Solat duduk atau berdiri

Soalan

 

Saya seorang yang cacat penglihatan. Pernah beberapa kali apabila saya hendak menunaikan solat di masjid atau di kedai tempat saya bekerja, saya ditegur supaya bersolat duduk sahaja kerana saya tidak dapat melihat. Pada satu hari selepas saya menunaikan solat duduk di sebuah masjid, seorang ustaz menegur bahawa adalah salah bagi saya bersembahyang duduk kerana saya tidak cacat anggota, cuma cacat penglihatan.

 

Bolehkah ustaz terangkan apakah alasan-alasan atau syarat yang membolehkan seseorang itu bersembahyang duduk?

 

Jawaban

 

Berdiri adalah salah satu dari rukun solat bagi sesiapa sahaja yang berupaya. Allah taala berfirman yang bermaksud “Dan berdirilah kerana Allah dalam penuh ketaatan.” (Al-Baqarah : 238)

 

Dalam sebuah hadits diriwayatkan bahawa seorang sahabat bernama Imran bin Husain berkata “Penyakit Bawasir telah menimpaku. Lalu aku bertanya Rasulullah s.a.w mengenai solat. Beliau s.a.w lalu bersabda “Solatlah berdiri. Jika kau tidak mampu, maka solatlah berkeadaan duduk. Jika kau tidak mampu, maka solatlah berkeadaan baring (atas rusuk)” (Riwayat Al-Hakim). Dalam riwayat An-Nasa`ii pula terdapat tambahan “Jika kau tidak mampu, maka sembahyanglah telentang. Allah tidak membebankan seseorang kecuali mengikut kemampuannya.”

 

Kebiasaannya cacat penglihatan tidak menghalang seseorang itu dari melakukan solat berdiri atau tidak menimbulkan kesulitan yang memberatkan. Oleh itu wajiblah dia melakukan solat dalam keadaan berdiri.

 

Solat dalam keadaan duduk, hanya boleh dilakukan apabila seseorang tidak boleh berdiri kerana cacat atau sakit atau boleh berdiri tetapi akan terlalu menyulitkan seperti terlalu lemah.

 

Walau bagaimana pun, apa yang dinyatakan di atas adalah dalam melakukan solat yang wajib iaitu solat lima waktu, solat Jumaat dan solat kerana nazar.

 

Dibolehkan menunaikan apa jua solat sunat dalam keadaan duduk bagi yang mampu berdiri atau yang tidak mampu.

 

Wallahu A`alam