Apabila Islam Berkuasa

baldah tayyibahTerdapat kebimbangan yang meluas di kalangan pelbagai pihak jika Islam memerintah dan menerajui tampuk kuasa, samada di peringkat negara, masyarakat, institusi atau organisasi. Kebimbangan ini bukan hanya wujud di kalangan masyarakat bukan Islam tetapi juga orang Islam.

Salah satu yang menjadi sumber kebimbangan ialah mengenai perubahan-perubahan yang akan dilakukan dan kesan-kesan perubahan itu kerana dalam berdakwah, seringkali gerakan dakwah mengulang-ulangi hakikat gerakan dakwah sebagai agen perubahan – dari jahiliyah kepada Islam.

Kebimbangan ini diperkuatkan lagi dengan idealisme dan kefahaman sebahagian pendakwah bahawa Islam hanya ditegakkan melalui proses inqilabi – perubahan total atau revolusi. Lalu diperkuatkan pula dengan slogan ‘Tegakkan Islam Di Atas Runtuhan Jahiliyah’.

Dengan imej yang sedemikian, masyarakat umum memahami apabila Islam berkuasa, perubahan drastik akan berlaku. Undang-undang jenayah dengan segera akan diubah kepada undang-undang Hudud, sistem perbankan riba pula akan dihentikan, muzik dan nyanyian akan dilarang, semua wanita perlu berhijab dan lain-lain lagi.

Para peguam sivil, pegawai bank dan kewangan, penyanyi, pelakon dan ahli politik parti pembangkang semuanya bimbang terhadap karier masing-masing.

Anak-anak muda yang kembali sedar terhadap kewajiban agamanya pula yakin bahawa itulah yang perlu dia lakukan dengan segera jika dia berkuasa. Jika tidak, dia dihukum berdosa kerana melanggar perintah ‘Siapa yang melihat kemunkaran, hendaklah ia merubah dengan tangan.’

Hakikatnya pendekatan ‘Tegakkan Islam Di Atas Runtuhan Jahiliyah’ hanyalah satu pendekatan dari pelbagai pendekatan yang ada. Ia sebenarnya hanyalah satu konsep hasil dari ijtihad manusia. Ia bukan satu perintah yang qat`ii.

Jika kita meninjau sirah Rasulullah s.a.w, kita akan dapati dua model Islam mencapai kekuasaan.

Model pertama ialah model penegakan kuasa politik Islam di Madinah yang mana ia ditegakkan semata-mata melalui proses dakwah yang meyakinkan masyarakat, memenangi pendapat umum melalui ajakan yang lembut dan bijaksana serta negosiasi yang membawa kepada persetujuan bersama dengan golongan bukan Islam. Tiada demonstrasi dan tiada pertumpahan darah. Masyarakat Yahudi kekal di perkampungan mereka dengan cara hidup mereka. Apabila Rasulullah s.a.w tidak berpuas hati dengan pasar yang dimonopoli oleh orang Yahudi, beliau tidak memerintahkannya di tutup tetapi sebaliknya membangun pasar untuk masyarakat Islam sebagai alternatif. Elemen pembangkang bergerak dibawah kepimpinan Abdullah b Ubai dan kelompok Yahudi.

Pada ketika institusi politik Islam tertegak yang membolehkan pelaksanaan syariat sepenuhnya, namun wahyu tetap turun secara beransur-ansur. Arak tidak terus diharamkan semata-mata kerana kuasa ditangan Rasulullah s.a.w. Begitu juga hijab tidak terus diwajibkan.

Model kedua pula ialah apabila Islam berkuasa kembali di Mekah setelah tentangan kaum Musyrikin ditewaskan. Walau pun Islam berkuasa kembali di Mekah melalui gerakan ketenteraan tetapi sejarah merakamkan jumlah yang terkorban hanyalah segelintir sahaja. Apakah perubahan drastik yang berlaku? Yang kita dapati ialah Abu Sufian, ketua kaum Musyrikin dahulu, diberi penghormatan untuk memberi perlindungan keamanan kepada sesiapa yang mahu, beliau dan keseluruhan ketua-ketua kabilah dan pemegang pelbagai kedudukan pentadbiran di Mekah terus kekal dengan jawatan mereka walau pun Rasulullah s.a.w mempunyai para sahabat seperti Abu Bakar, Umar Ali dan Othman untuk menggantikan mereka. Usaha Rasulullah s.a.w untuk mengambil alih tugas menjaga kunci Kaabah ditegur oleh Allah taala lalu ia kekal di tangan penjaga yang dahulu. Apabila melihat saiz Kaabah lebih kecil dari saiz yang dibina oleh nabi Ibrahim a.s beliau berkata kepada Aisyah bahawa jika tidak kerana orang Quraisy masih baru masuk Islam, nescaya dia akan robohkan Kaabah ini dan membinanya mengikut ukuran yang dibina oleh Ibrahim a.s. Ertinya beliau tidak tergesa-gesa melakukannya. Bahkan sehingg a hari ini, saiz itu kekal lebih kecil dari yang sebenar. Apabila dihadapkan kepadanya penduduk Mekah yang pernah menyiksa dan memerangi dia, dia berkata “Pergilah! Kamu semua bebas.” Satu-satunya perubahan drastik yang dilakukAn beliau di Mekah ialah membinasakan berhala-berhala di sekeliling Kaabah dan di sekitaran Mekah. Hal ini adalah kerana ia melibatkan satu perkara yang paling asas dalam Islam.

Ini tidak bermakna bahawa gerakan dakwah haruslah bersikap conformist dalam semua perkara semata-mata tidak mahu dilihat radikal atau ingin kekal berkuasa. Sebaliknya, perubahan itu tetap dilakukan dan dirancang dengan penuh kepekaan terhadap prinsip tadarruj (bertahap-tahap) dalam perubahan. Itulah prinsip yang mendasari perubahan Rasulullah s.a.w. Hatta apabila telah berkuasa dan itulah juga yang mendasari syariat Allah taala kepada manusia.

Namun perlulah juga difahami bahawa walau sehikmah mana sekalipun perubahan yang hendak dilakukan oleh gerakan dakwah, ini tidak bermakna bahawa kita akan dapat menggembirakan semua pihak atau harus menggembirakan semua orang. Apa yang kita maksudkan ialah penerimaan dan persepsi umum. Adapun segelintir ynag mengkritik dan membantah, ia akan sentiasa wujud sehingga hari Kiamat.