-Quran, Al-An`am: 12 dan Al-A`raf: 156.

  4. Penggandaan nama Allah taala berkaitan sifat rahmat, iaitu Al-Rahman dan Al-Rahim, bukan hanya untuk tujuan penegasan, tapi juga kerana kedua-duanya mempunyai maksud yang berbeza.

    Para ulama berpendapat Al-Rahman merujuk pada rahmat Allah taala bagi semua makhlukNya dan manusia (Muslim dan bukan Muslim). Al-Rahim pula merujuk pada rahmat Allah taala bagi hamba-hambaNya yang Muslim sahaja di Akhirat nanti.

    Ertinya Al-Rahman ialah sifat pengasih Allah taala yang lebih inklusif, berbanding Al-Rahim.

  5. Allah taala lebih suka mengamalkan rahmat yang inklusif (Al-Rahman). Hal ini dapat dilihat dari,

    a) Al-Rahman sentiasa disebut dahulu sebelum Al-Rahim, tiada yang sebaliknya (Al-Fatihah: 1)

    b) Al-Rahman dijadikan nama kedua bagi Allah taala (Al-Isra’: 110, Taha: 5 dan Al-Rahman: 1).

  6. Apa yang disebut di atas bukan hanya pemberitahuan tentang sifat Allah taala dan rahmatNya, tapi juga pelajaran bagi Muslim tentang bersifat rahmat di dunia ini kerana apa yang Allah taala lakukan juga untuk dijadikan contoh bagi Muslim menjalani kehidupannya supaya Muslim dapat menjadi cermin bagi rahmat Allah taala kepada manusia sesuai dengan kedudukannya sebagai khalifahNya di dunia ini.

  7. Islam mempunyai asas yang kukuh bagi Muslim untuk cenderung pada rahmat yang bersifat inklusif juga, iaitu memberi rahmat kepada semua makhluk Tuhan, baik manusia, haiwan atau ciptaan-ciptaan yang lain dan kepada semua manusia, baik Muslim atau bukan Muslim, berbanding rahmat yang bersifat parokial dan eksklusif, seperti kecenderungan untuk bersifat rahmat hanya kepada sesama Muslim atau sesama kelompok sendiri sahaja.

    Memang tidak semua makhluk Allah dan manusia memerlukan darjat rahmat yang sama. Namun poin yang hendak dibangkitkan ialah prinsip dalam meletakkan keutamaan dalam memberi rahmat dibuat hendaklah tidak berat kepada sesama Muslim sahaja, tapi berdasarkan merit (hajat dan keperluan pihak yang memerlukan).

  8. Segala huraian yang disebut di atas tentang rahmat Allah taala menjelaskan ayat Al-Quran yang memberitahu bahawa tujuan perutusan Nabi s.a.w ialah untuk “rahmatan lil `alamin” atau rahmat bagi sekali alam yang disebut dalam Al-Anbiya’: 107.