Pesanan Dari Al-Quran #95 – Anjuran Berminda Inkuisitif (1 April 2024)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 29 Mac 2024, di sini.

“Hai Zakaria, sesungguhnya Kami memberi kabar gembira kepadamu akan (beroleh) seorang anak yang namanya Yahya, yang sebelumnya Kami belum pernah menciptakan orang yang serupa dengan dia.” (Maryam: 7)

“Zakaria berkata: Ya Tuhanku, bagaimana akan ada anak bagiku, padahal isteriku adalah seorang yang mandul dan aku (sendiri) sesungguhnya sudah mencapai umur yang sangat tua.” (Maryam: 8)

“Tuhan berfirman: Demikianlah. Tuhan berfirman: Hal itu adalah mudah bagiKu; dan sesungguhnya telah Aku ciptakan kamu sebelum itu, padahal kamu (di waktu itu) belum ada sama sekali.”  (Maryam: 9)

“Zakaria berkata: Ya Tuhanku, berilah aku suatu tanda. Tuhan berfirman: Tanda bagimu ialah bahwa kamu tidak dapat bercakap-cakap dengan manusia selama tiga malam, padahal kamu sihat.” (Maryam: 10)

Pelajaran

  1. Ayat-ayat Al-Quran di atas menceritakan tentang pemberitaan Jibril kepada Nabi Zakariya bahawa Allah taala telah menerima doanya untuk dikurniakan seorang anak untuk mewarisi tugasnya sebagai nabi.

  2. Al-Quran memberitahu bahawa Nabi Zakariya a.s tidak menerima berita akan dikurnia anak dari Tuhan begitu sahaja. Dia bertanya, “Bagaimana mungkin?” kerana yang sedemikian itu mustahil berlaku pada pertimbangan akal kerana usia beliau yang sudah tua. Isteri beliau pula bukan hanya sudah tua (menopos) tapi juga mandul (Maryam: 8). Nabi Zakariya juga meminta petanda atau bukti bahawa bagi kejadian yang luar kebiasaan itu akan berlaku (Maryam: 10).

  3. Allah taala pula tidak marah apabila ditanya, tapi hanya menjelaskan sahaja apa yang ditanya dan diminta.

  4. Al-Quran menganjurkan Muslim berminda inkuisitif (tidak hanya menerima tanpa banyak soal), walau pun dalam urusan agama dan akidah, sebagaimana yang dicontohkan oleh Nabi Zakariya.

  5. Terdapat banyak ayat-ayat Al-Quran yang lain yang menyokong hal ini;

    a) Nabi Ibrahim a.s. bertanya Allah taala tentang bagaimana Dia boleh membangkitkan manusia yang telah mati? Allah taala tidak memarahi Nabi Ibrahim a.s, tapi hanya menyuruh beliau melakukan sesuatu yang boleh memberi petunjuk kepada perkara itu (Al-Baqarah: 260)

    b) Nabi Ibrahim a.s. meneliti bintang, bulan dan matahari untuk mencari Tuhan lalu menyimpulkan bahawa kesemua itu tidak sesuai untuk dijadikan Tuhan (Al-An`am: 75-80)

    c) Nabi Musa a.s. meminta Allah taala untuk memperlihatkan diriNya. Allah taala tidak melarang permintaan itu, tapi Nabi Musa tidak dapat melihat juga kerana alam ini tidak mampu untuk menanggung kekuatan Zat Allah taala hingga gunung yang kukuh pun musnah keranaNya (Al-A`raf: 143).

    d) Nabi Isa a.s. meminta Allah taala untuk mengurniakan kepada pengikut-pengikutnya makanan dari syurga. Allah taala tidak menghalang permintaan itu. Allah taala hanya memberi amaran akan “harga” baginya, iaitu siapa yang tetap tidak mahu beriman akan dikenakan siksaan yang pedih (Al-Maidah: 110-20)

    e) terdapat banyak ayat-ayat Al-Quran yang berbunyi “Yas’alunaka (Mereka bertanya kamu [Muhammad]” (Al-Baqarah: 215, 217, 219, 220, 222, Al-Maidah: 4 dan Al-Anfal: 1) yang melaporkan pertanyaan-pertanyaan orang ramai kepada Nabi s.a.w meminta penjelasan tentang pelbagai perkara. Ayat-ayat ini dianggap oleh para ulama sebagai pujian dan anjuran untuk bersikap suka bertanya apabila tidak tahu dan meminta penerangan jika tidak jelas.

  6. Adapun ayat-ayat yang mencela sikap sebahagian dari kaum Yahudi yang banyak bertanya apabila diperintah untuk mengkorbankan seekor lembu, ia bukan celaan terhadap sikap suka dan banyak bertanya, tapi kerana pertanyaan-pertanyaan itu dibuat atas tujuan yang salah, iaitu untuk sengaja melengah-lengahkan pelaksanaan perintah Tuhan dan menunjukkan sikap biadap (contempt) terhadap Nabi Musa a.s. (Al-Baqarah: 67-74).

  7. Ayat “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menanyakan (kepada Nabimu) hal-hal yang jika diterangkan kepadamu (justru) menyusahkan kamu. Jika kamu menanyakannya ketika Al-Qur’an sedang diturunkan, (niscaya) akan diterangkan kepadamu. Allah telah memaafkan (kamu) tentang hal itu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyantun.” (Al-Maidah: 101) pula merujuk pada bertanya dalam konteks apabila jawapan yang akan diberi boleh dijangka akan menimbulkan banyak kesulitan dari kebaikan.

  8. Jika bersikap inkuisitif apabila berhadapan dengan perintah Tuhan digalakkan dalam Al-Quran, pastilan sikap sedemikian lebih digalakkan dalam urusan keduniaan.

  9. Pelajaran ini amat relevan bagi ibu bapa dalam mendidik anak-anak di rumah, guru-guru apabila mengajar agama di sekolah-sekolah dan ketua-ketua dalam berurusan dengan pekerja-pekerja di pejabat; Hendaklah mewujudkan sekitaran yang mengalakkan minda inkuisitif, bukan mematikannya.