Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud
“Allah taala telah berfirman ‘Seorang hamba telah berdosa. Lalu dia berkata ‘Ya Allah ampunkanlah dosaku’. Lalu Allah taala berfirman ‘HambaKu telah berdosa. Dia tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampunkan dosa.’ Kemudian dia melakukan dosa lagi, lalu berkata ‘Ya Tuhanku ampunkanlah dosaku’. Lalu Allah taala berfirman ‘HambaKu telah berdosa. Dia tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampunkan dosa.’ Kemudian dia mengulangi melakukan dosa, lalu berkata Ya Allah ampunkanlah dosaku’. Lalu Allah taala berfirman HambaKu telah berdosa. Dia tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang mengampunkan dosa. Telah aku ampuni hambaku, maka lakukanlah apa yang dia kehendaki.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Pelajaran
1. Hadits ini mempunyai pengajaran mengenai sikap Allah taala terhadap hambaNya yang melakukan maksiat kemudian bertaubat setiap kali melakukannya. Allah taala tidak melihat aspek hamba itu yang suka mengulang-ulang maksiat setelah bertaubat lalu mencela dia. Sebaliknya Allah taala memilih untuk melihat hamba berkenaan sebagai seorang yang suka bertaubat, setiap kali melakukan maksiat. Kerana keinginan dia untuk bertaubat dan pengharapannya yang berterusan kepada Allah tanpa putus asa, hamba berkenaan mendapat keampunan dari Allah taala.
2. Seringkali dalam menghadapi sesuatu situasi, kita mempunyai pilihan untuk melihat situasi itu dari sudut yang negatif atau positif. Dalam hadits ini, Allah taala memilih untuk melihat sudut positif hamba berkenaan. Sekiranya kita mengkaji sifat kasih Allah taala kepada hambanya, nescaya dia akan dapati bahawa sikap melihat sudut positif merupakan sikap yang menonjol bagi Allah taala.
3. Namun kadangkala kelemahan kita selalu membawa untuk melihat sudut negatif sesuatu perkara. Maka apabila kita melihat seorang wanita yang tidak memakai tudung atau menutup aurat dengan sempurna masuk ke masjid untuk menunaikan solat, terlintas di fikiran perasaan sinis terhadap wanita berkenaan yang walaupun melakukan solat tetapi tidak bertudung. Sedangkan ia boleh sahaja memilih untuk melihat keadaan berkenaan dengan rasa syukur bahawa walaupun wanita itu tidak memakai tudung tapi dia masih mahu menunaikan solat dan pergi ke masjid. Lalu dengan penuh harapan pula berharap moga-moga dengan terus menunaikan solat akan mengubah dirinya untuk memakai tudung.
4. Sesuatu kemunkaran tetap kekal sebagai kemunkaran. Ia harus diubah dan tidak diredhai. Namun melihat sudut positif seseorang tidak bermakna membenarkan kemunkaran yang dia lakukan atau meredhainya atau tidak melakukan apa-apa.
5. Jangan sampai pula keinginan untuk melihat sudut positif seseoranag menyebabkan kita tutup mata terhadap kemunkaran yang dilakukan.
6. Melihat sudut positif mempunyai kebaikan dari segi psikologi. Ia menjadikan kita lebih optimis dan Islam itu sentiasa menganjurkan sikap yang optimis. Selain itu, ia mengurangkan stres dalam diri kita akibat jika sering melihat sesuatu secara negatif. Ini adalah penting bagi menjamin ketahanan kita di atas jalan dakwah dan kesihatan mental dan fizikal.
7. Allah taala adalah yang maha sempurna. Apa yang ditunjukkan olehnya merupakan contoh yang terbaik bagi pendakwah. Maka contohilah sikapNya yang melihat sudut-sudut positif sesuatu perkara.
Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.