Kemusykilan Agama – Tidak dosa jika bersetubuh tanpa sedar isteri haid (Berita Harian [Singapura], 3 Mei 2013)

Soalan

Sepasang suami isteri melakukan persetubuhan pada waktu malam tetapi si isteri tidak menyedari yang beliau kedatangan haidh (hari pertama) sepanjang persetubuhan itu. Begitu juga si suami. Si isteri hanya menyedarinya ketika pada waktu Subuh.

Apakah mereka berdosa kerana mengadakan persetubuhan itu? Apakah yang harus mereka lakukan untuk menebus dosa yang terjadi di atas perbuatan yang tidak disedari itu?

Jawaban

Bersetubuh sewaktu isteri dalam haidh adalah satu kesalahan dan berdosa. Allah taala berfirman yang bermaksud “Hendaklah kamu menjauhi (bersetubuh) wanita (isteri) ketika haidh dan janganlah kamu dekati (bersetubuh) mereka (isteri-isteri) sehingga mereka itu suci, jika mereka telah suci, maka datangilah meraka dengan cara yang diperintah Allah ke atas kamu.” (Al-Baqarah: 222)

Pasangan suami isteri itu tidak berdosa atas perlakuan mereka kerana ia berlaku bukan secara sedar atau sengaja. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Diangkat (dosa) dari umatku disebabkan oleh kesilapan, lupa dan apa yang dipaksakan ke atas mereka.” (Riwayat Al-Tabarani)

Ertinya seseorang itu tidak berdosa atas perlakuan yang dilakukan kerana tersilap, terlupa atau dipaksa melakukannya.

Di dalam buku Fiqh Islam (terjemahan dan terbitan Dewan Bahasa & Pustaka) oleh Dr Wahbah Al-Zuhaili, bab Kewajiban Suami Isteri dinyatakan bahawa disunatkan bagi sesiapa yang menyetubuhi isteri yang haidh untuk bersedekah, jika ini berlaku pada awal kedatangan haidh atau pada akhir kedatangan haidh (kerana menyangka telah suci) berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud “Jika suami menyetubuhi isteri sedangkan dia berada dalam haidh, jika darahnya merah (awal masa haidh) hendaklah bersedekah dengan satu Dinar dan jika darahnya kuning (akhir masa haidh), hendaklah bersedekah setengah Dinar.” (Riwayat Abu Daud dan Al-Hakim)

Wallahu A`alam