Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 10 Mei 2024, di sini.
“Dan dari buah tamar (kurma) dan anggur kamu jadikan daripadanya minuman memabukkan dan makanan serta minuman yang baik; sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang mahu menggunakan akalnya.” (Al-Nahl: 67)
“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: Dermakanlah apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir.” (Al-Baqarah: 219)
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan (bacakan)….” (Al-Nisa’: 43)
“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Al-Maidah: 90)
“Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?” (Al-Maidah: 91)
Pelajaran
- Ayat-ayat di atas memberitahu tentang proses pengharaman arak. Ia adalah proses bertahap-tahap.
Ayat Al-Nahl: 67 dan Al-Baqarah: 219 diturunkan lebih dahulu tanpa mengharamkan arak.
Al-Nahl: 67 hanya membangkitkan hakikat bahawa anggur mempunyai potensi untuk memabukkan dan juga menjadi makanan yang baik bagi manusia. Tujuannya ialah untuk menarik perhatian akan kesan negatif arak yang dibuat dari anggur dibandingkan kesan positif anggur apabila dijadikan sebagai makanan.
Al-Baqarah: 219 pula berusaha untuk meningkatkan lagi kesedaran manusia tentang keburukan arak dengan pemberitahuan bahawa ia mempunyai lebih banyak keburukan dari kebaikan.
Al-Nisa’: 43 pula mengandungi larangan melakukan solat dalam keadaan mabuk. Secara tidak langsung ia telah meletakkan batasan masa dan kuantiti meminum arak bagi Muslim bagi mengelak dari mabuk pada waktu solat.
Setelah manusia dididik bahawa arak itu mempunyai keburukan dan keburukannya itu lebih banyak dan menghadkan waktu meminumnya, barulah Allah taala mewahyukan ayat (Al-Maidah: 90-1) yang mengharamkan arak secara mutlak. - Allah taala mendahulukan pendekatan rasional dahulu apabila ingin mengajak manusia meninggalkan tabiat minum arak.
Manusia diajak berfikir tentang keburukan arak dan buat pilihan yang rasional secara sukarela. - Walaupun hukum akhir tentang arak telah ditentukan oleh Al-Maidah:90-1, namun pelajaran dari proses pengharaman ini kekal relevan sampai bila-bila, iaitu:
a) cegah dan ubah kemungkaran bukan hanya dengan memberitahu “itu haram, ini haram” sahaja
b) berhujah secara rasional, iaitu membuktikan keburukan kemungkaran hingga meyakinkan manusia juga penting kerana ia digunapakai juga oleh Al-Quran
c) adakala perlu dahulukan hujah rasional seperti dalam kes pengharaman arak. - Gabungan kedua-dua pendekatan ini perlu dalam usaha dakwah. Dakwah tidak harus hanya mengkomunikasikan hukum halal dan haram sahaja untuk mengubah manusia. Ia perlu juga berusaha menjelaskan secara rasional dan saintifik kenapa sesuatu perkara itu haram dan halal. Atas premis Allah taala tidak akan mengharamkan sesuatu kecuali di sana ada keburukannya, sudah pasti keburukan itu dapat dibuktikan secara rasional dan saintifik jika umat Islam berusaha bersungguh-sungguh mengkaji tentangnya.
- Demikian juga dalam pendidikan anak-anak. Tidak seharusnya mereka dididik untuk tinggalkan perkara haram hanya dengan hujah bahawa hukum Tuhan yang wajib dipatuhi (dengar dan patuh) semata-mata, tanpa perlu penjelasan rasional dan saintifik.
- Bahkan sejarah menunjukkan ada sebahagian manusia yang memadai dengan hujah rasional untuk yakin akan keburukan sesuatu perkara dan meninggalkannya.
Hal ini dapat dilihat dalam kes saidina Umar. Dilaporkan beliau sering meminta Nabi s.a.w agar memohon kepada Allah taala agar arak diharamkan sahaja kerana beliau awal-awal lagi telah yakin akan keburukannya dan kesesuaian hukum itu dengan prinsip ajaran Islam.
Adalah munasabah untuk diandaikan bahawa saidina Umar bukan satu-satunya individu yang faham sedemikian, tapi beliau mewakili kalangan ini. Jumlah mereka ini mungkin bukan majoriti, tapi kewujudan mereka tidak harus diketepikan kerana mereka adalah minoriti. Figura saidina Umar memberi tahu bahawa ada segolongan manusia yang hanya perlu hujah rasional untuk menerima kebenaran sesuatu perkara atau wujudnya segolongan manusia yang lebih cenderung untuk terima sesuatu perkara melalui hujah rasional.
Hal ini amat relevan dalam konteks dakwah dalam masyarakat sekular dan majoriti anggotanya bukan Muslim – menyampaikan Islam dalam “package (bentuk)” yang tidak semestinya keagamaan. - Kesemua di atas bukan bertujuan untuk mengenepikan atau meremehkan hukum Tuhan apabila mengharamkan sesuatu perkara. Ia bertujuan untuk tidak membataskan usaha untuk mengubah keburukan dalam masyakarat dengan pendekatan hukum atau teologi sahaja.
- Ayat-ayat di atas juga mengandungi pelajaran tentang:
a) prinsip bertahap-tahap dalam usaha mengubah kemungkaran yang sudah berakar umbi dalam masyarakat
b) pertimbangan konteks dalam menetapkan hukum atau memberi fatwa.