Antara aspek kritikal dalam pemikiran golongan pelampau yang melakukan aksi pengganasan atas nama jihad ialah idea bahawa jihad dalam Islam memberi erti perang yang berpanjangan (perpetual war) antara Muslim dan bukan Muslim.
Golongan yang bepegang pada fahaman sedemikian berpendapat bahawa jihad bersenjata ialah satu-satunya dasar hubungan antara Muslim dan bukan Muslim. Jihad bersenjata dilihat sebagai satu kewajiban yang kekal hingga akhir zaman dan ia bertujuan untuk memerangi golongan bukan Muslim di mana sahaja mereka berada sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w, “Aku diperintah untuk memerangi “sekalian manusia”, sehingga mereka menyaksikan bahawa tiada tuhan selain Allah.”. Jihad bersenjata juga dianggap perlu dilaksanakan sehingga semua bumi ini tunduk pada kekuasaan Islam. Oleh yang demikian, dasar hubungan antara Muslim dan bukan Muslim ditetapkan sebagai perang, dan bukan perdamaian. Golongan ini kemudiannya cuba menguatkan pandangan mereka dengan menggunakan pandangan para ulama yang menyatakan bahawa umat Islam tidak dibenarkan untuk membuat perjanjian damai yang tetap dengan negara bukan Muslim. Apa jua perjanjian damai hendaklah tidak melebihi tempoh sepuluh tahun.
Golongan ini kemudian pula berhujah bahawa bahawa ayat-ayat jihad dalam Al-Quran diturunkan secara bertahap-tahap dan Allah telah menurunkan ayat-ayat 1 hingga 40, khususnya ayat 5, dari surah At-Taubah sebagai tahap yang terakhir. Ayat-ayat dalam tahap akhir ini didakwa memansukhkan segala ayat mengenai jihad yang turun sebelumnya iaitu jihad hanya diwajibkan apabila Muslim diserang.
Pemikiran yang dinyatakan di atas mempunyai kesan terhadap bagaimana Muslim berhubungan dengan bukan Muslim. Pertama, ia membentuk pola berfikir dualisme iaitu pola yang bersifat “jika kamu tidak bersama kami, maka kamu adalah musuh kami” sehinga kemudiannya menimbulkan rasa kebencian dan permusuhan kepada semua golongan bukan Muslim.
Kedua, ia juga menatijahkan penolakang terhadap idea kewujudan bersama secara aman antara Muslim dan bukan Muslim yang manifestasinya dapat dilihat dalam bentuk seruan untuk tidak berintegrasi dan menjurus kepada ekslusivisme sosial.
Ketiga, ia memupuk pola pemirkiran dan sikap negatif dalam diri seorang Muslim terhadap semua bukan Muslim. Muslim yang menerima idea jihad sebagai perang yang tidak berhabisan akan mempunyai salah tanggapan mengenai bagaimana dia harus menjalin hubungan dengan bukan Muslim. Bukan Muslim umumnya akan dilihat sebagai musuh dahulu sehingga terbukti sebaliknya.
Keempat, ia juga membina sifat prejudis dan tidak toleran dengan bukan Muslim. Kesemua ini kemudiannya boleh mempengaruhi pula lebih ramai bukan Muslim untuk bersikap negatif terhadap Muslim.
Pemansukhan tidak berlaku
Kajian yang mendalam terhadap tafsiran para ulama mengenai ayat-ayat jihad mendapati bahawa hakikatnya dakwaan berlaku pemansukhan ayat-ayat jihad diperingkat awal oleh ayat-ayat dalam surah At-Taubah tidak tepat kerana tiada dalil yang dapat menyokong dakwaan itu.
Ketika mentafsirkan ayat 5 dari surah At-Taubah, At-Tabari dan Ibn Katsir, dua tokoh utama tafsir Al-Quran, tidak menyebutkan mengenai ayat ini memansukhkan ayat-ayat jihad yang lain. Bahkan, Al-Qurtubi, seorang lagi tokoh tafsir, melaporkan bahawa sebahagian ulama, antaranya Adh-Dhahhak and Atho’ berpendapat bahawa ayat 5 dari surah At-Taubah ini pula telah dimansukhkan oleh ayat 4 dari surah Muhammad. Al-Qurtubi juga melaporkan satu pandangan dari Al-Husin bin Al-Fadl yang berpendapat bahawa ayat 5 dari surah At-Taubah memansukhkan ayat-ayat yang memerintahkan Muslim di zaman Rasulullah untuk bersabar dan menahan diri dari gangguan kaum musyrikin Mekah tetapi tidak menyebutkan pemansukhan mengenai ayat jihad yang bersifat defensif.
Tafsiran bersepadu
Pendapat yang lebih kuat dalam memahami ayat-ayat jihad ialah pendapat yang mengatakan bahawa ayat-ayat jihad tidak boleh ditafsirkan secara terpisah dari yang lain. Sebaliknya, semua ayat-ayat jihad haruslah ditafsirkan secara bersama bagi menghasilkan tafsiran yang tepat mengenai jihad dalam Islam. Dalam hal ini, para ulama telah bersetuju bahawa ayat-ayat yang bersifat umum mestilah dibataskan maknanya dengan ayat-ayat yang bersifat khusus. Oleh itu, pengertian ayat 5 dari surah At-Taubah yang umum yang mengandungi perintah untuk memerangi golongan bukan Muslim di mana sahaja mestilah dibatasi oleh ayat-ayat jihad yang lain.
Para ulama mengemukakan satu kaedah yang berbunyi “la ama illa wa huwa makhsus” (tiada (dalil) yang umum kecuali ia telah dibataskan maknanya). Oleh itu, para ulama sentiasa berwaspada apabila berhadapan dengan ayat-ayat yang bersifat umum. Mereka akan berusaha dengan sungguh-sungguh untuk mencari dalil-dalil yang membataskan ayat-ayat berkenaan. Demikianlah juga sikap mereka apabila berhadapan dengan ayat 5 dari surah At-Taubah. Dengan mematuhi kaedah ini, para ulama dapat menetapkan batas bagi keumuman ayat berkenaan. Sehingga dengan ini jihad bersenjata kekal pengertiannya sebagai perang yang hanya boleh disasarkan ke atas musuh yang memerangi umat Islam sahaja.
Para ulama dahulu seperti Abu Hanifah dan Ahmad bin Hanbal juga berhujah bahawa semua ayat-ayat dalam surah At-Taubah, kecuali ayat 29, sebenarnya merujuk secara khusus kepada orang-orang Arab musyrikin di zaman Rasulullah s.a.w. Sebahagian pula berpendapat bahawa ia merujuk secara khusus kepada kaum Quraisy Mekah sahaja. An-Nawawi dan beberapa ulama pula menulis bahawa ayat-ayat berkenaan tidak merujuk kepada golongan Ahli Kitab (Kristian dan Yahudi). Oleh itu, satu kesilapan untuk memahami bahawa ayat-ayat dalam surah At-Taubah ditujukan ke atas semua bukan Muslim.
Sekiranya ayat-ayat dalam surat At-Taubah itu diteliti secara bersama dan mendalam juga, pasti akan didapati bahawa perintah untuk berperang bukan ditujukan kepada semua kaum Arab musyrikin di zaman itu. Keumuman ayat-ayat itu dibataskan juga oleh ayat-ayat lain dalam surah At-Taubah sendiri.
Dengan meletakkan ayat-ayat 4, 7, 8, 12 dan 13 dari surah At-Taubah secara bersama, maka dapat difahami bahawa mereka yang mempunyai perjanjian damai dengan umat Islam di masa itu sedangkan “mereka tidak mengurangi sesuatu pun (dari isi perjanjian) mu dan tidak (pula) mereka membantu seseorang yang memusuhi kamu” tidak boleh diperangi. Ertinya perintah perang itu hanya ditujukan kepada kabilah-kabilah Arab yang melanggar perjanjian dan menyerang umat Islam serta jika “mereka memperoleh kemenangan terhadap kamu, mereka tidak memelihara hubungan kekerabatan terhadap kamu dan tidak (pula mengindahkan) perjanjian.”
Tafsiran yang kontekstual
Para ulama juga mengetengahkan akan pentingnya memahami konteks ketika penurunan ayat-ayat dalam surah At-Taubah.
Dalam hal ini, tafsiran yang paling wajar mengenai ayat-ayat berkenaan ialah ia merujuk kepada Arab musyrikin yang telah sekian lama berada dalam keadan perang ke atas umat Islam dengan melakukan aksi-aksi perang dan keganasan tanpa provokasi. Sikap permusuhan mereka berlanjutan pula, walaupun umat Islam pada masa itu telah berhijrah ke Madinah kerana mencari kedamaian dalam mengamalkan agama. Lebih buruk lagi, kabilah-kabilah Arab itu mengkhianati pula perjanjian damai yang telah dipersetujui bersama umat Islam kemudiannya. Di saat akhir misi kenabian, telah jelas bahawa hubungan perdamaian dengan kabilah berkenaan adalah mustahil. Berlatarbelakangkan sedemikianlah, Allah menurunkan ayat-ayat dari surah At-Taubah yang memerintahkan pembatalan perjanjian dan memerintahkan perang ke atas mereka.
Adalah penting bagi Muslim untuk memahami dinamika hubungan antara umat Islam di zaman Rasulullah s.a.w dan kaum Quraisy Mekah yang memusuhi mereka untuk mendapat kefahaman penuh mengenai ayat-ayat jihad. Apabila Allah taala mensifatkan golongan berkenaan dalam ayat 13, surah At-Taubah, sebagai mereka “yang merusak sumpah (janjinya), padahal mereka telah keras kemauannya untuk mengusir Rasul”, jelas sekali bahawa ia merujuk kepada kaum Quraisy di zaman Rasulullah s.a.w kerana sifat itu hanya sesuai untuk mereka sahaja.
Memahami dalil-dalil Al-Quran dan hadits sesuai dengan konteksnya amat penting sekali. Jika tidak, ia akan menatijah penyelewengan dan salah tafsiran. Kebanyakan dari penyelewengan dan salah tafsiran agama dari pelbagai kumpulan yang melakukan aksi pengganasan atas nama jihad adalah disebabkan tidak memahami konteks semasa wahyu diturunkan dan konteks hari ini.