Surat Buat Kekasih

Ramai aktivis muda kita yang semakin dewasa dan akan menjenguk ke alam perkahwinan. Di bawah ini diturunkan surat dari seorang kekasih sebagai peringatan bagi mereka yang berazam dan akan mendirikan rumahtangga.
 
 
Buat kekasih
Assalamualaikum wr. wb.
 
Semoga berada di bawah lindungan rahmat Allah taala dan sentiasa dikurniakan taufiq, hidayah dan istiqamah dalam meniti alam perjuangan.
 
Kita bersyukur kepada Allah taala yang masih mengurniakan nikmat iman dan Islam pada diri kita serta kesabaran dan ketabahan bagi menghadapi ujian-ujian kehidupan.
 
Oleh kerana besarnya pertanggungjawaban dan kepentingan persoalan rumahtangga yang hendak kita bina dalam kehidupan ini, diri ini terdorong untuk menulis surat ini bagi  menyatakan perkara-perkara penting yang  harus diperhatikan sebagai peringatan untuk kita  bersama. Semoga ada kesepakatan antara kita dalam hal ini.
 
Rata-rata manusia, apabila memperkatakan tentang perkahwinan akan mengaitkannya dengan kegembiraan dan keseronokan. Diharapkan, kita mempunyai perasaan yang betul dalam menghadapi alam perkahwinan nanti.
 
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud
 
“Berpesan-pesanlah kamu sekalian dengan kebaikan terhadap para wanita. Sesungguhnya mereka adalah pembantu-pembantu kamu yang tidak memiliki apa-apa bagi diri mereka sendiri. Sesungguhnya kamu mengambil mereka dengan amanah Allah dan menghalalkan kemaluan mereka dengan kalimah Allah.”(Riwayat At-Turmuzi)
 
Dalam hadits ini  Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa isteri adalah amanah Allah taala kepada suaminya. Pengertian amanah di dalam hadits ini boleh kita lihat pula dalam firman Allah taala
 
“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka.” (At-Tahrim : 6 )
 
Subhanallah!! Bagaimana kita tidak merasa gerun dengan hakikat ini. Untuk menyatakan diri ini telah berjaya untuk memelihara diri dari api neraka adalah terlalu jauh, kini harus pula menerima amanah lain dari Allah taala dan memikul tanggungjawab pula untuk melepaskannya dari api neraka.
 
Apa pun bentuk amanah, ia adalah suatu yang akan dipertanggungjawabkan oleh Allah taala. Oleh sebab itu, langit dan seluruh isi dunia tidak sanggup untuk memikulnya.
 
Seorang mukmin, atas hakikat yang dinyatakan, seharusnya merasa insaf. Oleh itu, rasa seronok dan gembira adalah terlalu ganjil baginya dalam persoalan ini tetapi kenapa perkahwinan ini harus dilaksanakan juga?
 
Demi Allah, jika tidak kerana kepentingan Islam dan dakwah, jika tidak kerana untuk mencontohi sunnah Rasulullah s.a.w maka tidak berupaya rasanya untuk memikul amanah ini.
 
Walau pun amanah ini besar dan pertanggungjawaban terhadapnya menggerunkan, namun kepentingan Islam dan dakwah yang terdapat dalam perkahwinan adalah lebih besar untuk dicapai dan tidak wajar untuk dihalang oleh perasaan gerun yang ada dalam hati.
 
Semoga langkah kita ini menepati dengan firman Allah taala yang bermaksud
 
“Jika kau telah berazam, maka bertawakkallah kepada Allah.” (Ali-Imran : 159)
 
Kekasihku…
 
Ingatlah juga, bahawa rumahtangga ini adalah sebahagian dari fasa-fasa perjuangan yang harus kita jayakan bagi mencapai matlamat suci kita – Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam. Rumahtangga ini adalah nucleus bagi masyarakat Islam yang cemerlang.
 
Oleh kerana ia adalah sebahagian dari perjuangan di atas jalan dakwah, maka ia juga tidak akan terlepas dari sunnah jalan dakwah ini. Bahawa sunnah jalan dakwah ini dulu, kini dan akan datang bukanlah jalan yang merehatkan. Ia bukan juga jalan yang dihampari oleh permaidani merah dan ditaburi oleh bunga-bunga yang indah. Ia adalah jalan yang penuh ujian dan kesulitan tetapi di hujungnya terdapat kemanisan. Maka tidak seharusnya kita merasa bersedih hati di kemudian hari atau merungut atas kesulitan dan ujian yang akan dihadapi.
 
Oleh kerana ia adalah sebahagian dari perjuangan, maka kepentingan perjuanganlah yang akan mencorak rumahtangga ini. Kepentingan perjuangan ialah kepentingan Islam dan  masyarakatnya serta wadah perjuangan yang mendokongnya.
 
Bagi kita ‘Baiti – Daulati’ – Rumahku, Daulahku.
 
Jika kita fahami apa yang dinyatakan tadi, maka tentulah diri kita saha terlalu kerdil untuk memikul tugas ini. Hanya dengan bantuan Allah sahaja kita akan berjaya. Namun…. sejauh mana Allah taala akan membantu kita adalah terletak pada sejauh mana kita mampu menepati kehendak-kehendakNya. Oleh itu, kemungkaran adalah sesuatu yang asing dan sangat sensitif bagi rumah tangga ini kerana ia adalah penghijab bagi kita dari bantuan Allah taala dan akan lebih menyukarkan jalan ini.
 
Kekasih….
 
Bagi seorang mukmin, kecintaannya hanyalah kepada satu – cinta kepada Allah taala. Kalau ia harus mencintai yang lain, maka ia adalah cinta kerana Allah taala. Inilah ikatan yang akan mengikat hati kita – cinta kepada Allah dan bercinta kerana Allah. Semoga dengan ini kita akan digolongkan di dalam salah seorang dari tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah taala di padang mahsyar kelak – lelaki dan wanita yang saling mencintai kerana Allah taala semata-mata.
 
Tanpa ikatan perkahwinan ini pun, hati kita telah diikat dengan rasa ukhuwwah fillah, kesatuan fikrah dan matlamat dari satu wadah perjuangan yang sama. Ikatan-ikatan ini sahaja sudah cukup untuk kita saling mengasihi antara satu sama lain. Kini, ia akan dikukuhkan lagi dengan ikatan perkahwinan. Begitu kukuh ikatan antara kita, adalah terlalu malang jika ia akan diuraikan oleh faktor-faktor keduniaan.
 
Di hati ini selalu terbisik – berapa lamakah rumahtangga ini akan kita tempoh bersama?
 
Setiap kali apabila membaca berita-berita dunia, sering kali terpanggil untuk menyahut seruan untuk membela umat Islam di merata dunia- di Bosnia, Kosovo, Chechnya, Palestin dan lain-lain. Mungkin akan tiba satu masa yang mana menyahut seruan ini akan menjadi satu kewajipan yang tidak boleh kita elakkan lagi. Apabila masa ini tiba, ana berharap anti akan kekal bersama. Semoga ana tidak menjadi seperti tiga orang sahabat yang dicela kerana tidak keluar ke medan Tabuk disebabkan kelalaian oleh harta dan rumah tangga (rujuk surah At-Taubah : 118) dan anti tidak menjadi seperti isteri yang dinyatakan di dalam surat At-Taghabun : 14-15 (lihat sebab turun ayat ini).
 
Diharapkan tempoh pertunangan kita yang beberapa bulan ini mencukupi untuk kita bersama berfikir mengenai apa yang dinyatakan di atas dan menyiapkan diri kita.
 
Akhir kata, simpanlah surat ini baik-baik semoga ia akan menjadi bahan tazkirah bagi kita bersama, anak-anak kita dan generasi seterusnya.
 
Semoga Allah taala memberkati rumahtangga ini dan mengurniakan ana kekuatan untuk memimpin di atas landasanNya serta untuk anti berkhidmat kepadaNya sehingga kita ditentukan dengan salah satu dari dua kebaikan – hidup dengan kemuliaan atau gugur untuk perjuangan.
 
Salam kasih, wassalamualaikum.
 
Saudaramu