Pesanan Dari Al-Quran #99 – Kasih dan Rahmat Allah taala Kepada Manusia Mendahului Kewajipan Mereka KepadaNya (24 Mei 2024)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 24 Mei 2024, di sini.

“Maka ingatlah kepada-Ku, nescaya Aku kan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu ingkar kepada-Ku.” (Al-Baqarah: 152)

Siapakah yang mau memberi pinjaman kepada Allah pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), Allah akan melipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak. Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezeki) dan kepada-Nya-lah kamu dikembalikan.” (Al-Baqarah: 245)

“Katakanlah (Muhammad): Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang.” (Al Imran: 31)

Barangsiapa mengerjakan kebajikan, baik laki-laki maupun perempuan dalam keadaan beriman, pasti Kami (Allah) akan berikan kepadanya kehidupan yang baik dan Kami akan beri balasan dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” (Al-Nahl: 97)

Pelajaran

  1. Ayat-ayat di atas memberitahu bahawa Allah taala akan memberi respon kepada tingkah laku hambaNya yang baik.

    Jika seorang hamba ingat Allah taala dan melakukan amal soleh sesuai dengan perintahNya, Dia akan membalas dengan yang lebih baik lagi.

  2. Terdapat juga hadis-hadis yang semakna seperti sabda Nabi s.a.w,

    “Sesiapa yang tidak mengasihi, dia tidak akan dikasihi.” (Riwayat Muslim)

    “Kasihilah makhluk yang berada di bumi, nescaya (Tuhan) yang berada di langit akan mengasihimu.” (Riwayat Al-Turmuzi).

  3. Kesemua makna tekstual dari dalil-dalil Al-Quran dan hadis di atas seolah-oleh memberitahu bahawa rahmat dan kasih Allah taala bersyarat, iaitu diberi kepada mereka yang mahu tunduk dan patuh kepadaNya sahaja.

    Ini pula memberi gambaran bahawa Allah taala adalah Tuhan yang mengutamakan ketaatan dan kepatuhan kepadaNya dalam hubungan dengan hamba dan hubungan Allah taala dengan hambaNya berteraskan kuasa (power), bukan rahmat dan kasih sayang.

    Jika begini, tiadalah beza antara Allah taala dengan pelbagai penguasa-penguasa di muka bumi ini.

  4. Yang benar ialah kasih dan rahmat Allah taala bermula ke atas hamba-hambaNya mendahului kewajipan untuk taat dan tunduk kepadaNya dan tanpa syarat sedemikian.

    Hal ini dapat difahami di luar makna tekstual dalil-dalil syarak yang seperti di atas, iaitu dengan melihat pada makna dalil-dalil syarak yang lebih menyeluruh tentang sifat-sifat Allah taala dan penciptaanNya dan realiti kehidupan manusia.

  5. Rahmat dan kasih Allah taala dalam bentuk pelbagai nikmat di dunia bermula sejak manusia berada di rahim ibunya. Ia berterusan apabila manusia itu lahir sebagai seorang bayi yang lemah dan kemudian membersar menjadi kuat sebagai seorang dewasa dan hanya berakhir apabila berlaku kematian.

  6. Allah taala tidak mewajibkan manusia untuk tunduk dan patuh kepadaNya kecuali ia telah mencapai umur baligh.

    Dalam hukum Islam, manusia dianggap baligh apabila mengalami tanda-tanda biologi, iaitu keluar mani bagi lelaki dan keluar darah haid bagi perempuan dan ini biasanya berlaku pada usia 12 tahun. Bagi anak lelaki dan perempuan yang tidak alami tanda-tanda biologi ini, mereka dianggap baligh dalam hukum Islam syarak apabila berusia 15 tahun.

  7. Ini bermakna manusia telah pun menikmati banyak nikmat dan rahmat Allah taala lama sebelum memikul beban kewajipan untuk tunduk dan patuh kepadaNya.

  8. Ini membuktikan bahawa kasih dan rahmat Allah taala mendahului tuntutan agar manusia tunduk dan patuh kepadaNya dan hubungan Allah taala dengan hamba-hambanya bukan berteraskan kuasa (power).

    Ini juga membenarkan bahawa Allah taala adalah Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang lebih dahulu dari sifat-sifatNya yang lain sebagaimana Allah taala perkenalkan diriNya dalam ayat pertama Al-Quran,

    “Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.” (Al-Fatihah: 1)

    Ini sejajar juga dengan hadis,

    “Sesungguhnya rahmatKu sentiasa mengatasi kemurkaanKu.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

  9. Tidak salah juga untuk merumuskan bahawa kasih dan rahmat Allah taala untuk hamba-hambaNya yang sebenar tidak bersyarat.

    Ini dapat disaksikan pada hakikat bahawa nikmat dan rahmat Allah taala terus melimpahi manusia yang tidak tunduk dan patuh kepadaNya.

    Adapun balasan baik atau buruk yang Allah taala syaratkan bagi ketaatan atau keingkaran kepadaNya, ialah untuk berlaku adil kepada usaha mereka dan galakan untuk terus melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan yang kesemua itu pula disusun demi kebaikan manusia itu sendiri dalam kehidupan di dunia ini, bukan untuk manfaat Allah taala kerana Dia tidak memerlukan apa-apa manfaat dari amal manusia.