Soalan
Saya sering melihat orang menggantung gambar-gambar besar wajah guru-guru mereka, ‘sheikh-sheikh’ dan ‘habib-habib’ yang mereka hormati di dinding rumah.
Apakah pandangan Islam terhadap perbuatan sebegini?
Jawaban
Ulama berselisih pendapat mengenai hukum gambar-gambar fotografi.
Sebahagian ulama memasukkannya di dalam larangan yang terkandung dalam sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud “Sesungguhnya orang yang paling berat siksanya nanti di hari Kiamat ialah para pelukis.” (Riwayat Muslim)
Sebahagian lain berpendapat bahawa apa yang dilarang di dalam hadits di atas adalah sesuatu yang dipahat dan dilukis bukan gambar fotografi kerana ia adalah pantulan imej sebenar sahaja.
Dr Yusuf Al-Qaradhawi menukil Sheikh Muhammad Bakhit, mantan Mufti Mesir, yang berpendapat bahawa menggambar dengan menggunakan alat fotografi bukanlah dari perkara menggambar yang dilarang oleh agama.
Bagi maklumat lebih lanjut, boleh rujuk buku Halal & Haram Dalam Islam, bab Rumahtangga oleh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi di http://media.isnet.org/islam/Qardhawi/Halal/2039.html#2.3.10
Meninjau pada falsafah di balik larangan melukis dan membuat gambar oleh Rasulullah s.a.w, kita akan dapati bahawa ia mempunyai kaitan dengan amalan penyembahan berhala di zaman itu.
Di zaman itu, rata-rata seni lukisan banyak digunakan bagi melukis patung-patung atau imej-imej bagi tujuan ibadah.
Jadi larangan ini dibuat bagi memelihara aqidah umat Islam di zaman itu.
Maka sebab itulah di dapati bahawa patung permainan kanak-kanak dikecualikan kerana ia tidak digunakan untuk tujuan ibadah begitu juga jika gambar-gambar itu digunakan dalam bentuk yang menghina seperti dibuat pengelap kaki kerana Rasulullah s.a.w pernah melakukan sedemikian sebagaimana yang diriwayatkan dari Ibnu Hibban oleh Al-Nasa’ii.
Dalam konteks hari ini pula, umumnya gambar-gambar fotografi digunakan hanya sebagai tujuan dokumentasi dan kenang-kenangan.
Oleh itu, sesuailah untuk dikatakan bahawa gambar fotografi adalah harus dalam Islam.
Ia menjadi haram jika, melibatkan sesuatu yang haram seperti pornografi.
Menggantung gambar-gambar fotografi, jika ianya melibatkan gambar-gambar orang-orang yang terlibat dalam kefasikan seperti sebahagian pelakon dan penyanyi, maka hukumnya adalah haram kerana ia mendorong kepada kefasikan dan perbuatan tadi adalah petanda seseorang itu redha dengan kefasikan.
Meredhai kefasikan adalah berdosa.
Adapun menggantung gambar orang-orang soleh, ia adalah harus dan dibolehkan sekiranya ia dapat menjadi bahan inspirasi dan peringatan untuk melakukan kebaikan.
Namun haruslah diingat bahawa menggantung gambar sedemikian dalam bentuk-bentuk berikut adalah dilarang;
- sehingga ke peringkat berlebih-lebihan dalam mengagungkannya atau mengkuduskannya kerana boleh membawa syirik.
Allah taala berfirman yang bermaksud “Dan janganlah dia menyekutukan sesuatu dalam beribadah kepada Tuhan (Allah)nya.” (Al-Kahfi : 110)
- meyakini bahawa gambar-gambar berkenaan boleh memberi manfaat atau menolak mudarat seperti menghalau jin dan menjaga rumah.
Allah taala berfirman yang bermaksud “Katakanlah! Siapakah yang dapat menghalang kehendak Allah jika Dia menghendaki kemudharatan bagimu atau jika Dia menghendaki manfaat bagimu.” (Al-Fath : 11)
- menjadikan gambar-gambar berkenaan tempat memohon hajat, bernazar atau berdoa.
Allah taala berfirman yang bermaksud “Dan janganlah kau bermohon kepada selain Allah apa yang tidak memberi manfaat dan mudarat kepada kamu.” (Yunus : 106)
Wallahu A`alam