Menghadapi Cabaran Ideologi Kumpulan Pelampau

Pendahuluan

 

Dalam usaha membanteras kumpulan pelampau, ramai pihak mengaku bahawa ia tidak dapat dicapai hanya melalui jalan ketenteraan dan proses undang-undang semata-mata. 

 

Satu komponen yang penting yang perlu disepadukan dalam strategi menyeluruh untuk membanteras kumpulan pelampau ialah memerangi ideologi yang mendasari pemikiran kumpulan berkenaan dan yang seumpamanya hari ini.

 

Namun di sebalik pengakuan seperti ini, banyak pemerintah dan pemimpin masyarakat yang sebenarnya tidak mempunyai satu idea yang komprehensif bagi menentang kumpulan pelampau di medan ideologi.

 

Soalan penting seperti apakah respon secara ideologi terhadap kumpulan pelampau berkenaan? Apakah idea-idea utama yang menjadi pegangan kumpulan itu yang memerlukan hujah balas dan dapat pula membezakan pengikutnya dari kelompok yang lain, sehingga dengan itu tidak berlaku silap dalam menghukum? Siapa yang sepatutnya buat apa? kesemuanya itu tidak mempunyai jawaban yang jelas.

 

Artikel ini tidak bertujuan untuk menjawab kesemua soalan berkenaan tetapi ia berusaha untuk memberi gambaran akan langkah utama yang perlu diambil bagi perang ideologi ke atas kumpulan-kumpulan pelampau.

 

Kenali Lawan Anda

 

Langkah pertama bagi menentang ideologi kumpulan pelampau ialah memahami ideologi dan idea-idea utama kumpulan berkenaan. Ini memerlukan usaha untuk memeta pemikiran mereka secara komprehensif bagi mendapatkan satu gambaran yang menyeluruh mengenainya. Ia meliputi nilai-nilai yang mendasari pemikiran mereka, prinsip-prinsip yang menjadi pegangan dalam membentuk sesuatu idea, idea-idea utama dan bidang yang berlakunya pelampauan seperti bidang politik, sosial dan teologi.

 

Hanya dengan memperolehi gambaran yang komprehensif, kumpulan berkenaan dapat difahami dengan baik sehingga dengan itu membolehkan pula usaha untuk menyanggah dasar-dasar serta idea-idea utama yang membentuk ideologi yang melampau itu. Dengan kefahaman yang seperti itu pula, memudahkan suaha untuk memantau idea-idea yang ada di tengah masyarakat bagi membolehkan tindakan pencegahan dan penguatkuasaan yang lebih berkesan diambil.

 

Usaha ini pula memerlukan usaha untuk mengumpul segala bahan-bahan yang mengandungi ideologi berkenaan dan mereka yang mengkhusus dalam memahami idea ini sehingga idea-idea alternatif dan sanggahan dapat dikemukakan.

 

Menangani Ideologi Pelampau Muslim

 

Terdapat pelbagai pendekatan untuk menyanggah idea-idea kumpulan pelampau. Namun sesiapa sahaja yang mengkaji kumpulan pelampau yang anggotai oleh pelampau-pelampau Muslim hari ini akan mendapati bahawa ideologi mereka bersifat teologi pada dasar. Mereka juga memberi penekanan yang kuat kepada aspek-aspek hukum dari perspektif fiqh. Maka sebab itu sering kali di dapati dalam pernyataan-pernyataan mereka fatwa-fatwa oleh para ulama, dahulu dan sekarang, atau pernyataan-pernyataan itu dinamakan sebagai fatwa bagi memberi legitimasi dan kredibiliti kepadanya. Ini juga berkaitan dengan satu hakikat bahawa umumnya kumpulan pelampau Muslim hari ini tidak berpegang kepada pandangan-pandangan yang berdasarkan falsafah-falsafah pemikiran manusia kerana kesemua itu dianggap menyeleweng dan menyesatkan.

 

Selain itu, masyarakat Muslim umumnya pula lebih selesa dengan pandangan yang bersifat teologi dan fiqh dalam isu-isu yang berkaitan dengan agama. Pandangan para ulama masih lagi diberatkan dari pandangan para pemikir dan ilmuan yang lain dalam isu keagamaan.

 

Ini adalah satu nota penting yang perlu diberi perhatian jika usaha menentang ideologi kumpulan pelampau Muslim hendak berjaya dan mendapat sokongan ramai.

 

Ini bukanlah bertujuan untuk menafikan peranan pendekatan-pendekatan lain dalam membanteras ideologi kumpulan pelampau Muslim, Apa yang dimaksudkan ialah pendekatan yang berwarna teologi dan fiqh yang dinyatakan di atas tidak boleh diabaikan.

 

Kumpulan Sasaran

 

Kumpulan sasaran utama dalam perang ideologi ialah masyarakat Muslim umumnya bukanlah ahli-ahli kumpulan pelampau berkenaan, walaupun mereka juga tidak boleh diabaikan sama sekali.

 

Tujuan utamanya ialah untuk membekalkan masyarakat Muslim umumnya dengan kefahaman yang betul dari sudut agama terhadap isu-isu yang ditiimbulkan oleh kumpulan pelampau Muslim sejajar dengan konteks dan keutamaan mereka. Sehingga dengan itu, masyarakat Muslim tidak dapat dipengaruhi oleh propaganda-propaganda yang dibuat oleh kumpulan pelampau yang aman pada hari in imudah diperolehi melalui Internet. Masyarakat Muslim umumnya perlu diimunasi dari dijangkiti virus pemikiran yang melampau.

 

Dengan cara ini, kumpulan pelampau akan sukar untuk terus hidup kerana tidak akan mendapat sokongan dari masyarakat umum dan tidak mampu pula untuk mengganti ahli-ahlinya yang ditangkap, terbunuh atau yang berpaling tadah.

 

Sanggahan-sanggahan yang jitu dan penyebarannya yang efektif juga amat membantu dalam proses rehabilitasi meraka yang ditahan. Selain itu, ia paling kurang dapat menimbulkan keraguan dikalangan ahli-ahli kumpulan berkenaan akan ‘kebenaran’ ideologi yang mereka anuti selama ini. Ini pasti akan menjejas motivasi dan keutuhan kumpulan berkenaan.

 

Sasaran utama yang lain ialah masyarakat bukan Muslim umumnya. Dengan mengeluarkan jawaban dan sanggahan kepada ideologi kumpulan pelampau, ia dapat mengurangkan perasaan bimbang dan salah faham di kalangan masyarakat bukan Muslim. Ini amat penting dalam memastikan keutuhan dalam kehidupan masyarakat majmuk yang mana ia merupakan salah satu tunggak pengting pertahanan negara dan dalam usaha membanteras pelampauan.

 

Pra-Syarat Penting

 

Bagi kejayaan usaha perang ideologi ke atas kumpulan pelampau Muslim, dua faktor penting perlulah dipastikan. Pertama ialah penglibatan para ulama, ilmuan dan pemikir Islam dalam usaha ini dan yang kedua pula ialah memenangi keyakinan masyarakat Muslim umumnya.

 

Hal ini adalah sejajar dengan pandangan bahawa perang ideologi ini seharusnya ditangani oleh masyakarat Muslim sendiri.

 

Kepentingan peranan para ulama di sini adalah kerana pendekatan berwarna teologi dan fiqh yang perlu diambil bagi menyanggah ideologi kumpulan pelampau Muslim yang telah dinyatakan di atas. Suara ulama amat berkesan dalam mencairkan kredibiliti yang mahu ditonjolkan oleh kumpulan pelampau Muslim di mata umum.

 

Ini juga menjurus kepada satu nota iaitu dalam isu pengganasan, masyarakat Muslim tidak melihat bahawa ia berpunca semata-mata dari ideologi yang menyeleweng tetapi ia juga berpunca rapat dengan rasa marah dan persepsi ketidakadilan yang menimpa umat Islam dalam isu-isu yang berkaitan dengan mereka di dunia antarabangsa seperti isu konflik Israel-Palestin dan sokongan kuasa-kuasa luar ke atas pemerintah diktator di pelbagai negara umat Islam.

 

Oleh itu, membanteras ideologi pelampau mestilah juga diikuti dengan usaha untuk menilai kembali polisi-polisi yang digubal oleh pemerintah-pemerintah yang menimbulkan kemarahan umat Islam dan rasa ketidakadilan ke atas mereka.

 

Perlu juga diperhatikan bahawa majoriti umat Islam yang tidak menyokong ideologi yang melampau tidak homogen. Mereka mempunyai kepelbagaian pandangan dalam pelbagai, isu walaupun kesemua mereka menolak pelampauan dan pengganasan. Namun setiap mereka adalah aset dalam membanteras pelampauan dan tidak boleh disisih hanya kerana mungkin ada di antara mereka mempunyai pandangan yang berbeza dalam isu tertentu dengan pihak yang berkuasa.

 

Pemerintah-pemerintah juga haruslah peka agar tidak dilihat sebagai menyokong mereka yang mempunyai pemikiran yang sejajar dengannya sahaja atau condong pada aliran apemikiran tertentu sahaja. Sikap tolak ansur terhadap perbezaan dalam isu-isu politik diperlukan untuk satu tujuan yang sama iaitu membanteras idea-idea yang melampau yang merupakan akar bagi pengganasan.

 

Penutup

 

Walau pun diakui bahawa perang ideologi ke atas kumpulan pelampau Muslim perlu dilakukan oleh anggota masyarakat Islam yang sederhana, namun ia tidak bermakna bahawa pemerintah-pemerintah tidak mempunyai apa-apa peranan sama sekali atau mengambil sikap cuci tangan.

 

Di peringkat strategik, paling kurang pemerintah-pemerintah hendaklah mempunyai visi yang jelas mengenai bagaimana mereka dapat menyumbang dan menyokong usaha-usaha para pemimpin masyarakat Muslim yang terdiri dari para ulama, ilmuwan dan institusi-institusi mereka dalam memerangi ideologi kumpulan pelampau Muslim.