Haji Bagi Seorang Pemimpin, Haji Bagi Seorang Pendakwah

Allah mensyariatkan Idul Adha di bulan Zul Hijjah, bulan yang mana umat Islam disyariatkan untuk menunaikan fardu Haji.

 

Sedang kita meraikan Idul Adha di sini, saudara-saudara kita dan kaum keluarga kita sedang sibuk menunaikan fardu haji bagi memenuhi rukun Islam yang kelima. Marilah kita mengambil kesempatan yang ada untuk berdoa agar Allah taala memberi kemudahan kepada mereka dan menerima segala ibadah yang dilakukan sehingga mendapat haji yang mabrur.

 

Bagi mereka yang telah menunaikan fardu haji, ambillah kesempatan dari Idul Adha untuk mengenang kembali segala pengalaman dan kenangan ketika menunaikan fardu haji agar timbul dalam diri rasa keinsafan terhadap kebesaran Allah taala dan kekerdilan diri sebagai manusia, membangkitkan dorongan untuk beramal sebagaimana ia beramal semasa menunaikan haji dan memperingatkan diri akan pengajaran-pengajaran yang diperolehi semasa menunaikan haji.

 

Bagi mereka yang belum menunaikan fardu haji, ambillah kesempatan ini untuk menguatkan azam bagi menunaikannya, mempertingkatkan usaha sehingga berkemampuan untuk menunaikannya secepat mungkin dan berdoa selalu kepada Allah taala agar Ia membuka peluang untuk melakukannya.

 

Awaslah dari menangguh-nangguhkan untuk menunaikan haji tanpa sebab yang syari’i kerana sesungguhnya terdapat ancaman yang keras ke atas mereka. Rasulullah s.a.w yang bermaksud

 

“Sesiapa yang memiliki bekal dan kenderaan yang membawa ia ke rumah Allah tetapi tidak menunaikan haji, tiada baginya pilihan kecuali mati sebagai seorang Yahudi atau Nasrani” (Riwayat At-Tirmizi)

 

Sebahagian ulama menyatakan bahawa hadits ini lemah tetapi eloklah ia dijadikan peringatan kepada diri kita.

 

Samada seseorang itu telah menunaikan haji atau belum, adalah menjadi satu kebijaksanaan bagi setiap muslim setiap kali kedatangan bulan haji untuk merenung atau mencari hikmah di sebalik syariat haji.

 

Antara pengajaran yang boleh kita pelajari dari ibadah haji ini ialah pengajaran berkaitan kepimpinan.

 

Apabila seseorang itu menunaikan haji, maka ia memikul tanggungjawab yang sama tanpa kira kedudukannya dalam masyarakat, kebangsawanan keturunan, kebangsaannya dan lain-lain. Semua muslim yang menunaikan haji melakukan perkara yang sama; tawaf, sai’i, wukuf, melontar jamrah dan lain-lain. Hatta pakaian yang dipakai juga sama bentuknya; dua helai kain bagi lelaki.

 

Si raja atau pemimpin memakai pakaian begitu dan melakukan amalan itu. Orang biasa juga sama. Sehingga apabila seorang pemimpin masyarakat berada di tengah-tengah jemaah yang menunaikan haji, ia sukar dibezakan dengan pengikutnya. Sesiapa yang tidak mengenalinya mungkin hanya menyangka bahawa ia adalah orang biasa sahaja.

 

Pengajarannya, di hadapan Allah taala, begitulah Islam meletakkan seorang pemimpin di tengah masyarakat dan begitulah sepatutnya seorang pemimpin meletakkan dirinya di tengah-tengah mereka yang dipimpin.

 

Di hadapan Allah, pemimpin tidak lain adalah sebahagian dari masyarakat atau mereka yang dipimpin. Tidak membezakan mereka kecuali amanah dan tanggungjawab yang dipikul di bahu masing-masing. Amanah dan kemuliaan dari tugas kepimpinan ini pula ia hanyalah relevan dalam konteks hisab yang harus dihadapi oleh setiap pemimpin di hadapan Allah bukan dalam konteks hubungan antara pemimpin dan pengikutnya.

 

Ertinya amanah dari tugas kepimpinan bukanlah sesuatu untuk ditunjuk-tunjuk kepada pengikut bagi memperolehi kemuliaan tetapi sesuatu untuk dipersembahkan di hadapan Allah. Sekiranya persembahan itu baik, maka dari situlah ia memperoleh kemuliaan sebagai pemimpin.

 

Pemimpin yang sejati ialah pemimpin yang hidup di tengah masyarakat. Begitu hebat kebersamaannya dengan masyarakat sehingga ia tidak terbeza dengan mereka. Ia memimpin mereka dengan idea, visi, wawasan dan bersama-sama bekerja dengan mereka. Ia tidak memimpin mereka dengan simbol, kedudukan, pangkat atau status yang ia ada.

 

Apa yang membezakan seorang pemimpin dari pengikutnya bukanlah jawatan itu tetapi besarnya amanah dan tanggungjawab serta peranan dan tugas masing-masing. Peranan dan tugas maisng-masing pula bukan keistimewaan atau kemuliaan. Sekiranya seorang pemimpin dipatuhi keputusannya, itu adalah kerana tugas dan peranan yang ada padanya sebagai pemimpin bukan kerana kemuliaan atau keistimewaan dirinya.

 

Rasulullah s.a.w adalah contoh bagi kita. Sebagai pemimpin ia tidak lebih kaya dari sahabatnya dan tidak pula lebih ‘glamour’ dari mereka.

 

Jika ada kelebihan beliau dibanding dengan sahabatnya, ialah beliau lebih baik akhlaqnya, lebih banyak ibadahnya, lebih kuat kerja dakwahnya dan lebih ikhlas kepada Allah taala.