Dari Nu`man b. Basyir r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud
“Perumpamaan orang-orang yang menjalankan hukum Allah dan yang sesuai dengan realiti yang ada ialah ibarat satu kaum yang peduli terhadap urusan kaum lain dalam sebuah perahu (kapal). Sebahagian penumpang di lantai atas dan sebahagain lagi di lantai bawah. Apabila penumpang di lantai bawah ingin mengambil air, maka mereka perlu naik ke lantai atas. Mereka berkata ‘Kalau seandainya kita membuat lobang air sendiri di bawah, maka kita tidak perlu mengganggu penumpang di atas.’ Seandainya mereka dibiarkan dan tetap berkeras untuk membuat lobang, maka akan binasalah seluruh penumpang, tetapi mereka dicegah maka akan selamat dan selamatlah semuanya.” (Riwayat Al-Bukhari)
Pelajaran
1. Hadits ini menggambarkan mengenai sekelompok manusia yang mempunyai niat baik tetapi melalui tindakan yang boleh merosakkan maslahat umum, iaitu mereka yang berada di lantai bawah kapal.
2. Kita perlulah memahami bahawa niat baik untuk melakukan dakwah dan perubahan tidak menjamin dirinya dari tindakan yang merosakkan. Dengan perkataan lain, perkara yang memudaratkan umum boleh berlaku dari satu tindakan atas niat yang baik.
3. Kita hendaklah tidak terkabur dengan kesucian misinya sehingga tidak dapat melihat kemungkinan perbuatannya itu salah atau memudaratkan. Sebaliknya, kita harus sentiasa peka jangan sampai niat baik menyebabkannya melakukan kesilapan yang memudaratkan umum.
4. Usaha dakwah bukan hanya berdasarkan niat yang baik tetapi juga berdasarkan tindakan yang tidak mengakibatkan mudarat umum. Niat yang baik bukan satu justifikasi kepada semua tindakan.
5. Hadits di atas menseiringkan perbicaraan mengenai dua kelompok – penumpang di lantai atas dan penumpang di lantai bawah. Ia mungkin bertujuan untuk mengingatkan kita akan kedua-kedua kelompok berkenaan sekaligus kerana kita tidak boleh hanya melihat diri kita sebagai kelompok penumpang di atas sahaja tetapi juga beringat bahawa kita mungkin sahaja jatuh dalam kategori penumpang di bawah. Hakikat ini memberi gambaran akan satu dinamisme dalam kehidupan kita bahawa kalau dalam situasi tertentu kita merupakan pihak penumpang di atas, dalam situasi lain kita mungkin berada dalam kelompok penumpang di bawah. Begitu juga dengan pihak yang lain. Kalau hari ini dia ditegur kerana dia bertindak seperti penumpang di bawah, esok mungkin dia yang menegur sebagai penumpang di atas.
6. Dengan perspektif di atas, ia memberikan keseimbangan persepsi terhadap diri sendiri dan orang lain sehingga kita tidak merasakan bahawa kita sentiasa betul (penumpang di atas) dan orang lain sentiasa salah (penumpang di bawah).
Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.