Pelajaran 5 – Dakwah Ialah Seruan Kepada Berfikir & Iman Atas Dasar Ilmu

Allah taala berfirman


إِذۡ قَالَ لِأَبِيهِ وَقَوۡمِهِۦ مَا هَٰذِهِ ٱلتَّمَاثِيلُ ٱلَّتِيٓ أَنتُمۡ لَهَا عَٰكِفُونَ 


قَالُواْ وَجَدۡنَآ ءَابَآءَنَا لَهَا عَٰبِدِينَ 


قَالَ لَقَدۡ كُنتُمۡ أَنتُمۡ وَءَابَآؤُكُمۡ فِي ضَلَٰلٖ مُّبِينٖ 

“Dan sesungguhnya telah Kami anugerahkan kepada Ibrahim hidayah Kebenaran sebelum (Musa dan Harun), dan adalah Kami mengetahui (keadaan)nya. (Ingatlah) ketika Ibrahim berkata kepada bapanya dan kaumnya ‘Patung-patung apakah ini yang kamu tekun beribadah kepadanya?’. Mereka menjawab ‘Kami mendapati bapa-bapa kami menyembahnya’. Ibrahim berkata ‘Sesungguhnya kamu dan bapamu berada dalam kesesatan yang nyata’.” (Al-Anbiya’ : 52 – 54)

Pelajaran

1. Perbuatan Nabi Ibrahim a.s bertanya kepada bapanya mengajar bahawa walau pun kita tahu akan kebatilan sesuatu perbuatan dan meyakini kebenaran ajaran kita tetapi kita hendaklah memberi peluang kepada sasaran dakwah kita untuk menjelaskan perbuatan dan kepercayaannya. Inilah contoh yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s mengenai dakwah dengan hikmah, contoh yang baik dan perdebatan yang ihsan. Kebenaran dakwah kita bukan satu lesen untuk kita terus menyerang sesuatu perbuatan atau kepercayaan tanpa memberi peluang kepadanya untuk menyampaikan hujah. Jangan sampai keyakinan kita kepada kebenaran dakwah pula menafikan hak orang lain untuk berhujah dengan kita. Sesungguhnya Islam membenci kuku besi dan dakwah tidak tertegak secara kuku besi.

2. Melakukan sesuatu perbuatan hanya berdasarkan ikut-ikut (taqlid) sahaja adalah dikeji dalam Islam. Walau pun, ayat ini bercakap mengenai orang bukan Muslim tetapi hukumnya umum kepada semua hatta dalam mengamalkan Islam sekali pun. Maka sebab itu ulama mengeji taqlid. Siapa yang menunaikan solat semata-mata hanya kerana ikut-ikut (taqlid) sahaja, walau pun solatnya sah, tetapi perbuatannya itu dicela oleh agama kerana Islam harus diamalkan atas ilmu dan keyakinan. Begitulah juga dalam dakwah, ia tidak boleh dilaksanakan atas ikut-ikut (taqlid). Sesiapa yang merasa bangga bersama dengan kumpulan dakwah tetapi tidak mempunyai ilmu mengenai ideologi, wawasan dan pegangannya, sesungguhnya dia telah tertipu. Lebih buruk lagi jika dia memandang rendah orang lain kerana ‘kejahiliyahan’ mereka.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.