Allah taala berfirman
قُلۡ يَٰٓأَهۡلَ ٱلۡكِتَٰبِ تَعَالَوۡاْ إِلَىٰ كَلِمَةٖ سَوَآءِۭ بَيۡنَنَا وَبَيۡنَكُمۡ أَلَّا نَعۡبُدَ إِلَّا ٱللَّهَ وَلَا نُشۡرِكَ بِهِۦ شَيۡـٔٗا وَلَا يَتَّخِذَ بَعۡضُنَا بَعۡضًا أَرۡبَابٗا مِّن دُونِ ٱللَّهِۚ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَقُولُواْ ٱشۡهَدُواْ بِأَنَّا مُسۡلِمُونَ ٦٤
“Katakanlah ‘Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada satu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai tuhan selain Allah. Jika mereka berpaling, maka katakanlah kepada mereka ‘Saksikanlah, bahawa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah).” (Ali Imran : 64)
وَلَا تُجَٰدِلُوٓاْ أَهۡلَ ٱلۡكِتَٰبِ إِلَّا بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُ إِلَّا ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنۡهُمۡۖ وَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا بِٱلَّذِيٓ أُنزِلَ إِلَيۡنَا وَأُنزِلَ إِلَيۡكُمۡ وَإِلَٰهُنَا وَإِلَٰهُكُمۡ وَٰحِدٞ وَنَحۡنُ لَهُۥ مُسۡلِمُونَ ٤٦
“Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang yang zalim di antara mereka, dan katakanlah ‘Kami telah beriman kepada (kitab-kitab) yang telah diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepada kamu; Tuhan kami dan Tuhanmu adalah satu; dan hanya kepadaNya kami berserah.” (Al-Ankabut : 46)
Pelajaran
1. Dalam kedua-dua ayat di atas, Allah taala menunjukkan kepada kita agar memberi tumpuan pada titik-titik persamaan antara kita dan Ahli Kitab.
2. Kedua ayat ini juga menganjurkan bagi kita agar memulakan dakwah pada titik-titik persamaan.
3. Kedua-dua ayat ini juga mengajar kita bahawa, walau pun kita mengetahui akan penyelewengan yang telah berlaku di kalangan Ahli Kitab, namun itu tidak bermakna di sana tiada titik pertemuan atau persamaan antara kita dan mereka.
4. Sikap seperti ini tidaklah terkhusus pada Ahli Kitab sahaja tetapi juga kepada semua pihak yang bukan Muslim.
5. Dengan mengenalpasti titik pertemuan dan persamaan, membolehkan kita menjalin hubungan yang positif dan bekerjasama dengan golongan bukan Muslim sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w sebelum menjadi nabi dengan penglibatan dalam Harbul Fijar dan Hilful Fudhul dan selepas kenabian dengan perjanjian Sahifah Madinah.
6. Anjuran ini juga menjadi salah satu dasar bagi melakukan Dialog Antara Agama / Budaya sebagai salah satu media dakwah bagi kita.
7. Sekiranya Islam menganjurkan agar kita mencari titik persamaan dengan Ahli Kitab dan golongan bukan Islam, maka logiknya mencari titik persamaan di antara sesama Islam dan kumpulan Islam itu lebih utama dari berdebat dalam perkara yang diperselisihkan.
8. Jika seseorang itu merenung akan kecenderungan untuk mencari titik perselisihan antara pihak lain, pasti akan mendapati bahawa di sebalik kecenderungan itu terselit elemen-elemen negatif seperti dorongan marah, dendam, benci, mahu mengalahkah pihak lain, fanatik pada pandangan sendiri, sempit dada, tidak menghormati hak orang lain untuk berpendapat, melihat pihak lain sebagai ancaman dll. Sedangkan kita dituntut untuk sentiasa mensucikan hatinya dari sifat-sifat yang keji.
9. Hazr atau sikap berhati-hati yang sederhana adalah wajar dan tidak mengapa. Namun ia jangan mengakibatkan kita hilang peluang-peluang dakwah yang berharga atau aset-aset yang bermanfaat.
Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.