Artikel – Agar keputusan berpandu Syariah (Berita Harian [Singapura], 12 April 2012)

PANDANGAN

Agar keputusan berpandu Syariah


Sebagai panduan bagi Muslim buat keputusan kepada pelbagai senario yang dihadapi setiap hari.


Oleh
Muhammad Haniff Hassan

KITA sering berhadapan dengan pelbagai isu dalam hidup ini yang memerlukan kita membuat keputusan dan pilihan.

Bagi seorang Muslim, membuat keputusan dan pilihan perlu dilakukan bukan hanya sesuai dengan keinginan diri, malah sejajar dengan tuntutan agama.

Persoalannya ialah bagaimana perkara ini dapat dicapai? Apakah tahap-tahap analisis yang perlu dilakukan?

Makalah ini bertujuan memberi panduan ringkas dan mudah bagi seorang Muslim yang ingin menganalisis sesuatu isu dengan mengambil kira syariah.

Panduan ini dikemukakan dalam bentuk soalan-soalan penting yang perlu ditanyakan sebelum sesuatu kesimpulan dapat diambil.

Seyogia, proses dan setiap soalan yang dikemukakan mempunyai huraian dan dasar yang dibahaskan secara panjang lebar oleh para ulama.

Apa yang dikemukakan di sini hanyalah sebagai satu usaha memberi gambaran dan pendedahan awal bagi orang awam.

Sebaik-baiknya, penggunaan proses ini diiringi dengan pembacaan terhadap huraian dan selok-belok setiap soalan yang dikemukakan.

Hal ini memerlukan bimbingan asatizah yang mendalami bidang ini. Atau seseorang itu boleh menggunakan proses yang dikemukakan oleh soalan-soalan di sini, setelah itu dapatkan nasihat asatizah tentang dapatannya.

Perlu juga difahamkan bahawa proses yang dikemukakan dalam artikel ini ialah usaha dan buah fikiran peribadi penulis bagi memudahkan pendidikan awam.

Ia bukan wahyu ilahi yang perlu dipegang tanpa kompromi. Pastinya juga di sana terdapat idea-idea lain yang berbeza oleh individu-individu lain yang mungkin sama benar atau lebih baik.

Terserah kepada pembaca memilih mana yang sesuai di sisinya asal sahaja pilihan itu dibuat berdasarkan ilmu dan pertimbangan yang betul, bukan secara ‘tikam-tikam’ atau nafsu sahaja.

SOALAN ANALISIS

Soalan pertama yang perlu ditanyakan ialah apakah hukum syariah dalam masalah ini?

Soalan ini seharusnya menatijahkan salah satu daripada lima hukum – halal yang wajib, halal yang harus, halal yang sunat, halal yang makruh atau haram.

Inilah soalan yang asas, tapi bukan satu-satunya soalan yang menjadi dasar mengambil keputusan.

Seringkali apabila berhadapan dengan sesuatu masalah/isu, seorang Muslim akan berpada dengan jawapan bagi soalan ini dan tidak melakukan analisis lanjut.

Sikap seperti ini boleh menjurus pada kesilapan kerana jawapan yang diperolehi bukanlah yang terbaik disebabkan banyak faktor-faktor lain yang tidak diambil kira.

Untuk ambil kira faktor-faktor lain atau membuat analisis yang lebih menyeluruh, soalan selanjutnya perlu ditanya dan jawab: Adakah saya mampu laksanakan tuntutan hukum ini, atau adakah hukum ini menepati konteks peribadi saya?

Untuk menjawab soalan ini, seseorang itu perlu menilai sama ada dirinya memenuhi segala rukun dan syarat bagi memenuhi hukum itu.

Selain itu beliau perlu juga menganalisis sama ada terdapat faktor-faktor syariah yang mengecualikan dirinya daripada hukum berkenaan.

Sebagai contoh seseorang itu mungkin memenuhi segala rukun dan syarat yang mewajibkan beliau melakukan puasa Ramadan tetapi oleh kerana beliau sedang bermusafir dan syariah mengakui status musafir sebagai pengecuali bagi kewajipan berkenaan, maka puasa sudah tidak wajib lagi baginya.

Soalan ketiga dan seterusnya yang perlu ditanya dan dicerakin ialah apakah natijah kebaikan dan mudarat daripada pelaksanaan hukum berkenaan?

Soalan ini memerlukan pula kefahaman akan konsep kebaikan (maslahat) dan mudarat di sisi syariah.

Hal ini adalah kerana walaupun sesuatu hukum mungkin telah ditetapkan oleh syariah tetapi dalam situasi tertentu pelaksanaannya mungkin akan menatijahkan mudarat atau bercanggah dengan maslahat yang lebih besar yang membolehkan hukum berlawanan diamalkan.

Syariah membenarkan sesuatu kewajiban ditinggalkan sekiranya ia akan menatijahkan mudarat atau hilangnya maslahat yang lebih besar/penting.

Demikianlah juga dibenarkan kita melakukan sesuatu yang dilarang jika terdapat maslahat atau bagi elak mudarat yang lebih besar/utama.

Seterusnya ialah melakukan analisis keutamaan dengan bertanya dan menjawab soalan – Apakah melakukan perkara ini merupakan satu keutamaan di sisi syariah?

Hal ini bertolak daripada premis bahawa setiap seorang di kalangan kita memikul pelbagai beban dan kewajiban.

Dalam keadaan tertentu, kewajipan-kewajipan ini mungkin saling bercanggah dan ini memerlukan kita membuat pilihan apa yang lebih utama daripada yang lain.

Jika analisis keutamaan tidak dilakukan dan diambil kira, keputusan yang diambil oleh seseorang mungkin akan menyalahi keutamaan dirinya di sisi syariah yang boleh menatijahkan kesan sampingan negatif dan terlepas daripada keredaan Tuhan.

Langkah terakhir ialah bertanya adakah pilihan lain yang sejajar dengan syariah yang lebih baik daripada apa yang dipertimbangkan kerana ia kurang mudarat atau lebih banyak maslahat.

Ini berdasarkan premis bahawa di sana terdapat banyak cara dan jalan syariah bagi mencapai sesuatu objektif.

Oleh itu, seseorang itu tidak perlu bersifat jumud dengan sesuatu huraian atau cara sahaja, walaupun jika ia dibenarkan syariah.

(Bagi memudahkan kefahaman akan proses dan langkah-langkah yang dicadangkan, klik di sini bagi rajah proses analisa dan satu contoh kes bagi tujuan aplikasi.)

Nota: Penulis seorang ustaz dan bertugas di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang (NTU). Makalah ini pandangan peribadinya.