Pelajaran 81 – Berdakwah, Bukan Berdebat

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud

“Saya adalah seorang pemimpin rumahtangga di syurga. Anggotanya adalah orang-orang yang meninggalkan perdebatan walaupun sedang dalam keadaan benar.” (Riwayat Abu Daud)

Pelajaran

1. Hadits ini mengajar kita bahawa Islam tidak suka kepada perdebatan. Oleh itu, kita hendaklah menjauhi dan mengelakkan perdebatan, walau pun atas niat untuk berdakwah dan yakin akan kebenaran pendiriannya.

2. Perkara ini amat penting untuk diperhatikan kerana tugas dakwah ialah untuk menyampaikan kebaikan dan mencegah kejahatan. Dalam proses melakukan tugas berkenaan, seringkali kita akan berhadapan dengan kritikan, bantahan atau sanggahan. Ini mendorongnya pula untuk mempertahankan kebenaran yang ingin dibawanya sehingga mudah pula untuk berlanjutan hingga ke peringkat perdebatan.

3. Jika kita meneliti fenomena di mana perdebatan berlaku, kita akan dapati bahawa umumnya perdebatan tidak berlaku secara mendadak tetapi ia melalui proses ‘escalation’ (peningkatan secara bertahap-tahap). ‘Escalation’ pula adalan simtom terhadap sesuatu. Samada ia menunjukkan bahawa hujah yang dikemukakan tidak meyakinkan pihak berkenaan, atau ia berada dalam situasi yang tidak bersedia untuk menerima apa yang disampaikan atau pendekatan yang digunakan tidak memenangi hatinya. Oleh itu, meneruskan perdebatan tidak akan membawa kepada natijah yang positif. Maka sebab itulah kita perlu meninggalkan perdebatan berkenaan walau pun kita benar. Hal ini untuk membolehkan kita menilai kembali hujah, situasi pihak berkenaan dan pendekatan kita. Paling kurang dengan meninggalkan perdebatan itu dia masih dapat memelihara hubungan baik dengan pihak berkenaan kerana meneruskan perdebatan berpotensi akan merosakkan hubungan antara manusia. Memelihara hubungan baik ini adalah penting kerana ia membolehkan dakwah disampaikan lagi dalam peluang-peluang yang ada di masa akan datang.

4. Selain itu, kita juga perlu ingat bahawa di celah-celah perdebatan kadangkala terdapat unsur-unsur negatif dalam diri sendiri seperti sifat degil, akur kepada ego, sombong, rasa diri sendiri benar, sempit dada dan lain-lain. Sifat-sifat ini adalah sifat-sifat keji yang seharusnya dibersihkan dari diri kita. Dakwah pula sepatutnya dilandaskan atas sifat-sifat yang mulia dan yang paling utama ialah ikhlas. Tiada kebaikan pada dakwah, jika ia bercampur aduk dengan nilai-nilai yang tidak baik itu.

5. Dari perspektif lain, perdebatan juga sebenarnya berpotensi memupuk nilai-nilai negatif yang dinyatakan di atas secara tidak sedar. Jika kita sering kali menjerumuskan dirinya dalam perdebatan, kita mungkin sahaja memupuk sifat-sifat berkenaan. Sedangkan kita seharusnya membersihkan dirinya dari sifat-sifat berkenaan.

6. Debat juga tidak dapat lari dari suasana yang beremosi samada di pihak kita atau pihak yang lain. Emosi pula bukan tempat yang baik untuk menanam bibit-bibit kebaikan kerana kebenaran itu mesti ditegakkan melalui minda yang benar yang menghasilkan pula keyakinan dan iman. Suasana emosi pula kadangkala menyebabkan pihak lain membuat pernyataan-pernyataan yang jelek terhadap Islam dan ajarannya. Ini adalah sesuatu yang mesti dielakkan oleh kita kerana Allah melarang kita mencerca tuhan umat lain bagi mengelakkan mereka mencerca Allah taala pula.

7. Ingatlah bahawa dakwah ialah untuk menyampaikan kebenaran kepada pihak yang lain dan bukan untuk membuktikan sesuatu mengenai dirinya.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.