Profesionalisme Dalam Dakwah

Allah taala bukan hanya mewajibkan dakwah ke atas setiap individu tetapi Ia juga mewajibkan agar dakwah dilaksanakan dengan penuh ihsan.

 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud

 

“Sesungguhnya Allah taala mewajibkan ihsan atas setiap sesuatu” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

 

Ihsan bermaksud menunaikan sesuatu tanggungjawab itu sebaik mungkin. Menunaikan tanggungjawab sebaik mungkin bukan hanya memastikan produk dan khidmat yang berkualiti.

 

Bagi seorang aktivis, ihsan menuntut ia menunaikan segala tugas yang dipertanggungjawabkan ke atasnya atas persetujuan bersama tepat pada masanya. Keihsanan usaha dakwah seorang aktivis akan cacat sekiranya produk atau khidmat yang dihasilkan itu berkualiti tetapi ia merupakan hanya sebahagian dari apa yang dipertanggungjawabkan atau luar dari jangka masa yang ditetapkan.

 

Bagi seorang staf, ihsan menuntut ia menunaikan segala terms of reference yang telah ditetapkan ke atasnya yang dari itu ia mendapat gaji bulanannya. Sebagaimana seorang aktivis, seorang staf itu lebih utama untuk sentiasa memastikan setiap kerjanya itu menepati masa yang ditetapkan dan berkualiti.

 

Hilangnya ihsan dari seorang staf dalam kerja-kerjanya merupakan pengabaian bagi tanggungjawab profesionalnya. Ini perlulah dibimbangi kerana ia akan mengakibatkan perbuatan memakan harta masyarakat Islam dari pendapatan bulanannya secara zalim yang akan dihisab oleh Allah taala.

 

Hilangnya ihsan dari seorang aktivis pula dibimbangi akan mengakibatkan kecuaian bagi harta masyarakat Islam yang akan turut dihisab oleh Allah taala.

 

Pendakwah sejati, baik sebagai aktivis atau staf, penghayatan terhadap ihsan merupakan pendorong utama bagi kecemerlangan usahanya. Ia tidak memerlukan punch card untuk menepati masa, ia tidak memerlukan memo demi memo untuk memperingatkan deadlinenya, ia tidak menanti kerja datang bergolek bahkan menjadi resah jika masa lapangnya melebihi dari masa kerjanya.

 

Ada semacam sangkaan bahawa bersikap professional dalam kerja dakwah hanya tanggungjawab staf sepenuh masa. Sangkaan ini menyangka “Aku hanya seorang aktivis tak kan mampu nak buat kerja sama seperti staf sepenuh masa”, “Ahh..tak apalah datang lambat. Aku bukan staf”, “Tak apalah aku miss deadline…..aku cuma buat kerja sukarela”.

 

Hakikatnya profesionalisme adalah sebahagian dari tuntutan ihsan dalam dakwah. Jika setiap dari kita berkewajiban menunaikan dakwah, maka setiap dari kita berkewajiban untuk ihsan dalam dakwah. Jika setiap kita wajib berihsan dalam dakwah, maka setiap dari kita perlu profesional dalam kerja-kerja dakwah kita.

 

Seorang aktivis sememangnya tidak mampu untuk memikul bebanan tugas yang sama dengan seorang staf yang setaraf dengannya tetapi ia mempunyai tanggungjawab ihsan yang sama dalam menunaikan beban tugas yang termampu olehnya; menunaikan seluruh amanah yang dipikul, melaksanakan tepat pada masa yang ditetapkan dan menghasilkan sesuatu yang berkualiti.

 

Ihsan hanya wujud jika di sana ada amanah. Amanah pula hanya berkesan jika ia diserta dengan muraqabah dan muhasabah – perasaan bahawa Allah sentiasa melihat tingkah laku kita dan tindakan untuk menilai diri sendiri.

 

Jika aktivis kita menyumbang dalam usaha dakwah ini sama seperti staf sepenuh masa orang lain kerana nilai ihsan yang ada padanya dan staf kita menyumbang lebih dari staf orang lain, insyaAllah, kita akan make a difference.

 

Ahhh…apa cakap benda-benda yang basic ketika kita orang sibuk merangka strategi menuju alaf baru??? Tetapi kita lupa hampir setiap hari kita melihat suasana yang sungguh ironis sekali; setiap kali kita menangguh sesuatu majlis kita akan membaca surah Al-`Asr yang isi kandungannya mengingatkan kita akan konsep masa bagi seorang muslim tetapi kita terus sahaja lewat dalam menepati masa – tugas sentiasa bertangguh dan kehadiran sentiasa lambat.

 

Kadangkala masalah kita bukan ketiadaan upaya untuk menjangkau yang ‘besar’ dan ‘tinggi’ tetapi dalam melihat yang besar kita lupa yang asasi. Sibuk mendongak sehingga tidak sedar kaki memijak najis.