Meluruskan Kefahaman Mengenai Konsep Berjemaah Dalam Islam 1/2

(Nota: Artikel ini dikutip dan diubahsuai dari buku Kesederhanaan Dalam Islam Dalam Konteks Masyarakat Islam Singapura, terbitan Pergas, 2004)

Antara sebab berlaku pelampauan dan taksub di kalangan Muslim hari ini ialah dalam konsep berjemaah.

 

Salah satu aspek yang perlu diluruskan dalam persoalan berjemaah pula ialah tanggapan seorang Muslim bahawa kebenaran itu adalah milik mutlak jemaah yang dianggotainya. Jemaah lain adalah salah. Bahkan mereka yang tidak menganggotai jemaah berkenaan atau meninggalkannya dihukum dengan kufur kerana telah berpaling dari kebenaran. Selain dari itu, ialah tanggapan menjadikan jemaah sebagai sumber kebenaran. Kesemua ini adalah gambaran-gambaran sikap taksub yang dicela dan terkeluar dari batas-batas kesederhanaan dalam Islam.

 

Hakikatnya, hidup berjemaah adalah salah satu dari ajaran penting Islam. Sebahagian dari dalil-dalil yang menunjukkannya  ialah sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

 

“Sesiapa yang meninggalkan berjemaah walau sejengkal, maka dia telah merungkai ikatan Islam dari tengkuknya.” (Riwayat At-Turmuzi, Hakim dan Ibn Hibban)

 

“Hendaklah kau bersama dengan jemaah orang-orang Islam dan imam mereka.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

 

“Aku diperintah untuk memerangi manusia sehingga mereka menyaksikan bahawa tiada Tuhan selain Allah dan aku adalah Rasulullah, dan mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. Jika mereka melakukan yang sedemikian, terpeliharalah dari aku darah-darah dan harta-harta mereka kecuali atas hak Islam, dan hisab mereka kepada Allah.”(Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

 

“Allah tidak akan menyatukan umatku dalam kesesatan. Sesungguhnya tangan Allah bersama dengaan jemaah. Siapa yang berasing diri, maka dia berasing diri dalam neraka.” (Riwayat At-Turmuzi)

 

Kesemua hadits di atas memberitahu akan kepentingan berjemaah dan dosa berpisah dari berjemaah atau tidak berjemaah.

 

Tiada masa yang lebih penting bagi umat Islam dalam menghidupkan budaya hidup berjemaah yang betul dari ini. Ini adalah kerena salah satu dari masalah besar dan musibah utama umat Islam ialah perpecahan. Perpecahan merupakan sebab utama yang menjerumuskan umat Islam ke darjat sosial, ekonomi dan politik hari ini.

 

Allah taala berfirman yang bermaksud:

 

“Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah.” (Ali Imran :103 )

 

“Dan janganlah kamu jadi seperti mereka yang berpecah belah dan berselisih setelah datang kepada mereka kenyataan-kenyataan. Dan bagi mereka itu, azab yang besar.” (Ali Imran : 105)

 

Keseluruhan masalah umat Islam hari ini tidak mungkin dapat ditangani melalui usaha individu atau kumpulan-kumpulan secara berasingan. Untuk menyatukan umat Islam dan mengatasi perpecahan, budaya hidup berjemaah yang betul perlulah disemarakkan.

 

Erti Jemaah Dalam Islam

 

Persoalannya ialah apakah maksud berjemaah dalam dalil-dalil seperti di atas? Memahami persoalan ini adalah penting kerana ia akan menentukan sejauh mana kebenaran dakwaan-dakwaan yang dinyatakan di atas dan hukum menyesatkan orang lain kerana tidak bersama dalam jemaahnya atau meninggalkan jemaahnya.

 

Para ulama telah mengertikan jemaah dalam dalil-dalil syara’ dengan beberapa erti berikut:

 

a. Ia bermaksud masyarakat Islam yang ramai (As-Sawad Al-A`azam).

b. Ia bermaksud para ulama mujtahidin.

 

Allah taala menjamin bahawa para ulama Islam tidak akan sama sekali bersepakat dalam kesesatan.

 

Ini adalah pandangan Imam Al-Bukhari dan ramai ulama Usul dan Salaf. Imam Al-Bukhari menulis satu tajuk dari bab di dalam bukunya;

 

“Bab ‘dan demikian itu kami jadikan kamu satu umat pertengahan’ dan apa yang diperintahkan oleh Nabi s.a.w untuk melazimi jemaah, iaitu ahli ilmu”

 

At-Turmuzi berkata;

 

“Dan tafsir jemaah di sisi ahli ilmu ialah ahli fiqh, ilmu pengetahuan dan hadits.”

 

Al-Kirmani berkata;

 

“Ketentuan perkara dalam melazimi jemaah ialah wajib bagi seorang mukallaf untuk mengikuti apa yang telah diijma’ oleh para mujtahidin.”

 

c.  Ia bermaksud para Sahabat secara khusus.

d. Ia bermaksud jemaah orang Islam dibawah kepimpinan seorang pemimpin.

 

Ia merujuk kepada sekumpulan masyarakat Islam yang apabila telah bersetuju untuk berada dibawah satu kepimpinan politik dalam sebuah negara atau pemerintahan. Maka tidak boleh berlepas diri dari taat setia (bai`ah) yang diberikan kepada pemimpin itu.

 

e. Ia bermaksud jemaah umat Islam keseluruhannya (Ahl Al-Islam).

 

Maka yang dimaksudkan di sini ialah bersama dengan umat Islam dalam anutan agamanya, tidak berjemaah bermaksud tidak menganut Islam dan meninggalkan berjemaah bermaksud murtad dari agama.

 

Apabila dinilai pandangan para ulama mengenai jemaah maka dapat disimpulkan erti jemaah merujuk kepada:

 

a.   Jemaah dalam erti satu struktur politik iaitu apabila satu masyarakat Islam yang telah   bersepakat ke atas satu kepimpinan dan pemerintahan.

 

Mereka telah bersetuju untuk memberi taat setia (bai`ah) kepadanya. Jemaah ini boleh dalam satu masa hilang dan tidak wujud. Termasuk di sini ini ialah kuasa politik Islam di bawah kepimpinan Rasulullah s.a.w semasa hidupnya dan sebuah negara Islam.

 

Hakikat ini dapat dilihat dari hadits yang bermaksud:

 

“Sesiapa yang melihat sesuatu yang dibenci dari pemimpinnya, hendaklah dia bersabar. Sesungguhnya sesiapa yang keluar dari jemaah sejengkal maka matinya seumpama mati jahiliyah.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

 

Sejajar dengan ini ialah hadits yang bermaksud:

 

“Hendaklah kau bersama jemaah orang-orang Islam dan pemimpin mereka.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

 

Ibn Hajar meriwayat At-Tabari berkata:

 

“Yang benar berkaitan khabar wajib melazimi jemaah ialah taat kepada siapa yang telah disepakati oleh umat Islam atas kepimpinannya. Siapa yang membatalkan bai`ahnya, maka dia telah keluar dari jemaah.”

 

a.       Jemaah dalam erti manhaj Islam yang mendasari kehidupan bagi manusia dan umat Islam.

 

Hakikat ini adalah kerana erti jemaah tidak boleh dipisahkan dari hadits-hadits yang berkaitan dengan firqah yang berjaya dari tujuh-puluh tiga firqah yang berpecah dalam umat Islam. Jemaah ini tidak akan hilang dan akan sentiasa wujud hingga hari Kiamat. Termasuk di sini ialah jemaah dalam erti para sahabat yang sentiasa mencontohi Rasulullah s.a.w, para ulama fiqh, usul, hadits dan ahli ilmu yang menjadi tunggak dan memelihara manhaj Islam sejajar dengan contoh dari Rasulullah s.a.w dan Ahli Sunnah Wal Jemaah yang mewakili kumpulan besar (As-Sawad Al-A`azam) dari umat Islam.

 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

 

“Telah berpecah umat Yahudi kepada tujuh-puluh satu kumpulan dan berpecah umat Nasrani kepada tujuh-puluh dua kumpulan. Umatku akan berpecah kepada tujuh-puluh tiga kumpulan, tujuh-puluh dua dalam neraka dan satu di dalam syurga.” (Riwayat Abu Daud, Ahmad, Al-Hakim dan Ad-Darimi)

 

Mengenai siapakah kumpulan yang masuk syurga itu, maka terdapat riwayat-riwayat berikut:

 

a.       ‘Satu di dalam syurga iaitu Al-Jemaah

b.       ‘Semua di dalam neraka kecuali As-Sawad Al-A`azam

c.       ‘Apa yang aku dan sahabat berpegang dengannya’

 

Kesemua erti yang di atas saling menyempurnakan pengertian jemaah dan ia tidak merujuk kepada satu struktur tetapi satu manhaj – manhaj Rasulullah s.a.w yang bersandarkan kepada Al-Quran dan Sunnah.

 

Dengan memahami apa yang dinyatakan di atas, maka pengertian jemaah tidak merujuk kepada satu kumpulan Islam dalam erti kata sebuah harakah atau organisasi atau perkumpulan yang rasmi atau tidak. Maka menganggap kumpulan sedemikian sebagai jemaah yang wajib disertai dan meninggalkannya adalah dosa dan kufur yang mengakibatkan mati jahiliyah, adalah satu pandangan yang menyeleweng dan melampau.

 

Jemaah yang terdapat dalam dalil-dalil yang dinyatakan merujuk kepada persoalan prinsip beragama yang wajib bagi seorang Muslim untuk bersama dan berpegang dengannya sedangkan jemaah dalam erti sebuah gerakan Islam hanyalah satu wasilah bagi dakwah. Masyarakat Islam boleh memilih mana-mana dari jemaah ini untuk menunaikan tanggungjawab dakwah secara jama`ii. Ia boleh memilih jemaah berkenaan atas dasar bahawa ia adalah jemaah yang terdekat kepada kebenaran tetapi dia tidak boleh mendakwa bahawa hanya jemaah dia adalah yang benar dan jemaah lain adalah sesat.

 

…… bersambung