Batu Bata Bagi Satu Masyarakat Islam Yang Cemerlang

Setiap seorang dari kita bertanggungjawab untuk menjayakan usaha untuk mencapai satu masyarakat Islam yang cemerlang.

 

Wawasan Satu Masyarakat Islam Yang Cemerlang memerlukan adanya dua aspek penting dalam masyarakat kita. Iaitu masyarakat yang kuat dan benar pegangannya kepada agama dan cemerlang dalam pelbagai segi sesuai dengan perkembangan masa dan realiti kita di Singapura.

 

Kita tidak mahu masyarakat kita kuat beragama tetapi terkebelakang dibanding dengan masyarakat lain dan kita tidak mahu pula masyarakat yang cemerlang tetapi rapuh pegangan agamanya.

 

Salah satu wasilah penting bagi mencapai masyarakat Islam yang cemerlang ialah institusi keluarga.

 

Ini kerana masyarakat dilihat dari segi sosialnya dibentuk dari unit-unit keluarga. Jika kuat unit-unit keluarga yang membentuk satu masyarakat, maka akan kuatlah masyarakat berkenaan.

 

Maka dalam konteks mencapai masyarakat Islam yang cemerlang, pembentukan institusi keluarga Islam yang cemerlang adalah satu kemestian. Keluarga-keluarga yang bukan hanya kuat amalan agamanya tetapi juga melahirkan insan-insan yang cemerlang dalam masyarakat.

 

Bagaimanakah cara pembentukan sebuah keluarga Islam yang cemerlang?

 

Pertama, ia bermula dengan pembentukan individu-individu agar menjadi muslim yang baik dan berbudaya cemerlang dalam hidup. Individu ini ialah diri kita sendiri, isteri-isteri kita, anak-anak kita, abang, adik dan kakak kita dan mereka yang di sekeliling kita.

 

Kedua, individu ini hendaklah dibimbing untuk membina sebuah keluarga muslim yang cemerlang.

 

Sebuah keluarga muslim yang cemerlang hanya dapat dibina melalui dua pasangan muslim yang cemerlang. Adalah menjadi tanggungjawab setiap muslim untuk tidak berkahwin kecuali dengan pasangan muslim yang baik. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud

 

“Seorang wanita dikahwini kerana empat perkara, kerana hartanya, kecantikannya, kebaikannya dan agamanya. Kahwinilah wanita yang beragama, nescaya selamatlah kamu.”(Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

 

Dan menjadi tanggungjawab ibu bapa pula untuk mengahwinkan anak-anaknya dengan pasangan muslim yang baik. Pasangan yang memiliki sifat-sifat individu muslim cemerlang yang dinyatakan tadi.

 

Memilih pasangan sembarangan tidak akan menyumbang kepada pencapaian wawasan kita. Memilih pasangan bukan kerana agama tidak akan membantu usaha kita.

 

Kita dan anak-anak kita perlulah faham berkahwin bukanlah persoalan peribadi semata-mata tetapi ia bersangkut paut dengan jati diri dan keadaan masyarakat kita di masa akan datang.

 

Tiada siapa yang boleh mengatakan bahawa rumahtangga aku, aku punya pasal. Aku nak kahwin dengan siapa yang aku suka, aku punya urusan. Hal ini kerana kehidupan berkeluarga berkait rapat dengan kehidupan masyarakat.

 

Sebuah rumahtangga yang roboh akan melahirkan anak-anak dan individu yang tidak stabil. Mereka ini pula akan menimbulkan pelbagai masalah dalam masyarakat. Lalu masyarakat yang akan terpaksa membantu dan menangani mereka.

 

Mereka yang kahwin ikut suka sendiri tanpa mengambil kira wawasan masyarakatnya untuk menjadi masyarakat Islam yang cemerlang, maka kita katakan padanya, kalau mempunyai masalah uruslah masalahnya sendiri dan jangan minta bantuan masyarakat atau membebankan masyarakat dengan masalahnya.

 

Ketiga, keluarga Islam yang cemerlang haruslah mempunyai wawasan dan perancangan. Tidak ada kebaikan bagi kehidupan yang tidak dijalani dengan penuh perancangan dan pengurusan yang baik. Sebuah keluarga yang tidak berwawasan dan perancangan, mungkin akan bahagia dan beranak pinak tetapi ia tidak akan menyumbang secara optimum pada pembangunan masyarakat.

 

Keempat, keluarga Islam yang cemerlang haruslah mempunyai budaya keluarga. Antara budaya dan gaya hidup yang perlu disemai dalam keluarga ialah

 

1.     Keluarga yang makmur dengan ibadah iaitu keluarga yang dihiasi dengan amalan solat, membaca Al-Quran, berpuasa, berzikir dan amalan-amalan lain, baik dilakukan secara sendiri-sendiri atau berjamaah, baik amalan sunat atau wajib.

2.      Keluarga yang setiap satu ahlinya mentarbiyah (mendidik) yang lain. Suami mentarbiyah isteri, isteri mentarbiyah anak-anak dan mengingatkan suaminya selalu, abang mentarbiyah adik dan adik menasihati abang.

3.     Keluarga yang tertib. Islam menganjurkan ketertiban dalam semua perkara. Banyak ibadah kita yang tidak sah jika tidak dilakukan dengan tertib. Rumah tangga yang tidak tertib tidak menggambarkan budaya cemerlang dalam kehidupan.

4.       Keluarga yang berdisiplin. Tiada kebahagiaan dalam keluarga yang tidak berdisiplin dalam memenuhi tanggungjawab masing-masing. Wawasan masyarakat yang cemerlang adalah tugas yang besar dan hanya dapat dicapai dengan disiplin yang tinggi.

5.      Keluarga yang mendokong dakwah. Iaitu keluarga yang menggalakkan ahli keluarga untuk terlibat dalam usaha dakwah dan tidak menjadi penghalang kepada dakwah. Keluarga yang hidup kerana dakwah dan dakwah hidup kerananya.

6.       Keluarga menyemarakkan kehidupan sosial dan berjamaah yang baik. Iaitu keluarga yang soleh kepimpinannya, menghayati konsep taat, sentiasa bermuhasabah dan mengamalkan musyawarah. Ini disemarakkan pula dengan aktiviti berjamaah samada dalam beribadah atau aktiviti harian yang lain.

 

Demikianlah beberapa langkah yang penting bagi membentuk keluarga Islam yang cemerlang sebagai asas bagi mencapai wawasan masyarakat Islam yang cemerlang.

 

Ingatlah bahawa wawasan kita bukan hanya memastikan masyarakat kita cemerlang tetapi masyarakat yang mengasaskan kecemerlangan dunianya atas prinsip ajaran Islam.