Islam adalah agama untuk semua manusia kerana Allah taala mengutus Rasulullah s.a.w sebagai rahmat kepada alam semuanya. Di lihat dari sudut dakwah, ia sepatutnya lebih utama dilakukan kepada yang bukan Islam dari kepada masyarakat Islam. Namun malangnya hari ini, masyarakat Islam sendiri jauh dari agama Islam sehingga semacam tiada perbezaan antara mereka dan yang bukan Islam. Ini telah menyebabkan dakwah yang sepatutnya disasarkan kepada yang bukan Islam dipaling kepada masyarakat Islam sendiri. Lamanya proses mengembalikan masyarakat Islam kepada Islam telah menjadikan budaya dakwah yang hanya seronok dan selesa sesama Islam dan kumpulannya. Pendakwah dan gerakannya menjadi insular, introvert dan parochial. Kemudian ia membentuk pula rasa ‘sombong’ – bahawa kita sahaja dalam semua hal yang betul, termasuk dalam urusan keduniaan. Kita menjadi pendendam dan pembenci bahawa semua orang bukan Islam sentiasa memusuhi kita dan telah menyebabkan kemusnahan terhadap masyarakat Islam.
Untuk memastikan dakwah kita bukan untuk muslim sahaja kita perlu berinteraksi dengan mereka. Interaksi berlaku dengan kita mendekati mereka (outreach) atau kita membuka pintu untuk mereka bersama kita. Proses ini perlu dilakukan bukan hanya di peringkat individu tetapi juga diperingkat organisasi. Mungkin ramai diantara kita yang mengaku telah berinteraksi dengan yang bukan Islam dan membuka pintu untuk mereka berinteraksi dengan kita tetapi cuba kita lihat diperingkat oraganisasi. Wujudkah interaksi yang bermakna dengan yang bukan Islam??? Terbukakah kita untuk menerima yang bukan Islam untuk bersama kita sebagai rakan sekerja dalam organisasi, sebahagian dari sukarelawan kita atau peserta dalam program-program kita??
Apakah kebimbangan kita??? Kalau kita lihat dari sudut syariat kita akan dapati bahawa Nabi Sulaiman dahulu telah menguasai alam ini dengan izin Allah dan antara tentera-tenteranya ialah jin-jin Afrit yang kafir. Dalam sirah Rasulullah s.a.w kita dapati Rasulullah s.a.w pernah memanfaatkan tawanan bukan Islam untuk mengajar anak-anak orang Islam membaca dan menulis. Rasulullah s.a.w bahkan pernah menggunakan orang bukan Islam dalam peperangan melawan orang kafir. Penunjuk jalan Rasulullah s.a.w semasa hijrah ke Madinah sendiri adalah seorang bukan Islam. Telah jelas di sisi para ulama bahawa boleh memanfaatkan orang bukan Islam dalam kerja-kerja dakwah sekiranya mereka itu baik keperibadiannya dan tidak ditakuti kemudaratan darinya. Dalam sirah Rasulullah s.a.w kita akan berjumpa banyak kali akan individu bukan Islam yang turut membantu perjuangan Islam. Raja Habsyah adalah contoh yang nyata.
Ini semua menunjukkan kepada kita bahawa dikalangan orang bukan Islam ada yang mampu menjadi aset penting bagi dakwah. Oleh itu, kita perlu mengenalpasti mereka dan memanfaatkan mereka.
Ini harus bermula dengan keterbukaan kita sendiri untuk menerima orang bukan Islam bersama perjuangan ini. Mungkin kita bimbang bahawa kewujudan mereka dalam organisasi kita akan membuka peluang pengaruh buruk ke dalam kita atau kita meragui sejauhmana mereka akan menghayati falsafah dan nilai yang ingin kita perjuangkan. Cuba fikirkan! Sekiranya kita mempunyai sebuah sekolah yang 90% muridnya adalah Islam tetapi mampu dipengaruhi oleh keburukan 10% murid bukan Islam, salah siapakah sebenarnya??? Adakah salah mereka yang mempunyai nilai buruk atau salah kita yang tidak mampu menguasai mereka.
Orang lain menggunakan yang terbaik dari kalangan masyarakat Islam untuk menjayakan sistem mereka dan menyebarkan nilai-nilai kehidupan mereka. Ini berlaku di ratusan sekolah pemerintah hari ini yang mana ramai dari kalangan masyarakat Islam bertugas sebagai guru. Ironisnya, kita takut untuk memanfaatkan mereka bagi perjuangan ini.
Tanpa kita sedari dalam merasa bahawa kita hebat, kuat dan benar, sebenarnya terdapat dalam diri kita rasa inferior.
Ramai di antara kita semasa ‘jahiliah’ dengan selesa berinteraksi dengan yang bukan Islam bahkan hampir seluruh dari kita bersekolah dengan mereka dalam keadaan kita adalah minoriti. Dalam keadaan sedemikian kita masih mampu untuk keluar bersama sebuah ‘hidayah’. Mengapa pula ‘setelah hidayah’ kita rasa terasing dari mereka dan kita takut mereka untuk berada dalam institusi kita, walau pun kita mempunyai kuasa.
Ahhhhhh!! Mungkin kerana keberadaan orang bukan Islam bersama kita akan menambah atau menyukarkan kerja kita lalu kita enggan menerima mereka. Jika ini benar, maka sesungguhnya kerja dakwah ini sememangnya akan terus bertambah dan tidak akan berkurangan dan kerja dakwah sememangnya penuh dengan kesulitan dan kepayahan.